Oleh Mary Lajang
SRI AMAN — Perkumpulan Marian Guild Paroki Our Lady Queen of Peace menganjurkan ziarah ke Pusat Peringatan dan Ziarah Katolik (CMPC) di Singai, Bau, pada 14 Sept lalu.
Aktiviti sehari itu, disertai 28 ahli Marian Guild dan 17 ahli keluarga mereka, dijalankan di bawah bimbingan Fr Joseph Chai.
Objektif ziarah tersebut adalah untuk mengukuhkan iman dan kerohanian peserta menerusi renungan kerohanian kendiri.
Selain itu, ia dapat memperbaharui hubungan rohani peserta dengan Tuhan dan Roh Kudus serta mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti gereja.
Program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan yang lebih akrab dalam kalangan ahli Marian Guild yang terlibat.
Dalam perjalanan ke CMPC, ahli Marian Guild telah mendaraskan doa rosari dan doa Kerahiman Ilahi.
Amalan ini diteruskan juga ketika di dalam perjalanan pulang dari CMPC.
Di samping itu, ayat-ayat Alkitab juga dikongsikan untuk renungan bersama.
Semasa pendakian ke CMPC, doa Jalan Salib turut dijalankan di mana pada setiap perhentian, seorang ahli Marian Guild memimpin bacaan doa.
Sejurus tiba di CMPC, Misa Kudus dirayakan oleh Fr Joseph bersama umat dari Gereja Katolik Miri yang juga sedang melakukan ziarah.
Walaupun ziarah itu singkat, namun semua peserta dapat merasakan kasih dan rahmat Tuhan yang sangat besar menerusi pengorbanan-Nya di kayu salib. – Today’s Catholic