By Linda Edward
Sep 6 2020
KENINGAU – Walaupun keadaan pandemik masih berada dalam peringkat pemulihan, ungkapan iman dalam norma baharu terus berjalan di Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) dengan pelbagai aktiviti pastoral.
Uskup Cornelius Piong bersyukur kerana semangat kesatuan antara umat yang mematuhi SOP, membolehkan aktiviti-aktiviti pastoral ini dijalankan. Dia berkata ini di dalam surat pastoralnya pada hari ini.
KSFX telah mendedikasikan bulan Ogos sebagai bulan ziarah di mana ‘Mini Ziarah pertama kepada Bonda Maria’ telah dijalankan pada 7-14 Ogos dengan intensi mematahkan COVID-19 dan untuk keamanan dan keadilan dalam negara.
Sementara itu, ‘Ziarah memperingati perintis iman Katolik’ di negeri ini, Msgr August Wachter, telah dijalankan pada 27-31 Ogos dan Uskup Piong mengumumkan bahawa ia akan terus menjadi acara tahunan setiap 30 Ogos mulai tahun hadapan.
Uskup menetapkan satu lagi ziarah iaitu Ziarah kepada Keluarga Kudus Nazareth sepanjang musim Adven pada tahun ini bermula 29 Nov-20 Dis di Nulu Sosopon dan menggalakkan para keluarga agar menyertai.
Manakala di dalam usaha menjaga alam sekitar, Keuskupan Keningau telah memulakan satu kempen jangka panjang ‘Lindungi Bumi kita, Lindungi Anak-Anak kita’ pada 1 Sep lalu, yang akan berlangsung selama lima tahun, diketuai oleh Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan Keuskupan (KKACT).
Uskup Piong berkata dia berharap agar umat turut serta dalam kempen ini dan sama-sama mengubah sikap sambil lewa dalam menjaga alam sekitar kepada sikap sentiasa ambil peduli.
Uskup juga mengingatkan umat agar terus berdoa untuk persediaan Pentahbisan Diakon bagi seminarian Wilfred James yang bakal diadakan pada 1 Oktober dan campurtangan Tuhan dalam proses Pilihan Raya Negeri pada bulan September ini.
Berikut adalah kenyataan penuh Surat Pastoral Uskup Cornelius Piong pada hari ini, 6 Sep:
Puji Tuhan dan terima kasih kerana bimbingan Roh Kudus sentiasa menyertai dan melindungi kita. Kerana kuasa-Nya maka kita umat dapat berjalan bersama dalam semangat kesatuan, diterangi akal budi dan dimampukan dalam melaksanakan misi Kristiani kita. Syukur kepada Tuhan kerana walaupun dalam keadaan PKPP kita umat tetap dapat menjalankan aktiviti-aktiviti Pastoral dengan mematuhi SOP:
1). Mini Ziarah untuk mengungkapkan kasih dan devosi kita kepada Bonda Maria telah dapat kita jalankan sebelum dan sewaktu Pesta Pengangkatan Bonda Maria ke Syurga. Saya percaya kita banyak mengalami dan menerima inspirasi dan kekuatan iman dari Bonda Maria. Ziarah kepada Bonda Maria akan kita jadikan acara tahunan mulai tahun depan.
2). Ziarah memperingati dan mesyukuri para perintis iman Katolik – Msgr. August Wachter dan para Paderi, Brother dan Awam. Mereka terkorban pada bulan Ogos tahun 1945 dan kini sudah menjadi peristiwa dan sejarah Gereja Katolik di Sabah selama 75 tahun. Wajarlah kita memperingati dan mensyukuri jasa dan pengorbanan mereka demi membawa Khabar Baik kepada nenek-moyang kita serta diturunkan kepada kita.
Semangat misi dan pengorbanan Msgr. August Wachter dan rakan-rakan sepelayanan perlu kita ambil sebagai inspirasi dan tauladan dengan menyedari, mensyukuri dan memperjuangkan Misi Kristiani kita dengan mengasihi dan melayani. Semasa dalam pelayanan Msgr. A. Wachter sempat melayani Umat di Tambunan, Keningau, Sook, Tenom, Membakut, Bundu Kuala Penyu, dll.
Perjalanan pelayanannya selama di Borneo Utara (sekarang Sabah) dapat diketahui melalui tulisan diarinya. Terima kasih kepada Team Ziarah PZKKNS kerana dapat mengatur program dengan jayanya. Peristiwa peringatan dan kesyukuran ini akan kita adakan pada setiap 30 Ogos setiap tahun mulai tahun hadapan 2021.
3). Ziarah kepada Keluarga Kudus Nazareth, akan kita adakan sepanjang masa Adven (29/11 -20/12/2020) dan kemuncaknya ialah Misa Pesta Keluarga Kudus pada 27/12/2020 bertempat di PZKKNS. Ziarah ini adalah dibuka kepada umat seluruh Sabah. Kesempatan dan peluang ziarah ini kita adakan menyedari betapa pentingnya peranan keluarga dalam membangun sikap, budaya dan iman masyarakat dan Gereja.
Bonda Maria sangat peka dan mengambil peduli terhadap keperluan keluarga. Antara lain, kunjungannya membantu Elizabeth yang sedang hamil (Luk.1:39-40), keluarga yang menghadapi cabaran dengan anak-anak (Luk. 2:51-52), keluarga yang kehabisan semangat sukacita (Yoh. 2:3) serta komuniti keluarga-keluarga (KKD) ditemani oleh Bonda Maria (Kis.1:14).
Ziarah ini juga akan membantu kita membuat persiapan rohani menyambut perayaan Krismas. Tetapkan dan ambillah masa bersama anggota-anggota keluarga membuat ziarah kepada Keluarga Kudus Nazareth, di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon (PZKKNS). Setiap kelompok dari setiap Paroki digalakkan membuat tempahan awal bagi yang ingin membuat ziarah berkelompok untuk memudahkan pihak Team Ziarah menyambut dan mengatur program lebih awal bagi setiap penizarah nanti.
4). Kempen “Lindungi Bumi kita, Lindungi Anak-anak kita (1 September 2020 – 31 Ogos 2025). Kempen ini kita jalankan selama lima tahun, dan setiap tahun ada temanya. Tahun pertama (1.9.2020 – 31.8.2021) adalah bertemakan: “Kurangkan penggunaan elektrik”. Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan Keuskupan (KKACT) akan membantu kita, umat untuk menanggapi kempen-kempen selama lima tahun.
Kita berharap agar kita semua dapat memberi kerjasama untuk menyelamatkan rumah kediaman kita bersama ini agar anak-anak kita mempunyai tempat tinggal, iaitu dunia yang selamat didiami. Agar kita umat dapat membantu dan turut serta dalam kempen ini, kita perlu mengubah sikap sambil lewa kepada sikap sentiasa ambil peduli.
5). Pesta Salib Suci, 14 September 2020. Bagi kita Umat Kristian, Salib adakah lambang pengorbanan Yesus dalam mengungkapkan cinta kasih-Nya kepada kita. Yesus meminta kita supaya memikul salib kita setiap hari jika kita mengasihi dan mahu mengikuti Dia (Luk. 9:23). Kita akan menyambut Pesta Salib Suci ini pada 14 September 2020 dengan merayakan Misa Kudus di perkarangan Menara Salib Suci, PZKKNS pada jam 6 petang. Umat dialu-alukan datang turut serta dengan mematuhi SOP.
6). Puji Tuhan dan syabas kepada Fr. Paul Mikin yang akan merayakan Ulang Tahun ke25 tahun Kepaderian nya pada 9 September 2020. Namun Misa Kudus kesyukuran hanya akan diadakan pada 16 September 2020 di Gereja Roh Kudus Sook, jam 10 pagi.
7). Perhatian kepada kita Umat supaya tidak lupa membawa dalam doa dan Intensi Doa Umat:
a). Perlindungan persediaan Pentahbisan Diakon bagi Wilfred James yang akan diadakan pada 1/10/2020,
b). Perlindungan dan campurtangan Tuhan dalam proses persiapan dan perjalanan Pilihan Raya DUN Sabah dalam bulan September ini.
Terima kasih.