Gambar beramai-ramai
Oleh Tim Publisiti dan Multimedia (Valentini Hendricus, Delsie Ivy Didacius, Johnstone Jibin, Jaymar Amarille, Lydiana Kantiu, Fettwinda Sipaan)
Nov 29 2022
TAWAU – Dunia digemparkan dengan pandemik Covid-19 yang telah melanda seluruh dunia. Dunia dikejutkan dari pelbagai arah. Pergerakan disekat, pekerjaan dilakukan sebaik mungkin dari rumah masing-masing, hiburan ‘bercuti’ apatah lagi pengisian atau penganjuran program kerohanian semuanya dilakukan secara dalam talian.
“Bangkitlah! Saya mengutus kamu sebagai saksi dengan apa yang kamu lihat” Kis. 26:16 tema Youth Leaders’ Camp ke-7 (YLC7) yang dipilih oleh pihak penganjur mempunyai ajakan yang amat mendalam kepada semua peserta. YLC7 pada kali ini bertempat di Holy Trinity, Tawau selama tiga hari dua malam bermula pada 16 – 18 Sep 2022. Seramai 56 peserta yang merupakan para pemimpin belia yang melayani dalam Kerasulan Belia Paroki dari setiap paroki telah mengikuti YLC7.
YLC7 bermula pada petang 16 Sep dengan misa pembukaan yang telah dipimpin oleh Fr Arthur John, paderi pembantu Paroki Holy Trinity, bersama dengan Fr Dafrinn Diwol, penasihat rohani Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan. Fr Arthur mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan mengajak semua pemimpin belia yang hadir untuk meletakkan segala kerisauan, bebanan mahupun persoalan-persoalan yang ada kedalam tanganNya dengan mengandalkan segalanya dalam namaNya. Semoga semua peserta bersedia menerima input sepanjang YLC7 dan akan mengongsikan kepada para belia di paroki masing-masing kelak.
Pengisian pertama merupakan sebuah sesi yang dikongsikan oleh Anna Teresa Peter Amandus, tentang situasi dan cabaran belia masa kini. Sungguh sesi ini meninggalkan persoalan dan apakah tindakan yang akan dilakukan oleh para pemimpin belia kelak untuk menghadapi situasi-situasi yang sedang berkalu pada masa kini. Anna mengajak untuk melihat situasi semasa yang sedang berlaku bukan sahaja berkaitan dengan isu-isu moral, disiplin mahupun kegiatan pada belia masa kini malah situasi yang merisaukan serta berlaku di serata dunia. Global pandemik, globalisation, climate change, urbanization, gender issue, youth dan digitalisation merupakan sebahagian situasi yang membimbangkan dan merisaukan. Sesi ini juga mengajak belia untuk merenung punca dan akar umbi bagi segala situasi yang berlaku pada masa kini. Arus semasa yang sangat cepat berubah mengikut situasi memerlukan semua pihak perlu meningkatkan kemahiran agar seiring dengan perkembangan zaman semasa. Menggunakan media sosial sebagai medan perkongsian tentang iman merupakan salah satu cara untuk menarik rakan belia yang lain untuk menerima perkongsian dan secara tidak langsung dapat memberikan input rohani.
Hari kedua dimulakan dengan misa kudus yang dipimpin oleh Fr Dafrinn Diwol. Dalam homilinya, beliau mengongsikan bahawa penganjuran YLC7 berbeza dengan penganjuran YLC pada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun keadaan semasa yang semakin canggih dengan pelbagai kemudahan yang boleh diakses di hujung jari sahaja, tidak menjamin penghayatan penuh sabda Tuhan. Fr Dafrinn membawa para peserta untuk menilai diri masing-masing dengan bagaimanakah sikap setiap peserta dalam menerima sabda Tuhan? Bagaimanakah saya mendengar sabda Tuhan melalui pembacaan? Bagaimanakah tanggungjawab saya semasa menerima sabda Tuhan? Ajakan Fr Dafrinn kepada semua peserta ialah menjaga amanah yang telah Tuhan anugerahkan kepada setiap peribadi dengan berdoa sama ada secara peribadi mahupun dalam komuniti. Pertumbuhan iman akan berkembang melalui pelayanan-pelayanan yang dilakukan.
Peranan dan tanggungjawab saya sebagai pemimpin belia di dalam keluarga, masyarakat dan gereja” merupakan sesi kedua dalam YLC7 ini yang telah disampaikan oleh Fr Stanley William Matakim. Sesi ini dimulakan dengan sebuah video pendek yang mengisahkan tentang seorang bapa dan anak yang kurang upaya mengikuti acara triathlon. Melalui video pendek yang telah ditayangkan, Fr Stanley mengajak semua peserta untuk merenung keperibadian bapa dan anak yang kurang upaya itu dalam melayani para belia di tempat masing-masing. Keadaan yang semakin mencabar pada masa kini merupakan cabaran utama untuk menarik minat para rakan belia diluar untuk terlibat sama dalam pelayanan. Walau bagaimanapun, Fr Stanley menegaskan bahawa pelayanan kita adalah panggilan kita. Semua pemimpin perlu menyedari bahawa peranan dan tanggungjawab utama sebagai pemimpin ialah untuk melayani dengan penuh kerendahan hati dan bukannya untuk dilayani. Adalah menjadi peranan para belia untuk mengikuti jejak Yesus dengan melayani dengan hati yang terbuka.
Gambar salah satu aktiviti dalam YLC7
Seterusnya, sesi team building yang pertama telah dikendalikan oleh Sr Noemi, Kordinator Belia Keuskupan Sandakan. Aktiviti yang pertama memerlukan para pemimpin belia di setiap paroki bersama-sama menyelesaikan situasi “Traffic Jam”. Aktiviti ini membawa para peserta untuk berfikir dengan lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ironinya dalam pelayanan, setiap situasi yang berlaku memerlukan perbincangan bersama untuk menyelesaikan situasi yang dihadapi. Banyak jalan penyelesaian yang akan ditemui melalui kerjasama serta keyakinan terhadap tindakan yang diambil bersama untuk menyelesaikan suatu perkara.
Aktiviti kedua ialah semua peserta perlu menutup mata mereka dengan kain dan memegang bahu kawan. Kordinator bagi setiap paroki akan berada berada dibahagian belakang dan akan memimpin rakan-rakan yang lain untuk melepasi halangan-halangan yang diberikan. Situasi ini juga memberi gambaran kepada semua pemimpin belia bahawa dalam setiap pelayanan kita tidak akan bersendirian dan akan ada peribadi yang akan sentiasa menuntun kita walau dalam apa juga situasi yang dihadapi. Kepercayaan dan sokongan antara satu sama lain juga merupakan tonggak kepada kepimpinan.
Sesi yang ketiga telah disampaikan oleh Fr Arthur John iaitu “Semangat melayani menurut teladan Rasul Paulus”. Fr Arthur mengongsikan empat teladan pelayanan menurut Rasul Paulus iaitu pelayanan yang berorientasikan melalui jiwa, pelayanan yang berpusatkan kepada Tuhan, pelayanan milik Tuhan bukan milik kita dan kesatuan haruslah sentiasa terjalin. Rasul Paulus memusatkan pelayanannya kepada Tuhan melalui pekerjaan mahupun situasi yang dihadapinya.
Melalui sesi ini, Fr Arthur menggalakkan para belia untuk mengikuti teladan Rasul Paulus dalam pelayanan. Suka duka pahit manis dalam pelayanan membantu setiap pemimpin untuk merenung serta mengukuhkan dan merasakan pengalaman cinta kasih bersama Tuhan melalui caranya yang sungguh misteri bagi setiap orang.
Selepas sahaja sesi ketiga, aktiviti diteruskan dengan tim building. Semua peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan perlu bersama-sama untuk menyelesaikan misi disetiap stesen. Terdapat lima stesen bagi aktiviti mengenali “Rasul Paulus dan pelayanannya” iaitu, Rasul Paulus Si Penulis, Rahsia tentang Kristus, Seperti Bayi, Ucapkanlah dan Bangkitlah.
Aktiviti ini memerlukan setiap peserta membaca petikan alkitab yang diberikan sebelum aktiviti ini bermula. Setiap petikan yang diberikan saling berkait dengan aktiviti yang dilakukan. Melalui aktiviti ini, setiap peserta membina dan mengukuhkan persahabatan melalui rakan yang baru disamping memberikan peluang kepada diri sendiri untuk diinspirasikan oleh Roh Kudus untuk memahami apa yang ingin Dia sampaikan melalui aktiviti ini.
Pada sebelah malamnya, adorasi dengan iringan lagu taize yang dikendalikan oleh para penganjur utama YLC7. Cahaya lilin menerangi mewujudkan suasana yang hening memberikan ruang kepada para peserta untuk menghayati adorasi yang dipimpin oleh Fr Dafrinn.
18 Sep 2022, merupakan hari kemuncak bagi penganjuran YLC7. Sebelum semua peserta diutus, sesi keempat iaitu “Bangkitlah! Saya menetapkan kamu sebagai saksi atas apa yang kamu lihat” (Kis 26:16) yang telah disampaikan oleh Fr Dafrinn Diwol. Beliau juga mengongsikan pesanan daripada Bapa Suci iaitu, “bila manusia jatuh, satu dunia akan jatuh, tetapi bila orang muda bangkit, maka seluruh dunia akan ikut bangkit”.
Pesanan ini merupakan satu ajakan kepada semua pemimpin belia bahawa, belia adalah harapan pada masa kini. Peranan para pemimpin belia bukan untuk kepentingan diri sahaja tetapi merupakan bahagian yang terpenting untuk generasi pada masa hadapan. Panggilan untuk melayani sungguhpun merasakan diri tidak layak untuk berada dihadapan merupakan suatu panggilan yang indah daripada Tuhan. Sesi ini memberi inspirasi kepada semua pemimpin bahawa, pertemuan peribadi bersama Yesus sahaja yang mampu mengubah seseorang. Meneladani transformasi Rasul Paulus sebelum bertemu dan selepas bertemu dengan Yesus merupakan suatu contoh yang amat dekat kepada para pemimpin belia. Fr Dafrinn juga menegaskan agar semua pemimpin belia yang hadir, meletakkan pelayanan yang berpusatkan kepada Tuhan agar tujuan utama dalam pelayanan tidak akan tersasar.
Misa Kudus Pengutusan YLC7 bersama dengan Msgr Nicholas Ong, Paderi Paroki Holy Trinity Tawau dalam homili dan juga ucapannya kepada semua peserta YLC7, Msgr Nicholas Ong sangat gembira melihat ramai orang muda mengatakan ya dalam pelayanan. Melalui Injil Lukas, beliau menegaskan bahawa kita tidak boleh mempunyai dua tuan. Yesus Kristus adalah bahagian yang terpenting dan hanya melalui Dia sahaja kita semua akan memperolehi kegembiraan dan penyelamatan kekal. Ajakan Msgr Nicholas juga ialah semua bersama-sama menjaga alam sekitar, bertumbuh banyaklah dalam persahabatan agar cinta kasih Tuhan semakin bercambah dan dengan kemajuan teknologi pada masa kini, Msgr memberi galakan kepada semua untuk menggunakan media sosial dengan bijak dan berintegriti sambil berkongsi tentang kabar sukacitanya.
Sr Noemi Meija, FSIC dalam ucapannya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Holy Trinity Tawau kerana sudi menjadi tuan rumah bagi YLC7 ini. Beliau juga merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung sepanjang tempoh persiapan sebelum dan semasa bagi kejayaan YLC7. Walaupun YLC7 pada kali ini dilaksanakan dengan tempoh masa yang singkat, perkara ini merupakan satu langkah untuk menyahut tema YLC7 iaitu “Bangkitlah! Saya menetapkan kamu sebagai saksi atas apa yang kamu lihat” (Kis 26:16) oleh para pemimpin belia di setiap paroki. YLC7 merupakan program pertama anjuran kerasulan belia keuskupan sandakan yang dilakukan secara bersemuka sejak negara kita dilanda pandemik Covid-19. Gandingan usaha, tenaga, buah fikiran serta semangat yang berkobar-kobar merupakan tonggak utama kejayaan YLC7 bersama dengan harapan agar semua pemimpin yang hadir semakin berkobar-kobar untuk melayani dan menjangkau para belia yang lain.
Program YLC7 diakhiri dengan sesi bergambar sebelum bersurai untuk kembali ke tempat masing-masing.