Oleh Yohanes Pati Sogen
Apr 27 2023
PAPAR – Beralih dari Sorakan Hosana Putra Daud menjadi salibkan dia. Yesus mengalami kematian demi menebus dosa umat manusia. Sebuah cara pelunasan yang mahal kerana dibayar dengan nyawaNya yang tak bernoda. Yesus mati untuk kau dan aku agar kita hidup. Hidup dalam penyesalan, tobat dan perubahan, sehingga hidup kita menjadi berkat bagi sesama.
Umat Paroki Holy Rosary Limbahau pada hari Jumaat Agung, 7 April, bersama Paderi Paroki Msgr Nicholas Stephen merenungkan kisah sengsara Tuhan Yesus dalam Perjalanan Jalan Salib, mulai dari Gereja St Sabina sampai di puncak bukit Titimboungon. Mereka berdoa dari perhentian pertama sampai pada perhentian ke empat belas yang dipimpin oleh petugas-petugas yang dipilih oleh Paderi Paroki. Mereka merenung kisah sengsara Yesus, iaitu kematianNya maka umat diingatkan bahawa ada seorang peribadi yang telah mati untuk kita, namun Dia tidak meminta kita mati untukNya, melainkan ia membiarkan kita hidup agar kita dapat saling menghidupi.
Pada acara Jalan Salib yang bermula jam 7.00 pagi hari itu umat memikul Salib besar mendaki bukit dengan tujuan mereka dapat merasakan bahawa Salib Yesus itu amat berat. Dengan mengangkat salib bersama-sama itu mereka menyedari bahawa cinta kepada Tuhan dan cinta kepada sesama adalah satu kesatuan yang tak dapat dipisahkan. Cinta kepada Tuhan harus wujud dalam cinta kepada sesama. Setiap saat ada benci dan dendam didalam dirimu maka sedarlah bahawa anda telah menodai cinta Tuhan yang tertanam dalam dirimu. Kadang kita menulis dan merangkai kata-kata indah tentang situasi orang kecil dan miskin demi mendapatkan keuntungan peribadi atau dengan kata lain, kita memanfaatkan keadaan orang lain demi kesenangan peribadi, itulah yang dilakukan Yudas Iskariot.
Yesus yang mati di kayu salib tetapi pada hari ketiga Dia bangkit, maka Yesus yang kita imani adalah Yesus yang hidup. Pada hari Paska, Gereja di seluruh dunia merayakan Paska Kebangkitan Yesus Tuhan.
Bila Gereja adalah sarana keselamatan, maka hanya seorang penyelamatlah yang dapat mendirikan Gereja. Jika seseorang memiliki hidup abadi maka dialah yang mampu menghidupkan demikian pun yang dapat menyelamatkan jiwa hanyalah sang penyelamat. Semuanya itu merujuk pada seorang peribadi iaitu Yesus. Dia adalah Tuhan maka kematian tidak menguasaiNya. Dialah penyelamat maka dapat menyelamatkan dan mendirikan Gereja sebagai sarana keselamatan. Dalam Injil pada hari Paska tertulis, bahawa Ia harus bangkit dari antara orang mati (Yohanes 20: 9).
Fr Michael Madoit semasa merayakan Misa hari Paska di Gereja Holy Nativity Terawi, berkata pelajaran penting bagi kita dihari Paska yakni; Yesus adalah Tuhan yang telah bangkit dari kematian. Kita memiliki harapan yang pasti bahwa kelak kita akan dibangkitkan pada saat penghakiman. Yesus memberi semangat baru kepada kita agar kita saling menyemangati dan saling menghidupkan. Kerana, sama seperti Maria Magdalena, marilah kita berlari kepada dunia untuk mewartakan bahawa Yesus sungguh bangkit.