Perarakan masuk panji-panji presidium Legio of Marie
Oleh Juanis Marcus
Oct 21 2022
KENINGAU – Sebanyak 14 presidium dari sekitar Katedral St.Francis Xavier, Keningau merayakan Ulang Tahun yang ke-25 tahun pada 30 Sept lalu. Kemuncak perayaan adalah Misa Kudus yang diselebrankan oleh Uskup Cornelius Piong.
Dalam homilinya, Uskup menekankan agar setiap ahli Legio of Marie (LOM) berbangga dengan identiti mereka sebagai ahli.
“Melalui peristiwa Bonda Maria melawat Elisabet, Bonda Maria menjadi seorang yang peka kepada keperluan individu, dan melalui peristiwa air menjadi anggur, Bonda Maria sekali lagi menunjukkan, bahawa dia seorang yang tahu apa keperluan bagi sesebuah keluarga. Itulah sikap yang seharusnya kita contohi,” tegas prelatus itu.
Sambung prelatus itu lagi, setiap ahli LOM harus sentiasa merenungkan hubungan mereka dengan Bonda Maria, sekaligus hubungan mereka juga kepada Yesus Kristus.
Maria Kuntiou, pengerusi penganjur kali ini, mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius kerana sudi menjadi selebran Misa Kudus.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua presidium yang terlibat atas kerjasama mereka sehingga ulang tahun tersebut berjalan dengan lancar.
Antara aktiviti yang dijalankan pada hari itu termasuklah sukaneka, sesi ceramah dan ditutup dengan acara makan bersama di Dewan MPP KSFX.