Warga migran Indonesia yang menyertai Hari Kemerdekaan Republik Indonesia
Oleh Michael Guntili, Soccom
Sep 11 2023
INANAM – Komuniti Indonesia yang tinggal sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Menggatal, Telipok dan Inanam berjaya menganjurkan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke 78 tahun bertempat di St Catherine, Inanam pada 20 Ogos 2023.
Perayaan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang bertemakan “Terus Melaju untuk Indonesia Maju” itu dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr David Sham dan disusuli dengan upacara menyambut Hari Kemerdekaan di Dewan Fr Joseph Dapoz.
Menurut Pengerusi Penganjur, Stefanus Luya, perayaan seperti itu telah diadakan beberapa kali pada tahun-tahun yang lalu di Gereja Sacred Heart Cathedral Kota Kinabalu tetapi tahun ini diadakan pertama kalinya di St Catherine Inanam.
Perayaan tahun ini meriah di mana seramai 500 warga migran Indonesia menyertainya.
Tujuan untuk merayakan Hari Kemerdekaan itu adalah untuk memberikan kesedaran kepada umat migran dan perantau dari Indonesia akan pentingnya kemerdekaan bagi negara mereka serta mempertahankan nilai-nilai kemerdekaan walaupun mereka berada di negara lain.
Hadir bersama dalam perayaan itu ialah Ibu Machdaniar Nisfah yang mewakili Bapak Rafael Wulanggitang yang tidak dapat hadir kerana urusan rasmi yang lain. Turut hadir ialah Dominic Lim, Penyelaras Komisi Pelayanan Pastoral Migran dan Perantau, Keuskupan Kota Kinabalu atau Archdiocesan Commission for Pastoral Care of Migrants and Itinerants (ACMI), Alice Toliloh, Penyelaras komiti Pelayanan Pastoral Migran dan Perantau St Catherine Inanam, Pengerusi MPP, Paul Augustine serta beberapa Pengerusi Komiti Keluarga Katolik Indonesia di sekitar Penampang, Tuaran, Telipok, Manggatal dan Inanam.
Pelbagai persembahan mewarnai acara itu yang dipersembahkan oleh beberapa Komiti Keluarga Kristian Indonesia untuk menghibur para jemputan dan tetamu khas sehingga perayaan berakhir pada jam 2.00 petang.