
CATHOLIC Sabah menemuramah Pengerusi Liga Wanita St Joseph Papar, Rosalind Lohindun sempena Hari Wanita Sedunia.
CS: Pada 8 Mac adalah Hari Wanita Sedunia. Bagi anda, apakah erti perayaan ini bagi anda sebagai seorang wanita?
Sebagai seorang wanita, saya merasa bangga kerana dunia mengiktiraf peranan dan kepentingan wanita di dunia.
Di peringkat Gereja, apabila gereja mengiktiraf dan merayakan Hari Wanita, saya rasa bahagia, karana saya meilhat, Gereja menghargai peranan wanita itu dalam Gereja sebagai sesuatu yang amat besar, kerana sebagai seorang ibu dan seorang pelayan, wanita itu dihargai sebagai membawa pertumbuhan dalam Gereja. Saya melihat yang Gereja menghargai dan meletakkan harapan kepada wanita untuk meneruskan misi gereja, samada sebagai seorang ibu di rumah dan juga pelayan di gereja.
CS: Anda telah lama melayani dalam Liga Wanita. Bagaimana pelayanan ini telah membantu anda memahami dengan lebih dalam, peranan wanita dalam kehidupan menggereja?
Pelayanan ini membolehkan saya berkhidmat dalam pelbagai cara dan pelbagai situasi secara positif. Tetapi terutamanya semasa masa sukar, sebagai LWK ia menyedarkan saya bahawa Kristus sentiasa ada, memberikan kekuatan sepanjang pelayanan.
Pada mulanya, saya hanya mengikuti aktiviti Liga Wanita jika ada masa terluang kerana waktu dahulu saya di luar daerah. Hanya setelah saya kembali ke Papar pada 1992, saya mula bergiat aktif. Awalnya saya memang agak takut untuk berperanan dalam Liga Wanita, tetapi lama kelamaan, setelah banyak mengikuti retret dan seminar, saya makin diperkuatkan dalam pelayanan dan mendalami komitmen untuk tabah dalam pelayanan walau berdepan dengan suka dan duka.
Ketika ini, saya memegang peranan pengerusi Liga Wanita di Paroki St Joseph Papar dan di peringkat Zon Kota Kinabalu sebagai timbalan pengerusi.
CS: Dengan peranan yang anda pegang, bagaimana anda membahagikan masa?
Pertama sekali, saya tumpukan dahulu hal rumahtangga. Saya selesaikan dahulu perkara yang berkaitan di rumah dan selebihnya, saya akan berikan masa kepada hal-hal berkaitan Liga Wanita, samada di Paroki atau di peringkat Zon.
CS: Masih ramai generasi muda Katolik kita yang belum memahami peranan atau pelayanan Liga Wanita. Boleh berikan pandangan tentang hal ini?
Memang generasi muda kita kurang memberi respon kepada pelayanan Liga Wanita. Mereka berpandangan yang pelayanan Liga Wanita hanyalah memasak. Bagi yang pasangan muda juga, mereka banyak alasan untuk tidak mahu terlibat. Tetapi kami juga sedaya upaya mencari ahli dari kalangan wanita muda. Kami memang ada ahli yang muda tetapi hanya sedikit sahaja. Mereka ini adalah yang sudah biasa melihat ibu mereka melayani sebagai ahli dalam Liga Wanita. Tapi saya akui, generasi muda kini lebih terarah kepada pelayanan di komiti
yang lain.
CS: Adakah terdapat program ‘permuridan’ dalam Liga Wanita, iaitu program untuk mencari dan melatih pelapis?
Ya, kami mempunyai program sedemikian di tahun-tahun yang lepas, di mana setiap dua tahun sekali kami mengadakan sesi pengambilan ahli baru. Namun program itu diberhentikan dan seterusnya dengan ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program itu terhenti sehingga kini. Kami akan menghidupkan kembali program itu, di masa yang terdekat.
Imej ideal seorang wanita adalah seperti Bonda Maria
CS: Bagi anda, bagaimana iman Katolik anda mempengaruhi pandangan anda tentang peranan atau imej Wanita itu?
Sebagai seorang ibu dan wanita, iman saya membimbing saya memperhatikan keluarga saya. Dan seterusnya ia juga membimbing saya untuk memberi perhatian kepada keluarga yang lebih besar iaitu paroki. Jadi, dalam semua ini digerakkan oleh naluri seorang wanita, seorang ibu dan seoranga ahli Liga Wanita, namun pertama sekali itu semua harus dibawa dalam doa. Agar samada dalam rumah ataupun di paroki, semua perkara itu dapat dikomunikasikan dan ditangani dengan baik.
Imej ideal seorang wanita adalah seperti Bonda Maria. Namun sebagai manusia penuh kelemahan, kita cuba untuk mencontohi-nya, yang mampu menghadapi segala keadaan hidup dengan sabar dan kasih.
CS: Apakah nasihat atau kata-kata pedoman anda kepada wanita-wanita muda di luar sana?
Ketika ini generasi muda didedahkan dengan ideologi yang menyatakan wanita itu harus bersikap mandiri(independent). Ada masa atau keadaan bagi seorang wanita itu untuk bersikap mandiri, namun ada ketikanya dia harus memerlukan orang lain di sekeliling, terutama dengan ahli keluarga yang lain dan terutama jika bersuami. Walau apa pun keadaan kita sebagai wanita, kita harus ada komunikasi yang bagus, terbuka untuk berbahagi dengan sesama. Jangan terlalu menyendiri dengan sikap ‘ini hal saya, perkara saya’. Adam dan Hawa diciptakan untuk saling bersama dan melengkapi. Sikap terlalu mandiri itu sesuatu cara hidup dan cara fikir yang tidak baik bagi wanita. Ini juga yang menyumbang kepada banyaknya keretakan rumahtangga pasangan suami isteri muda masa kini.
Walaupun zaman terus berubah, Tuhan tetap sama. Dalam apa pun situasi yang kamu, wanita-wanita muda, hadapi, tetaplah berpaut pada Yesus, Bonda Maria dan ajaran Gereja Katolik. Memang tidak mudah tapi kita terus mencuba dan terus berusaha.