Merentas bukit untuk ber-SYD, gambar atas peserta Marcellinus Michael, gambar bawah Eddyka Likimin
Oleh Linda Edward
Jul 23 2021
OLEH kerana ketiadaan capaian internet di kawasan rumah mereka, belia sanggup merentasi bukit untuk mendapatkan capaian internet yang lebih memuaskan demi mahu mengikuti Sabah Youth Day 5 secara virtual.
Masih terdapat kawasan pedalaman di Sabah yang tidak mempunyai capaian internet dan mengekang aktiviti rohani secara virtual, apatah lagi di musim pandemik ini yang tidak membenarkan pertemuan fizikal.
Eddyka Likimin, 32, berasal dari Bundu Tuhan, tetapi kini menetap di Kg Monggis Ranau, berjalan sejauh setengah kilometer setiap hari menaiki bukit bagi mendapatkan capaian internet yang memuaskan untuk mengikuti program SYD5.
“Sekarang saya mengusahakan tanah di Kg Monggis Ranau. Kg Monggis ini adalah kampung terakhir di daerah Ranau kalau ikut sepanjang jalan Ranau-Kota Marudu.
“Mengenai internet, memang susah sikit lah, ada juga rangkaian tapi hanya talian biasa, hanya boleh buat panggilan dan SMS biasa. Jadi kalau mahu cari internet lebih kuat, terpaksa kami naik bukit.
Eddyka atau nama panggilannya Geedyz berkata setiap hari dia bersedia lebih awal untuk ‘ber-SYD’.
“Saya jalan dari rumah pada jam 4.00 petang supaya saya dapat bersedia awal di lokasi SYD saya. Saya naik bukit kira-kira setengah kilometer dari rumah untuk sampai di lokasi. Saya ber-SYD di bawah pokok seperti yang saya post di Facebook.
Anjing peliharaan menjadi teman Geedyz ber-SYD di atas bukit
“Kawan saya nopo nga itu anjing-anjing saya saja. Kalau makanan, saya bawa keropok dan air minum saja sebab sebelum jalan saya sudah makan di rumah. Tidak susah lagi mahu bawa makanan nanti time ber-SYD.
“Power bank wajib dibawa sebab tidak sedar cas handphone habis kerana berjam-jam on internet. Parang lagi mana tahu ada ular join. Saya juga bawa racun nyamuk dan mancis,” kata Geedyz sambil berseloroh.
Lokasi SYD5 bagi Geedyz
Ini adalah kali ke-empat Geedyz mengikuti SYD, dia berkongsi pengalamannya.
“Saya mengikuti SYD sejak SYD2 di St Peter Claver Ranau. Suasana SYD kali ini berbeza kerana diadakan secara virtual. Saya mahu rasai perbezaannya.
“Secara rohani, setiap aktiviti gereja adalah minyak untuk bekalan pelita kita. Saya teringat perumpamaan lima perempuan bijaksana dan lima perempuan bodoh…saya bertanya, kenapa yang bijaksana tidak boleh bagi minyak kepada yang bodoh?
“Saya sangat percaya apa sahaja aktiviti gereja adalah peluang kita untuk mendapatkan minyak itu.
“Pengalaman yang kita lalui itu tidak dapat kita beri secara fizikal tetapi kita hanya mampu ceritakan dan gambarkan. Itu lah yang sangat mendorong saya mengikuti SYD kali ini,” kata Geedyz.
Geedyz berkata sesi ‘Heart to Heart’ telah memberinya inspirasi untuk mempraktis “kesungguhan, tanggungjawab, berani untuk jujur dengan Tuhan, rajin berdoa dalam apa juga situasi sebab Tuhan hadir pada setiap waktu.”
Geedyz menyatakan harapannya selepas selesai virtual SYD5 nanti, “Saya akan terus menghidupi iman Katolik sebab banyak cabaran masa kini yang cuba menjatuhkan iman belia-belia Katolik.
“Hidup dalam iman Katolik dapat memberi inspirasi kepada belia di luar sana yang ramai bersikap acuh tak acuh dengan anutan imannya sendiri. Saya juga mahu terus memegang kata-kata oleh kakak saya sendiri “walaupun miskin harta, jangan miskin iman”,” kata Geedyz.
Marcellinus Michael, 17, adalah penuntut SMK Membakut, berasal dari paroki St Joseph Papar dan menetap di Kg Ulu Lumagar Bongawan. Ini adalah pertama kali dia mengikuti SYD dan dia terpaksa merentasi tiga buah bukit untuk capaian internet yang memuaskan agar dapat mengikuti program.
Kem dipasang dan menjadi lokasi SYD bagi Marcellinus
“Kampung saya terletak paling ulu (hujung), jalan di sini ada yang okay dan ada yang tidak. Capaian internet memang tidak ada sebab rumah saya terletak di bawah bukit.
“Saya bersungguh-sungguh mahu ikut SYD sebab baru tahun ini saya terikut jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk mengikutinya biar pun secara virtual,” kata Marcellinus atau nama panggilannya, Montol.
Tentang persediaan SYD, Montol berkongsi.
“Saya jalan dari rumah satu jam lebih awal sebelum sesi bermula. Lokasi saya di atas bukit, tengah kebun getah, perlu naik bukit tiga kali untuk sampai di tempat yang kuat line internet.
“Saya buat kem kecil guna kanvas untuk tempat saya berlindung kalau hujan tapi kalau kuat angin pula, memang tidak dapat menampung sebab ini hanya kem yang tiada dinding.
Menariknya, ibu Montol sendiri sangat bersungguh-sungguh menyokong penyertaannya di dalam virtual SYD5 ini.
Ibu menjadi teman buat Marcellinus sepanjang SYD5 berjalan
“Setiap hari mama saya akan temankan saya di sini bukit. Kalau hal makanan tu saya makan sedia dari rumah. Saya bawa juga lah makanan ringan. Bila saya sampai di bukit, saya pasang api supaya tidak ada nyamuk sebab kawasan saya sini banyak betul nyamuk.
“Memandangkan SYD tahun ini adalah secara virtual dan pertama kali saya ikut, saya tahu bukan saya seorang saja ada masalah line internet. Selain daripada kesungguhan saya ikut SYD ini, saya juga mengagumi usaha tim yang lain utk cari line internet demi tanggungjawab mereka sebagai peserta SYD biar pun secara virtual. Selain itu inspirasi saya yang paling utama ialah saya mahu lebih mengenali dan memperkukuhkan iman saya untuk lebih dekat dengan Tuhan Yesus.
“Apapun yang berlaku seperti yang kita alami sekarang iaitu pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, yang mana semua pusat ibadah tidak beroperasi dan gereja ditutup, saya berharap para belia termasuk saya tetap teguh dalam iman dan di dalam pelayanan sebagai seorang Katolik dan tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang Kristian Katolik,” kata Montol.