Oleh Linda Edward
Jul 17 2021
BAHANG perayaan iman Katolik terbesar di Negeri Di Bawah Bayu ini, Sabah Youth Day ke-5 (SYD5), semakin terasa.
Hanya tinggal dua hari lagi perayaan ini akan berlangsung secara virtual iaitu pada 19-23 Julai dengan penyertaan seramai 2,595 belia Katolik.
Tiga Uskup Sabah pada 15 Julai hadir di dalam Program Khas Bersama Tiga Uskup melalui Zoom online, memberi kata-kata semangat kepada pemimpin-pemimpin belia iaitu penganjur SYD5, yang siang malam telah bertungkus lumus bekerja untuk merealisasikan perayaan yang dinanti-nanti ini.
“Saya yakin dan percaya walaupun SYD5 diadakan secara virtual, memang tidak ideal menurut manusiawi, tetapi tetap akan beri suntikan iman dan semangat kepada belia,” – Uskup Julius Gitom
Kata-kata semangat tiga uskup di Sabah
Melihat usaha para pemimpin belia membawa SYD5 secara virtual, Uskup Julius Dusin Gitom dari Keuskupan Sandakan berkata ternyata COVID-19 tidak mampu mengalahkan kuasa rahmat Tuhan.
“Saya yakin dan percaya walaupun SYD5 diadakan secara virtual, memang tidak ideal menurut manusiawi, tetapi tetap akan beri suntikan iman dan semangat kepada belia,” katanya.
Uskup Julius menjemput para belia untuk datang kepada Yesus di dalam SYD5 untuk mendapat kelegaan daripadaNya, “Saya percaya belia kita juga akan merasa lega walaupun secara virtual.
“Saya sendiri lega kerana dapat melihat wajah ‘fresh’ kawan-kawan belia (di sini), saya percaya SYD5 virtual ini tetap akan memberi kelegaan dan suntikan iman dan semangat kepada kita semua,” kata Uskup Julius.
Uskup Cornelius Piong dari Keuskupan Keningau pula melihat SYD5 ini sebagai ekspresi komitmen belia menjadi saksi Kristus.
“Dengan adanya SYD5 ini akan membangun semangat komitmen di dalam misi kita sebagai belia, dan juga sebagai anggota gereja, menjadi saksi-saksi Kristus supaya kita boleh jadi cahaya dan garam di mana saja kita berada,” kata Uskup Piong.
Merujuk kepada keadaan dunia masa kini yang semakin kacau, Uskup Piong melihat SYD5 sebagai platform para belia untuk berani keluar kepada masyarakat, “Kalau anggota-anggota gereja tidak peka dan tidak ambil peduli terhadap masyarakat, saya rasa kita juga akan mengalami kekacauan seperti negara-negara lain.”
Dengan adanya SYD5 ini akan membangun semangat komitmen di dalam misi kita sebagai belia, dan juga sebagai anggota gereja, menjadi saksi-saksi Kristus – Uskup Cornelius Piong
Uskup Agung John Wong dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu berkata kehadiran ramai anak muda dalam penganjuran SYD5 ini memperlihatkan satu harapan besar untuk masa hadapan Sabah.
“Malam ini ada 152 pemimpin belia, jikalau kamu datang bersama dengan satu hati dan satu tujuan, kamu boleh melakukan perkara-perkara yang besar, ‘you can shake Sabah,” kata Uskup Agung.
Uskup Agung berkata walaupun SYD5 ini diadakan secara virtual, ini bermaksud para penganjur berani mengambil cabaran baharu, dan menasihati mereka untuk mengambil cabaran ini sebagai satu peluang.
Jumlah keseluruhan penganjur virtual SYD5 adalah 171 orang gabungan tiga keuskupan di Sabah.
…pemimpin belia, jikalau kamu datang bersama dengan satu hati dan satu tujuan, kamu boleh melakukan perkara-perkara yang besar, ‘you can shake Sabah’. – Uskup Agung John Wong
Main Organizing Team Virtual Sabah Youth Day 5
Peserta Virtual SYD5
Menurut Roney Eming, hos bagi program khas petang itu, Virtual SYD5 akan memperlihatkan gabungan penyertaan belia dari tiga keuskupan di Sabah termasuk beberapa peserta dari keuskupan luar Sabah.
Seramai 1,477 peserta adalah belia dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, 674 peserta dari Keuskupan Keningau, 431 peserta dari Keuskupan Sandakan, lima peserta dari Keuskupan Agung Kuching, enam peserta dari Keuskupan di Singapura, dan masing-masing Keuskupan Agung Kuala Lumpur dan Keuskupan di Indonesia mendaftarkan satu peserta.
Para paderi dan pelbagai kongregasi religius akan turut menyertai perayaan ini dari keuskupan masing-masing.
Program SYD5
Pada petang tersebut juga, Anna Amandus, Timbalan Koordinator II memperkenalkan barisan program virtual SYD5 kepada para uskup.
Menurutnya program akan diadakan pada waktu petang sahaja dari jam 5.30 petang – 9.30 malam melalui laman web Sabah Catholic Youth, Facebook Sabah Youth Day 5 Papar dan aplikasi tertutup.
Program terbahagi kepada dua iaitu program terbuka yang boleh disertai oleh semua umat Katolik dan program tertutup khas untuk peserta belia yang berdaftar.
Program terbuka terdiri daripada Misa Pembukaan dan Misa Penutupan, Konsert SYD5, Acara Jalan Salib, Persembahan Tematik daripada para perserta dan Youth Fiesta.
Manakala program tertutup melibatkan sesi-sesi terdalam dengan tajuk spesifik bagi membantu pembentukan iman Katolik peserta.
Anna berkata intipati sesi-sesi ini akan menggunakan buku ‘Christus Vivit’, sebuah Ekshortasi Apostolik Bapa Suci Fransiskus kepada kaum belia yang diterbitkan pada Mac 2019, dan Ensiklik baharu dari Bapa Suci terbitan Oktober 2020, ‘Fratelli Tutti’ tentang persaudaraan dan persahabatan sosial.
Misa Pembukaan akan diadakan pada 19 Julai pada jam 6.00 petang yang akan dipimpin oleh Uskup Agung John Wong.
Manakala Misa Penutupan pula akan dipimpin oleh Uskup Piong pada hari terakhir 23 Julai pada jam 6.00 petang, dan uskup akan terus mengumumkan tuan rumah bagi SYD ke-6.