Kredit Imej: KOMSOS Keuskupan Keningau
Oleh Linda Edward
Okt 15 2021
KENINGAU – Uskup Cornelius Piong akan melancarkan “Gereja Sinodal – Komuniti, Partisipasi dan Misi” di peringkat Keuskupan Keningau pada 17 Okt ini serentak dengan pelancaran di semua keuskupan Gereja Katolik di seluruh dunia.
“Gereja Sinodal” telah dilancarkan secara rasmi oleh Bapa Suci Fransiskus pada 10 Okt lalu di mana dia mengajak Gereja Universal untuk menghidupkan satu pembaharuan menggereja yang dipanggil “Gereja Sinodal – Komuniti, Partisipasi, Misi menuju ke Milenium ketiga”.
Dengan pelancaran “Gereja Sinodal” di peringkat Keuskupan, Uskup Piong menyatakan harapannya agar semangat ini dihidupkan di semua peringkat Gereja.
“Besarlah harapan saya agar setiap kita Umat Tuhan – Paderi, Religius dan Awam – akan turut serta sedaya upaya menghidupkan semangat Komuniti, Partisipasi dan Misi di dalam membangun Gereja di peringkat keluarga, KKD, KUK, Zon Mission dan Paroki.
“Apa sahaja perancangan Pastoral yang ingin kita laksanakan biarlah itu semuanya dijalankan berlandaskan kepada semangat Sinodal – Komuniti, Partisipasi dan Misi,” katanya.
“Gereja Sinodal” akan berlangsung selama dua tahun bermula Okt 2021 – Okt 2023.
Untuk membaca surat pastoral penuh Uskup Cornelius Piong, sila klik Surat Pastoral Uskup Cornelius Piong: Pelancaran “Gereja Sinodal – Komuniti, Partisipasi dan Misi” Peringkat Keuskupan Keningau.