Uskup Cornelius Piong, bercakap kepada belia semasa SYD-3 di Tambunan beberapa tahun lalu | Foto DOSPO
Oleh Linda Edward
Sep 16 2020
KENINGAU – Dalam negara kita menyambut Hari Malaysia, pemimpin negara masa kini harus diingatkan semula akan semua janji-janji yang dipersetujui semasa membentuk negara Malaysia pada 16 Sep 1963.
Uskup Cornelius Piong berkata ini di dalam surat pastoralnya pada hari ini sempena sambutan ulangtahun pembentukan Malaysia yang ke-57.
Katanya lagi seluruh rakyat khususnya para belia juga perlu mengingati intipati Perjanjian Malaysia 1963 dan mengingat kembali semangat dan wawasan para pemimpin yang telah mewujudkan Malaysia – gabungan Malaya, Sabah dan Sarawak.
Kata Uskup Piong ini harus dilakukan, “agar syarat-syarat perjanjian tersebut tetap dihormati dan dilaksanakan, agar syarat-syarat pembentukan Malaysia tidak lupus ditelan zaman.”
Tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini adalah “Malaysia Prihatin”. Uskup berkata tema ini adalah sangat bagus jika ia benar-benar diterapkan dalam kehidupan setiap rakyat.
Untuk menterjemahkan sikap dan budaya prihatin di kalangan rakyat Malaysia, katanya kita perlu “hidup berTuhankan Allah Pencipta manusia, bukan bertuhankan allah ciptaan manusia supaya kebenaran tidak akan dikompromi.
“Sentiasa prihatin kepada keadaan dan keperluan sesama manusia, tidak kira fahaman politik, keturunan dan anutan agamanya.
“Sentiasa prihatin dengan keadaan dunia, tempat tinggal kita bersama, yang sedang mengalami banyak kerosakan dan penyakit kerana budaya dan sikap tidak bertanggungjawab oleh manusia. Manusia sendiri yang mengakibatkan pemanasan global, pencemaran udara dan air yang berleluasa.
“Mengubah sikap semua perbuatan-perbuatan mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa akibatnya bagi masa depan anak-anak kita.”
Surat Pastoral penuh Uskup Cornelius Piong sempena Hari Malaysia 2020.