Menara Salib Suci di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon Keningau | Foto Facebook:Discover Keningau
Oleh Linda Edward
Sep 12 2020
KENINGAU – Uskup Cornelius Piong memanggil umat untuk mengambil masa berziarah ke Menara Salib Suci Keluarga Kudus Nulu Sosopon (PZKKNS) sempena Pesta Salib Suci pada 14 Sep, menurut surat pastoralnya.
Uskup Piong berkata Menara ini dibina bukan sekadar untuk hiasan atau pameran tetapi satu harapan agar ia “membawa kita mengingati dan mensyukuri bahawa salib-salib yang kita pikul setiap hari jika disemangati oleh cinta kasih, kesetiaan dan pengorbanan (Yesus), tidak akan sia-sia.”
Menara Salib Suci ini mempunyai lima aras yang menurut Uskup adalah simbol untuk mengingatkan kita kepada lima luka Yesus. Sambungnya lagi, kedudukan Menara yang terletak di hadapan patung Bonda Maria dan Keluarga Kudus Nazareth bermaksud Bonda menopang kita dan memberi penghiburan apabila kita mengangkat salib kehidupan.
“Semua ikon-ikon yang terdapat di PZKKNS menjadi sumber kekuatan, kesatuan, kesetiaan dan kebahagiaan bagi kita secara peribadi, dalam keluarga dan dalam komuniti,” ujar Uskup.
Menara Salib Suci dengan ketinggian 70 kaki ini adalah pertama di Sabah dan telah dirasmikan dan diberkati pada 4 Jun 2016.
Uskup Piong berkata penziarah juga boleh datang bersama keluarga atau komuniti ke PZKKNS pada bila-bila masa sahaja sepanjang tahun.
“Mari kita memperdalamkan pengenalan dan kesyukuran kita terhadap Salib, lambang yang digunakan Yesus untuk mengungkapkan cinta kasihNya kepada kita,” kata Uskup.
Gereja Katolik merayakan Pesta Salib Suci pada setiap tahun untuk menghormati salib Yesus Kristus, simbol universal iman Kristian dan lambang cinta kasih Tuhan mengalahkan maut.
Surat Pastoral penuh ‘Arahkan Pandangan Kita Kepada Salib Yesus’.