Uskup Julius Dusin Gitom bergambar bersama peserta TBK 2 selepas Misa Kudus
Oleh Tim Multimedia dan Publisiti TBK 2 (Gambar: Sandakan Diocesan Youth Apostolate)
Sep 17 2023
SANDAKAN – Temasya Belia Keuskupan Sandakan 2 (TBK 2) telah pun melabuhkan tirainya. Seramai 294 orang yang terdiri daripada 197 orang peserta, 71 orang tim penganjur dan 26 orang sukarelawan dari lima paroki dan satu misi di seluruh keuskupan Sandakan, iaitu Kontinjen Sandakan, Kontinjen Tawau, Kontinjen Lahad Datu, Kontinjen Telupid, Kontinjen Beluran dan Kontinjen Misi Paitan telah menyertai program kali ini. Penganjuran TBK 2 telah diadakan di Paroki Katedral St Mary Sandakan bermula pada 28 Ogos 2023 sehingga 1 Sep 2023.
Kehadiran kesemua peserta ke program itu bermula dengan perayaan Misa Kudus sempena pembukaan TBK 2 yang disempurnakan oleh Uskup Julius Dusin Gitom pada 28 Ogos 2023 di Gereja St Joseph, Sandakan. Uskup dalam ucapan pembukaannya, mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan penganjur yang menyertai TBK 2. Uskup menekankan kepada para peserta agar menjadi seperti Maria yang bergegas pergi sepertimana yang ditunjukkan oleh keinginan Maria untuk melayani orang lain.
Tambahnya, semangat bergegas itulah yang harus diterapkan dalam diri agar sentiasa bersedia untuk melayani antara sesama. Namun, kegesaan ini akan menjadi tidak baik sekiranya sesuatu perkara dilakukan tanpa memikir pro dan kontra tindakan berkenaan.
Uskup Julius menyeru semua peserta agar terus mempunyai keinginan melayani seperti Bonda Maria tetapi harus dimulakan dengan fikiran yang waras agar dapat menghasilkan kesan yang baik. Diakhir homilinya, Uskup meneguhkan bahawa setiap tindakan itu bukan sahaja akan membawa kebaikan kepada diri sendiri, malahan kepada orang lain.
Uskup Julius Gitom menyalakan obor temasya
Sesi penyalaan obor temasya telah diadakan selepas misa kudus pembukaan di luar perkarangan Gereja St Joseph. Setelah itu, Uskup, para paderi, religius, dan kesemua peserta beredar ke Dewan St Joseph SM Konven St Cecilia untuk Welcoming Night.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam TBK-2 adalah empat sesi dengan topik yang berbeza iaitu Holy and Modern, I am an Image of God, Daily Service vs Daily Routine dan To be called and Answered.
Sesi disampaikan oleh penceramah jemputan yang terdiri daripada para paderi, religius dan individu-individu yang dilantik oleh penganjur. Kesemua sesi dijalankan di lokasi yang berbeza iaitu mengikut kategori umur. Kategori A adalah peserta yang berusia 15 – 18 tahun, Kategori B antara 19 – 24 tahun, dan Kategori C pula bagi mereka yang berusia 25 – 45 tahun. Setiap sesi ini membawa objektif yang berbeza sesuai dengan kategori umur para peserta dan yang pastinya setiap sesi berkenaan memberi input dengan impak yang berbeza dalam kalangan peserta.
Hari kedua dan ketiga TBK 2 diisi dengan aktiviti sesi pendalaman iman di waktu pagi, kemudian diteruskan dengan aktiviti yang sedikit lasak pada waktu petang. Pelbagai permainan telah disediakan oleh penganjur bagi memastikan para peserta dapat menyeimbangkan pembentukkan iman dan aktiviti bukan bersifat kerohanian seperti bersukan.
Dalam setiap permainan yang diadakan dapat dilihat bahawa semua peserta sentiasa bersedia dan mahu menyahut cabaran dalam kehidupan mereka. Hal ini dapat dilihat melalui sorakan yang diberikan kepada pasukan mereka masing-masing.
Aktiviti sukan itu dilihat bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta, malah memberikan mereka ruang dan peluang untuk berkenalan secara sihat dengan peserta daripada kontinjen yang berbeza.
Hari ketiga penganjuran program itu, para peserta diberikan kesegaran iman semula melalui Adorasi Sakramen Mahakudus yang diadakan di Gereja St Joseph. Para peserta dibawa untuk merasakan kehadiran Yesus dalam hidup mereka, dan bagaimana mereka sentiasa dipanggil untuk melayani Yesus.
Penganjur juga membuka ruang kepada para peserta untuk sesi kaunseling. Sesi itu melibatkan para sister dan juga beberapa orang terpilih yang berkelayakan untuk mendengar luahan hati peserta. Sakramen Tobat juga diadakan semasa adorasi sedang berlangsung, di mana uskup serta beberapa paderi terlibat sama untuk memberikan absolusi.
Hari keempat TBK-2 bermula dengan sesi pendalaman iman melalui Vigil Night yang diadakan pada jam 3.00 pagi. Aktiviti yang sepatutnya diadakan di kawasan padang sekolah tetapi dipindahkan ke dalam dewan memandangkan cuaca hujan. Semua peserta telah mengikuti aktiviti itu dan dapat dilihat bahawa para peserta dapat mendalami tujuannya. Sesi berikutnya adalah sesi forum remaja yang membawa tajuk Role Of The Young.
Empat orang panel berkaliber dijemput untuk menjawab semua soalan yang difikirkan bertepatan untuk pembangunan karakter iman para peserta. Semua panel telah memberikan pandangan mereka sesuai dengan pengalaman yang mereka alami.
Hal ini dapat dipastikan apabila banyak soalan yang diutarakan kepada panel sememangnya menjurus kepada perkongsian daripada setiap panel. Seusai forum, para peserta dibawakan persembahan pantomim untuk memberikan penjelasan yang lebih baik mengenai aktiviti yang akan dilalui oleh para peserta pada petang hari keempat iaitu Exposure.
Aktiviti Exposure yang dilaksanakan di beberapa lokasi yang berbeza dan aktiviti yang berbeza dilihat membawa pembentukan iman secara tidak langsung dalam kalangan peserta. Mereka merasakan bahawa setiap pengalaman yang mereka lalui dalam aktiviti ini telah memberikan mereka kesegaran yang luar biasa.
Kebanyakkan aktiviti para peserta adalah melibatkan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan seperti membersihkan kawasan gereja, kuburan, bangunan, dan juga rumah penjagaan haiwan. Ada dalam kalangan peserta telah menyatakan bahawa mereka sangat tersentuh apabila dapat menyediakan makanan untuk haiwan yang terbiar. Sebaik selesai sesi Exposure, para peserta diminta berehat untuk malam yang penuh bermakna iaitu Youth Talent Show.
Hari keempat diakhiri dengan persembahan-persembahan yang menarik daripada semua kontinjen. Pelbagai emosi yang di bawa dalam setiap persembahan, kontinjen Beluran membawakan dikir barat rohani, sesuatu yang sangat diluar kotak. Kontinjen Sandakan memberikan persembahan berbentuk nyanyian dan dapat dilihat penglibatan yang luar biasa daripada penonton. Kontinjen Lahad Datu pula membawakan persembahan berbentuk tarian yang bercitrakan masyarakat setempat di paroki berkenaan, suatu persembahan yang dipenuhi warna. Kontinjen Misi Paitan juga telah menyerikan malam bakat ini dengan persembahan tarian mereka yang begitu meriah. Manakala kontinjen Telupid pula telah meninggalkan kesan yang mendalam melalui taridra yang dipersembahkan sehinggakan ramai penonton yang terharu dan sebak. Di akhir persembahan, kontinjen Tawau telah membawa para penonton untuk menghayati lakonan mengenai belia, dan koreograf kontinjen ini juga telah menyediakan sesi khas untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penganjur.
Di hari terakhir TBK-2, para peserta bersama umat berkumpul dalam Misa Kudus penutupan. Selebran pada Misa penutupan ialah Fr Simon J Kontou. Dalam homilinya, beliau menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang percaya Yesus adalah jalan kebenaran dan hidup, ia akan terus kekal sebagai seorang Katolik.
Tambahnya, sekiranya seseorang tahu apa yang dia kehendaki, maka dia juga akan tahu bagaimana dan apa yang perlu dilakukan. Hal ini demikian kerana, seseorang mungkin menginginkan banyak hal dan benda, dan perkara itu akan membawa kepada dua situasi; dirinya semakin mendekat kepada Tuhan atau sebaliknya. Fr Simon mengakhiri homilinya dengan menyeru para peserta untuk terus mengenali Tuhan, tahu keinginan masing-masing, dan melakukan perkara yang boleh membawa kita lebih dekat kepada Tuhan. Sebelum berkat penutup, Fr Simon menjemput para belia yang berkeinginan untuk menyahuti panggilan kepaderian dan religius untuk berdiri bagi menerima berkat khas.
Selesai doa pengutusan, sesi ucapan telah diadakan. Sesi dimulakan dengan ucapan daripada koordinator TBK-2 iaitu Elisha Edward de Los Santos dan seterusnya ucapan serta amanat daripada Fr Simon. Dalam ucapannya, Fr Simon menyampaikan permohonan maaf daripada Uskup yang tidak dapat bersama-sama dalam penutupan berkenaan. Sejurus ucapan selesai, sesi perarakan ikon Bonda Maria dan Obor Temasya telah diadakan. Perarakan ini adalah simbolik bahawa akan ada paroki seterusnya yang menganjurkan Temasya Belia Keuskupan bagi siri yang ketiga.
Fr Simon mengumumkan tuan rumah penganjuran Temasya Belia Keuskupan Ketiga (TBK-3) ialah Paroki Tawau, maka Ikon Bonda Maria dan Obor Temasya diserahkan kepada pembantu paderi paroki Holy Trinity Tawau, Fr Dafrinn Diwol. Sorakan yang begitu meriah daripada semua kontinjen membawa harapan bahawa para belia sememangnya sentiasa haus akan program yang seumpama.
Lagu tema TBK-2 dinyanyikan buat kali yang terakhir dalam lima hari program itu, kemudian disusuli dengan sesi bergambar para religius, penganjur dan peserta. Pertemuan selama lima hari itu telah membawa kesan yang sangat positif dalam kalangan peserta. Sememangnya penganjuran tertunda akibat pandemik, membawa suatu berkat tersembunyi. Sesi gotong-royong membersihkan tapak program diadakan sebelum kesemua kontinjen akhirnya meninggalkan lokasi Temasya Belia Keuskupan yang kedua.