Uskup Cornelius Piong bersama tim belia selepas mengumumkan tuan rumah SYD6 di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg.Tuarid, Tatal.
Oleh Juanis bin Marcus
Jul 28 2021
KENINGAU- Kejayaan para belia di Sabah menganjurkan Virtual Sabah Youth Day 5 ditutupi dengan penuh bergaya dengan pengumuman Tuan Rumah Sabah Youth Day 6 oleh Yang Mulia Bapa Uskup Cornelius Piong.
Pengumuman itu dibuat pada 23 Julai yang lalu melalui Misa Kudus Penutupan V-SYD5 yang diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg.Tuarid, Tatal. Rasminya, Katedral St Francis Xavier (KSFX) Keningau akan menjadi tuan rumah SYD6 pada tahun 2024.
Ini merupakan kali kedua Katedral St Francis Xavier, Keningau menjadi tuan rumah bagi pesta belia terbesar di Sabah itu, apabila pernah menjadi tuan rumah sebelumnya di SYD1 pada tahun 2004.
Semasa Misa Kudus tersebut, Uskup Cornelius menyuarakan pertanyaannya kepada para belia tentang maksud di sebalik perkataan “Ya”.
“Selepas Bonda Maria mengatakan Ya, apakah yang dialami olehnya selepas itu? Bonda Maria mengalami banyak cabaran,” jelas Uskup Cornelius, oleh sebab itu para belia harus menanggapi perkataan “Ya” itu dengan komitmen dan perlakuan yang penuh tanggungjawab”.
Ketua Keuskupan Keningau itu juga menyeru agar para belia mempunyai sense of belonging iaitu bangga menjadi belia-belia Kristus. Bangga menjadi persatuan dengan Kerajaan Tuhan.
Uskup Cornelius juga mengharapkan SYD6 dapat diadakan melalui pertemuan fizikal kelak.