Dari kiri, Fr David Gasikol, Fr Lazarous Uhin dan Uskup Cornelius Piong
Oleh Juanis bin Marcus
Jul 28 2021
KENINGAU – Satu Julai merupakan hari yang cukup bermakna bagi Ketua Gembala Keuskupan Keningau, Uskup Cornelius Piong apabila menyambut hari lahirnya yang ke-72. Meskipun dirayakan secara sederhana, namun cukup meninggalkan kenangan yang penuh nostalgia.
Sambutan tersebut diadakan di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg.Tuarid Tatal dan dihadiri oleh paderi yang melayani di Paroki Keningau, Pengerusi MPP Keningau, beberapa pengerusi-pengerusi zon, para Sister dan juga krew Kekitaan FM.
“Syukur kerana masih sihat walaupun bertambah usia lagi, terima kasihlah kepada semua paderi dan umat di Keuskupan Keningau yang sentiasa menyokong,” ucap prelatus.
Ketua Keuskupan Keningau yang juga berbakat dalam penulisan lirik lagu, ‘Umat Allah berjalan bersama’, juga menyeru agar umat di Keuskupan Keningau terus mengamalkan budaya berjalan bersama sebagai komuniti umat Tuhan.
Sepanjang kepimpinan Yang Mulia Uskup Cornelius Piong, Keuskupan Keningau jelas menunjukkan peningkatan bukan sahaja dari segi pengetahuan iman di kalangan umat tetapi juga melalui pertambahan bilangan gereja dan juga umat Katolik di Keuskupan Keningau.
Turut disambut pada masa tersebut adalah Hari Kelahiran Fr David Gasikol yang jatuh pada tanggal 29 Jun dan Fr Lazarous Uhin pula pada 2 Julai.