Segmen “Rabu Abu Makna Spiritualitas dan cara Penerimaan Musim Covid19 bersama YM Uskup Datuk Cornelius Piong” bersama DJ Uji 16 Feb
Oleh Linda Edward
Feb 17 2021
KENINGAU – Umat Katolik di seluruh dunia kini memasuki musim Prapaska selama 40 hari yang bermula dengan penerimaan Abu pada hari ini 17 Feb, Hari Rabu Abu.
SOP baharu yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Malaysia untuk mengekang penularan coronavirus hanya membenarkan kehadiran maksimum 45 orang di dalam satu-satu pelayanan gereja dan jumlah yang sedikit ini tidak memungkinkan ratusan ribu Katolik tempatan untuk menerima Abu seperti biasa dalam tradisi Gereja.
Semenjak pandemik bermula pada awal tahun 2020, Gereja telah melaksanakan pelayanan Misa online agar umat tetap dapat menghayati Sakramen Ekaristi walaupun hanya secara maya.
Ramai umat Katolik juga akan hanya mengikuti Misa online pada Hari Rabu Abu ini dan Gereja tempatan sudah membuat keputusan mengenai cara yang terbaik bagi umat menerima Abu secara fizikal di dahi masing-masing.
Bagi Keuskupan Keningau, Uskup Cornelius Piong telah menetapkan tiga cara penerimaan Abu yang ditetapkannya berdasarkan SOP yang tidak menggalakkan sentuhan rapat dan pola kependudukan umat di Bahagian Pedalaman Sabah ini.
Tiga cara menerima Abu
Bagi mereka yang berkesempatan mengikuti Misa Kudus di dalam gereja atau chapel, Uskup Piong berkata, “Paderi atau katekis akan mengambil abu yang sudah diletakkan di dalam kontena atau bekas, dan meletakkan di telapak tangan umat.
“Cara penerimaan abu oleh umat adalah seperti cara dia menerima komuni, dan umat sendiri akan mengoles abu ke dahinya sendiri.
“Ayat “bertobatlah dan percayalah kepada Injil” tidak perlu lagi diucapkan oleh umat kerana ia sudah dilakukan semasa pemberkatan abu pada mulanya oleh paderi.”
Bagi majoriti umat Katolik yang akan hanya mengikuti Misa Rabu Abu secara online, Uskup berkata, “Ketua keluarga akan mengoles abu ke dahi ahli keluarganya sendiri. Terpulang kepada ketua keluarga sekiranya dia mahu mengatakan ayat “bertobatlah dan percayalah kepada Injil” atau tidak.”
Manakala bagi umat di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai capaian internet untuk mengikuti Misa online, Uskup berkata, “Mereka boleh mengambil abu yang sudah diberkati di paroki masing-masing dan melakukan doa singkat di dalam keluarga semasa menerima Abu.”
Uskup Cornelius Piong berkata ini di dalam segmen radio online KekitaanFM “Rabu Abu Makna Spiritualitas dan Cara Penerimaan di Musim Covid19 bersama YM Uskup Datuk Cornelius Piong” pada 16 Feb.
Makna spiritualiti Rabu Abu
Masa prapaska adalah tradisi Gereja Katolik sejak dahulu lagi untuk mempersiapkan umat menyambut Paska, Pesta Kebangkitan Tuhan Yesus Kristus.
Uskup Piong berkata Prapaska dimulakan dengan menerima Abu untuk mengingatkan kita bahawa “kita ini debu dan akan kembali menjadi debu” dan bahawa “hidup kita ini bergantung kepada Tuhan Pencipta”, oleh itu kita harus bertobat.
Bercakap melalui pengalaman berbual bersama umat, Uskup berkata umat tidak seharusnya menganggap Abu itu sebagai azimat.
“Abu yang diberkati itu jangan kita anggap sebagai azimat. Sebenarnya abu yang kita terima itu adalah lambang keinginan kita untuk mahu bertobat.”
“Prapaska adalah kesempatan kita untuk bertobat dan disedarkan supaya kita kembali kepada Tuhan, hidup harmoni sesama manusia dan dengan alam ciptaan Tuhan,” kata Uskup Piong.
Amalan penting sepanjang Prapaska
Tiga amalan penting sepanjang Prapaska adalah berdoa, berpuasa dan bersedekah.
Uskup berkata berpuasa tidak hanya terhad kepada makanan dan minuman tetapi merangkumi segala yang ada pada diri kita seperti keinginan, selera dan deria kita.
“Kalau ini tidak membantu kita dekat kepada Tuhan dan bertanggungjawab terhadap sesama dan alam ciptaan Tuhan, maka itulah kita harus puasakan semuanya ini,” katanya.
Bersedekah untuk membantu antara sesama manusia dan berdoa supaya kita dibantu untuk membangun relasi dengan Tuhan, sesama dan alam ciptaan Tuhan adalah juga fokus amalan sepanjang musim Prapaska.
Di dalam tradisi Prapaska, umat berpuasa selama 40 hari tetapi tidak termasuk Hari Minggu.
“Ada sedikit kelonggaran puasa pada Hari Minggu dalam musim Prapaska kerana Hari Minggu itu menandakan hari kebangkitan Tuhan Yesus. Namun umat tidak digalakkan untuk berlebihan atau berpesta.
“Segala perayaan tidak dibenarkan tetapi kalau ia tidak dapat dielakkan, perayaan itu boleh diadakan namun jangan berpesta pora,” kata Uskup, contohnya pemberkatan perkahwinan, pertunangan atau sambutan harijadi.
Melihat kepada budaya ‘magagung’ atau memalu gong semasa perayaan bagi suku kaum Kadazan Dusun Murut, Uskup berkata umat harus elakkan daripada memalu gong kerana ini adalah tanda berpesta.
“Ingat kita ini dalam masa berpantang dan biarlah kita sederhana. Gereja tidak cakap ‘tidak boleh langsung’ (adakan perayaan) tapi buatlah secara sederhana dan beringat bahawa kita dalam masa berpuasa dan berpantang,” katanya.
Percaya kepada Tuhan
Sikap tidak percaya kepada Tuhan dan tidak menghormatiNya akan menjurus kepada sikap tidak peduli kepada sesama manusia dan alam ciptaan Tuhan kata Uskup.
Dia berkata lagi perkara ini boleh dilihat di seluruh dunia sekarang seperti yang dipaparkan di kaca televisyen.
“Berita memaparkan bagaimana penderitaan manusia pada masa ini, yang dibunuh, menjadi pelarian, wanita dan anak-anak yang sangat menderita kerana mereka terpaksa lari dari negara mereka untuk ke negara lain, dengan harapan mereka akan mendapat pelayanan.
“Bagi saya, perkara pertama yang harus ditanya ialah kenapa mereka menjadi pelarian, meninggalkan negara mereka?
“Besar kemungkinan di sana adalah pucuk kepimpinan, pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri. Rakyat mereka lari mencari negara yang mereka harapkan boleh hidup dengan lebih baik. Tetapi itupun bukan mudah kerana hal-hal politik.”
Melihat kepada realiti ini, Uskup Piong menyeru umat agar sama-sama merenung samada kita benar-benar percaya kepada Tuhan kerana segala pemikiran dan tindakan kita akan dipengaruhi oleh iman.