Para katekumen yang hadir bersama penanggung ke upacara pemilihan nama
Oleh SOCCOM Kateketikal
Mar 28 2023
TELUPID – Pada 26 Februari 2023 bersamaan hari minggu Prapaskah 1, upacara pemilihan nama para katekumen telah dijalankan di Gereja St Martin, Telupid. Pemilihan katekumen ini melibatkan seramai 109 orang dari seluruh paroki. Pendaftaran calon bermula seawal pukul 7.00 pagi bagi memastikan kehadiran semua calon. Semua persiapan untuk pelaksanaan pemilihan ini dilakukan oleh AJK Induk Kateketikal St Martin, Telupid. Upacara pemilihan nama katekumen ini telah disempurnakan oleh paderi paroki iaitu Fr Christopher Ireneus setelah selesai homili.
Pengerusi Komiti Katekatikal Paroki menyerahkan senarai nama kepada paderi paroki.
Sebelum upacara pemilihan katekumen dijalankan, paderi telah memberi sedikit renungan dan nasihat kepada semua calon sekaligus kepada semua umat yang hadir ke Misa Kudus pada hari tersebut. “Menjadi seorang Katolik adalah pilihan kamu dan perjalanan hidup Katolik bukanlah mudah kerana iblis itu selalu mencari kesempatan untuk mencubai dan memisahkan kita dengan Yesus Kristus.
Penerimaan sakramen bukanlah jaminan automatik terlepas daripada percubaan dan godaan. Selepas dibaptis ada juga umat yang tidak datang ke gereja dan keluar dari Katolik namun kita kena ingat bahawa waktu kita dibaptis, kita telah melafazkan janji dengan Tuhan untuk mengikuti segala perintah-Nya.” Demikianlah sedikit nasihat yang disampaikan oleh paderi.
Akhir sekali, paderi menyampaikan amanat kepada para calon dan semua umat bahawa kita semua harus saling mendoakan, menjadi teladan yang baik kepada sesama, sentiasa berdoa dan sentiasa berjalan bersama dalam pelayanan. – dospo