(Kiri) Penyerahan para calon katekumen kepada Uskup Agung John Wong oleh rektor paroki Fr Paul Lo diikuti dengan penyerahan Buku Daftar calon baptisan oleh wakil pembimbing dalam upacara Pemilihan (kanan)
Oleh Catherine Wan
Feb 25 2021
KOTA KINABALU – Di bawah keadaan normal, para katekumen dari semua paroki di bawah Keuskupan Agung Kota Kinabalu, akan hadir bersama di dalam satu Upacara Pemilihan pada Minggu Prapaska pertama sebagai salah satu persediaan mereka untuk memasuki Gereja Katolik sepenuhnya.
Walau bagaimanapun situasi pandemik yang tidak menentu telah menjejaskan kelas pertemuan Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) dan seterusnya seluruh perjalanan Inisiasi.
Untuk mengamati SOP penjarakan sosial, Keuskupan Agung telah membuat keputusan bahawa setiap paroki akan menjalankan Upacara Pemilihan untuk katekumen mereka di tempat masing-masing.
Dengan pelaksanaan PKPB baru-baru ini yang mengizinkan pembukaan tempat beribadat, rektor Paroki Katedral Hati Kudus, Fr Paul Lo telah menganjurkan Upacara Pemilihan pada hari Minggu Prapaska pertama, 21 Feb, di Dewan Paroki Hati Kudus.
Upacara ini dijalankan oleh Uskup Agung John Wong untuk orang dewasa yang belum dibaptis yang berumur 16 dan ke atas, yang telah memulakan perjalanan katekumenat mereka sejak tahun lalu.
Upacara Pemilihan atau Pendaftaran Nama adalah upacara liturgi yang menandakan berakhirnya masa katekumenat (masa pembentukan ‘minda dan hati’ yang panjang bagi katekumen) dan para pilihan didorong mengikuti Kristus.
Langkah ini disebut Pemilihan kerana penerimaan katekumen yang dilaksanakan adalah berdasarkan kepada pemilihan oleh Tuhan, atas nama Gereja yang bertindak. Langkah ini disebut Pendaftaran Nama sebagai ikrar kesetiaan calon mencatatkan nama mereka ke dalam buku yang menyenaraikan nama yang telah dipilih untuk Inisiasi.
Dengan pematuhan SOP, 13 katekumen dari IKD (RCIA) Bahasa Inggeris dan sembilan katekumen dari IKD bahasa Cina telah mengambil bahagian dalam upacara Pemilihan diiringi oleh penanggung mereka pada jam 8.00 pagi.
Manakala 53 katekumen dari IKD Bahasa Malaysia Katedral Hati Kudus dan 14 katekumen dari St Paul Dontozidon mengambil bahagian dalam Upacara Pemilihan pada jam 9.00 pagi pada hari yang sama.
Selepas pewartaan Injil, Uskup berkata rasional upacara diadakan pada masa Prapaska adalah kerana ia merupakan masa pembaharuan hidup kita dalam Yesus Kristus yang telah menyerahkan hidupNya bagi kita.
Dia bertanya kepada para katekumen samada mereka mengenali Dia dan menerima Dia sebagai Tuhan hidup mereka. Uskup menerangkan tentang Injil yang diambil dari Matius 4:1-11 di mana Yesus dicobai. Dia menekankan bagaimana Yesus telah mengatasi godaan Iblis di padang gurun dengan menggunakan Firman Allah, mempercayai Allah sepenuhnya, menyembah dan melayani hanya Dia sahaja.
Mereka didorong untuk mengetahui siapa Roh Kudus yang mereka akan terima melalui Sakramen Inisiasi kerana mereka akan dibimbing oleh Roh Kudus untuk melakukan kehendak Tuhan.
Gereja akan menilai kesiapan mereka dan memutuskan kemajuan mereka menuju Sakramen Inisiasi berdasarkan kesaksian para penanggung dan katekis, dan penegasan para katekumen tentang niat mereka,
Oleh karena itu, Gereja membuat “pemilihan”, iaitu pilihan dan penerimaan para katekumen yang menyatakan kesediaan mereka untuk mengambil bahagian dalam Sakramen Inisiasi, iaitu – Pembaptisan, Penguatan dan Ekaristi.
Dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembimbing IKD telah menggunakan ZOOM atau Google Meet atau lain-lain saluran atas talian untuk berhubungan dengan para katekumen. Selepas Upacara Pemilihan, mereka telah memulakan sesi pembentukan di dalam kelas pada hari yang sama.
Pembimbing IKD BM, En Anthony Makinjal sedang menjalankan sesi bersama dengan para pilihan selepas Upacara Pemilihan.
Upacara Tobat bagi semua bahasa akan diadakan pada 8 Mac, 15 Mac, 22 Mac dan Upacara Akhir pada Sabtu Suci, 3 April bagi para pilihan sebagai persiapan sebelum pembaptisan mereka.