Oleh SOCCOM Telupid
August 2 2022
TELUPID – Umat di Paroki St Martin di sini, mengalu-alukan kedatangan Fr Stephen Esguerra bertugas dan melayani secara rasmi di Paroki St Martin, Telupid.
Majlis Pastoral Paroki Telupid yang dipengerusikan oleh Albert Andau mengambil inisiatif untuk mengadakan satu majlis sambutan secara sederhana bersama umat pada 10 Julai 2022, jam 12.00 tengah hari di ruang legar Dewan Pastoral Gereja St Martin.
Pada pagi hari yang menggembirakan itu, Fr Christopher Ireneus selaku Paderi Paroki St Martin, dan Fr Stephen bersama merayakan Misa Kudus.
Dalam ucapan Fr Stephen, beliau memohon agar umat dapat berjalan bersama, berganding bahu dengan para paderi dalam pelayanan dan tidak memanjakan mereka sebagai paderi kerana para paderi juga adalah insan biasa. Beliau berharap agar umat dapat melayani sesama dengan kasih, selaras dengan Visi dan Misi Keuskupan Sandakan.
Fr Stephen berasal dari Paroki Holy Trinity, Tawau. Beliau yang ditahbis menjadi diakon pada 28 Okt 2019 dan sebagai paderi pada 13 Mei 2021 di Katedral St Mary, Sandakan. Sejak itu, beliau ditugaskan sebagai paderi pembantu Paroki Katedral St Mary, sehinggalah selepas mesyuarat para paderi Keuskupan Sandakan pada bulan Mei 2022 lalu, Fr Stephen ditugaskan di tempat baharu iaitu Paroki St Martin, Telupid.
Antara tugas dan tanggungjawab Fr Stephen kini di Paroki St Martin, adalah sebagai Pengarah bagi dua komisi iaitu, Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Sandakan (KKCT) dan Komisi Alkitab Keuskupan Sandakan (KAK).