Salah satu keluarga semasa sesi perdamaian
Oleh Mujimah @ Maureen
Sep 12 2023
MISI PAITAN – Selepas penubuhan Pelayanan Hidup Keluarga di Misi Paitan lebih kurang empat bulan yang lalu, disusuli dengan program Bengkel dan Latihan ‘Cinta Bijak’ serta Kursus konvalidasi bagi pasangan suami isteri yang sudah berkahwin tetapi belum mendapat pemberkatan perkahwinan di gereja, satu lagi program anjuran Komisi Hidup Keluarga Keuskupan Sandakan iaitu program ‘Sukacita dalam Kasih Keluarga’ telah diadakan di chapel St Clare Dalamas, Paitan. Ia diadakan bersama ahli Pelayanan Kehidupan Keluarga Misi Paitan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Masyarakat selama dua hari pada 12 dan 13 Ogos 2023.
Tujuan program Sukacita dalam Kasih Keluarga itu adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa serta anak-anak tentang peranan masing-masing untuk saling menghargai dan mengeratkan hubungan dalam keluarga serta menyemai sikap saling mengasihi, menyayangi dan menghormati nilai-nilai murni dan memupuk sikap berkomunikasi dengan lebih terbuka serta sikap percaya di dalam keluarga.
Seramai 128 peserta yang terdiri daripada golongan ibu bapa, warga emas, belia remaja, dan kanak-kanak menyertai program itu. Para penceramah menggunakan masa sepenuhnya untuk menerangkan enam topik iaitu Komunikasi dalam Keluarga, Ketagihan substan dan gajet: kesannya kepada keluarga, Cabaran Keluargaku, Memahami Keluargaku, Keibubapaan Cemerlang dan Perdamaian.
Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil dan diberi soalan untuk memberi perkongsian pengalaman.
Setiap kumpulan bekerjasama memberikan jawapan dan membentangkan hasil kumpulan masing-masing. Sebelum topik diteruskan, para penceramah menyoal para peserta apakah yang mereka fahami tentang topik yang disampaikan? Ini dapat membantu peserta untuk lebih memahami secara lebih mendalam tentang topik tersebut ditambah lagi dengan perkongsian yang diberikan melalui pengalaman hidup mereka.
Selain itu, kanak-kanak dibawah 11 tahun juga diberi aktiviti seperti mewarna dan menjawab soalan kuiz untuk memberi pemahaman tentang keluarga Tuhan Yesus.
Sesi yang paling menyentuh hati semua peserta adalah sesi perdamaian di mana setiap ahli keluarga berkumpul dan saling bermaafan. Sesi ini telah membuatkan setiap ahli keluarga meluahkan perasaan masing-masing dan akhirnya berdamai antara satu dengan yang lain.
Dalam sesi “Cabaran Keluarga”, seorang kanak kanak telah diberi peluang untuk berkongsi namun mendiamkan diri daripada meluahkan perasaannya kerana takut dimarahi oleh ibu bapanya. Sesi ini menyedarkan ibu bapa bahawa sikap mereka yang pemarah dan tidak ambil peduli terhadap masalah anak membuatkan anak-anak mereka hidup tanpa ibu bapa yang boleh melindungi dan menyayangi mereka.
“Secara amnya, keluarga ini adalah satu anugerah dan bukanlah masalah. Masalah itu pasti timbul dalam kehidupan keluarga jika tiada sifat toleransi dalam keluarga. Penting bagi kita untuk menjaga dan mendidik keluarga agar sentiasa dalam keadaan harmoni. Maka dari situlah gereja kita akan membangun. Tetapi jika keluarga itu tidak tahu tentang gereja serta iman, bagaimanakah gereja itu akan maju?” kata Fr Arthur John, Paderi Penguasa Misi Paitan.
Pengerusi Pelayanan Keluarga Misi Paitan, Welly Pius, mengatakan “tujuan program diadakan adalah untuk menyatukan keluarga kita. Kalau kita mahu membina keluarga yang berkekalan haruslah kita membina dan mengambil teladan keluarga seperti keluarga Tuhan Yesus yang kudus”.
Harapan dengan penyertaan dan seturut kehendak Tuhan, semoga program seperti ini terus dilaksanakan dan tidak terhenti agar lebih ramai lagi keluarga yang menyedari dan memahami peranan dan tanggungjawab dalam keluarga. Semoga keluarga Kistian di Misi Paitan terus berkekalan. – Dospo