
Oleh Junehilda, Komsos
TENOM – ”Sebenarnya apa yang kamu lakukan sebagai Katekis Pembimbing adalah kamu meneruskan apa yang sudah Yesus mulakan,” kata Fr Bonaventure Unting memulakan homilinya dalam Misa Kudus pengutusan Katekis Pembimbing Separoki St Anthony pada 15 Feb 2025 selepas mengikuti rekoleksi yang dihadiri seramai 90 peserta.
”Di dalam pembacaan pertama hari ini, manusia memilih untuk TIDAK SETIA dan TIDAK TAAT kepada Tuhan sehingga menyebabkan manusia jatuh di dalam dosa. Siapapun kita, bagaimanapun hidup kita, kita ini milik Tuhan. Sekalipun kita jatuh di dalam dosa Tuhan datang mencari kita ’Di manakah engkau?’ Dan inilah yang dilakukan oleh seorang Katekis Pembimbing iaitu meneruskan misi Tuhan untuk mencari orang yang berdosa.
Ingatlah firman Tuhan ini ”Aku datang diutus bukan mencari orang yang benar tetapi mencari orang yang berdosa”.
“Untuk menjadi seorang Katekis Pembimbing tidak mudah. Terlalu banyak cabaran. Sudahlah tidak bergaji, kekadang dimarahi dan dipersalahkan tetapi janganlah putus pengharapan kerana itulah cabarannya. Ingatlah, bukan kamu yang melantik diri kamu sendiri tetapi Tuhanlah yang memilih kamu untuk menjadi saluran berkatNya.
“Jadi, dalam pelayanan kamu sebagai Katekis Pembimbing Tuhan tidak menuntut kesempurnaan tetapi Tuhan hanya inginkan kesungguhan dan kesetiaan kamu untuk melayani. Maka kerana kamulah setiap malam Paskah adanya Sakramen Inisiasi. Itulah buah pelayanan kamu,” jelas Fr Bona.
“Sebagai seorang Katekis Pembimbing sudah pastinya kamu juga membina sebuah keluarga dan melalui keluargalah institusi Gereja dibangun. Maka bijaksanalah dalam menjalankan kewajipan kamu sebagai seorang Katekis Pembimbing dan juga sebagai seorang ahli keluarga.
“Tuhan pasti senang hati melihat kamu melayani tetapi Tuhan juga pasti akan terluka saat kamu mengabaikan keluarga kamu. Jadi jalankan pelayanan kamu didalam semangat kesatuan dalam satu kumpulan kerana pada saat kamu mengalami kekangan untuk melayani rakan sekumpulan kamu dapat membantu,”.
Paderi itu menekankan maksud Injil pada hari itu dan menerangkan bahawa Yesus tidak mahu kita kelaparan. Yesus ingin kita sampai ke rumahNya. Maka melalui rekoleksi itu pengalaman dan perkongsian yang diterima, para Katekis Pembimbing disegarkan untuk melayani.
“Sebenarnya Tuhan mampu melakukan semuanya itu, tetapi Tuhan mahu kamu terlibat di dalam karya penyelamatanNya,” kata Fr Bona lalu berpesan, “teruskan pelayanan kamu, jangan berhenti. Berdoalah untuk keluarga kamu agar kamu juga didoakan oleh ahli keluarga kamu dan menopang karya pelayanan kamu.”