(Kiri)Roti yang bertanda dengan sabda Tuhan. (Kanan)Jenny Chong
Kompilasi oleh Lily Akau
Oct 21 2022
Perkongsian Seminar Alkitab oleh Jenny Chong
SEMASA pandemik Covid-19, iman saya sangat tergugat dan banyak kekangan untuk mendekati Tuhan Yesus terutama menghadiri Misa pagi di St Catherine Inanam. Lebih-lebih lagi apabila saya dijangkiti wabak itu, saya berfikir badan saya masih kuat dan bertenaga. Namun tak sampai sebulan, doktor mengesahkan bahawa saya mempunyai sindrom kerisauan (anxiety) kesan daripada Covid-19 dan tekanan kerja. Di situ saya mula menghadapi masalah insomnia setiap malam. Masa ini saya menyedari bahawa hanya Tuhan Yesus yang dapat menyembuhkan penyakit saya.
Baru-baru ini, saya telah mengikuti Seminar Alkitab yang dikendalikan sepenuhnya oleh Msgr Fr Nicholas Stephen di Katedral Sacred Heart.
Fr Nick dalam seminar ini berkata “ada kerinduan maka hati akan mencari”, tetapi bagi diri saya sebaliknya. Apabila ada masalah baru saya mencari Tuhan Jesus. Maka menghadiri Seminar Alkitab ini bukan kebetulan tetapi merupakan satu panggilan Tuhan kepada saya. Selama dua hari Seminar Alkitab ini, banyak yang saya dapat pelajari.
Kata-kata Fr Nick melalui ceramah itu, seperti jarum menusuk masuk ke dalam hati saya. Bagaimana kita mengaku mencintai Yesus sedangkan kita malas membaca sabdaNya?
Peribahasa Melayu mengatakan “Tak kenal maka tak cinta”. Bagaimana kita berani bercakap percaya kepada Yesus, sedangkan kita pun tidak mengetahui dia melalui alkitab. Apabila kita berdoa kita berbicara dengan Tuhan dan ketika kita membaca kitab suci, Tuhan berbicara dengan kita. Saya mula membuat renungan. Semasa berdoa, saya bercakap dengan banyak permintaan, tetapi adakah saya telah memberi masa kepada Jesus untuk mendengar apa yang ingin disampaikan kepada saya?
Keesokan hari, saya belajar tentang rumusan alkitab dari perjanjian lama sehingga perjanjian baru dalam seminar tersebut. Melalui apa yang saya telah pelajari, saya memulakan pembacaan alkitab menggunakan garis panduan. Sebelum ini saya hanya suka membaca perjanjian baru sahaja, rupa-rupanya perjanjian baru adalah melanjutkan dan menyempurnakan perjanjian lama. Hubungan Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru adalah sebagai penggenapan daripada janji Tuhan.
Di akhir seminar itu, pihak pengajur telah menyediakan hadiah paling istimewa kepada kami, iaitu roti yang bertanda dengan pelbagai sabda Tuhan. Sabda yang saya dapat adalah “Kamu akan Kuberikan hati yang baru, dan roh yang baru di dalam batinmu… (Yeh 36:26a).
Saya percaya Yesus telah mendengar permohonan saya dan telah menyembuhkan hati dan penyakit saya. Bagi diri saya, menghadiri Misa pagi merupakan ubat rohani untuk penyembuhan batin di samping mendekati Yesus. Saya beranggapan mendapat Covid dan penyakit bukanlah satu kerugian malah ada hikmah disebaliknya.
Banyak cara Yesus memanggil kita supaya Kembali kepadaNya. “Kuatkan dan teguhkan hatimu, janganlah takut dan jangan gementar kerana mereka, sabah Tuhan mu, Dialah yang berjalan menyertai engkau; Ia tidak akan membiarkan engkau dan tidak akan meninggalkan engkau.” (Ul 31:1). Semua benda boleh kita lepaskan tetapi Tuhan Jesus jangan sekali-kali kita lepaskan. Amen.