Timothy bersama dengan rakan sekelas Dominic CDD, Fernando OCD dan Luke OCD
By Timothy Fong OFM
Jan 26 2023
Kongsikan mengenai kerja-kerja misi atau amal yang kamu lakukan sekarang. Apa perasaan melakukan kerja-kerja misi ini?
Pada tahun sebelum ini, saya pernah melayani di Mamre Oak, sebuah pusat kebajikan yang disediakan bagi mereka yang kurang upaya dari segi intelek dan perkembangan mental.
Pada tahun 2022, saya meneruskan misi ataupun kerja amal di Canossaville iaitu sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Canossian Sisters (FDCC), yang mana mereka mengadakan after care student ataupun dikenali sebagai sebuah pusat jagaan pelajar bersepadu dan agensi perkhimatan sosial katolik yang memberi khidmat kepada kehidupan kanak-kanak di sekolah rendah dan keluarga mereka.
Tahun ini, saya baru sahaja mula melayani bersama Archdiocesan Commision for the Pastoral Care of Migrants and Itinerant People (ACMI), komisi yang menjaga keperluan pastoral orang asing di Singapura termasuk pembagunan kemahiran kepada semua pendatang dalam komuniti tanpa mengira agama, keturunan dan kewarganegaraan atau status ekonomi sosial. Perasaan yang teruja dan gementar sentiasa muncul apabila bermula melayani misi yang baru. Saya berharap untuk mendapat pengertian lebih mendalam, agar dapat membantu saya membuat pilihan didalam perjalanan saya mengenali Kasih Tuhan dalam kehidupan saya dan juga sesama.
Menjadi seorang friar religious:
Mengapa kamu memilih kongregasi OFM? Apa yang menarik hati kamu mengenai OFM? Bila dan bagaimana kamu jatuh hati kepada nilai-nilai OFM?
Pada tahun 2010, saya bertemu dengan seseorang yang berjubah coklat seperti “Harry Potter” semasa saya meneruskan pengajian tinggi saya di Universiti Putra Malaysia (UPM). Ini adalah pertama kali saya bertemu dengan seorang friar capuchin. Pada awal mulanya, Saya amat tertarik dengan cara penyampaian homili beliau yang senang difahami dan kearifan untuk berkait dengan isu semasa siswa serta pembacaan mingguan.
Selain dari pakaian habit, saya juga tertarik dengan ungkapan Santo Fransiskus dari Assisi yang mana dia ingin memulakan sesuatu dari awal sekali lagi, khususnya pada tahun-tahun terakhir hidupnya ketika tubuhnya semakin lemah. Apakah yang hendak dimulakan lagi? Thomas of Celano, pengarang kehidupan Santo Fransiskus dari Asisi, berkata Santo Fransiskus mahu melakukan hal-hal besar yang diibaratkan sebagai suatu pertempuran dan dia ingin menang dalam pertempuran itu. Pertempuran tersebut yang menarik hati saya adalah melawan egoism, semangat daging dalam diri sendiri, semangat berpusat pada diri sendiri, semangat untuk mencari keuntungan diri sendiri.
Mimpi menjadi kenyataan apabila saya mendalami pengetahuan tentang kisah perjumpaan Santo Fransiskus bertemu dengan tokoh Sultan al-Malik al-Kamil di Damietta, Egypt semasa perang salib. Ini adalah salah satu nilai yang saya perlu terapkan dalam diri saya agar dapat membuka semua platform untuk sentiasa berdialog ketika ada perbezaan pendapat dan bukannya menjadi satu madah pujian untuk membenci dan berperang.
Kongsikan rutin harian kamu di dalam komuniti?
Kebiasaannya, rutin harian saya akan bermula pada jam 5 pagi, dan bersedia bermeditasi di chapel, diikuti dengan doa pagi (lauds) dan Misa Kudus pada jam 7 pagi. Pada tahun ini, saya masih lagi belajar, dalam bidang falsafah tahun yang kedua, yang mana, kelas bermula pada jam 9 pagi sehingga 1 tengahari di St. Francis Xavier Major Seminary Singapura.
Pada sebelah petang, saya mengikuti pelbagai aspek pembentukan kendiri, kristiani dan fransiskan seperti speech class, drama class, rakaman secara langsung liturgi firman Tuhan, kerohanian fransiskan, mendaki bukit, bersenam, memasak, mengemas rumah, berkebun, kelas vokal, kelas muzik, dan sebagainya. Pada waktu malam pula, doa petang (vespers) pada pukul 7 malam diikuti dengan makan malam dan doa malam (compline). Masa yang lapang pula, saya suka membaca artikel kerohanian dan berita semasa secara atas talian.
Apa pelayanan yang kamu berikan kepada umat dan masyarakat? Apa renungan kamu mengenai melayani mereka?
Pelayanan sebagai seorang religius berbeza dengan diocesan. Selain dari pelayanan di paroki, para religius melayani golongan miskin, lemah dan terpinggir, di sekolah, hospital, kampung pedalaman, dan sebagainya. Tambahan lagi, ada sebahagian religius yang bekerja sebagai seorang guru, peguam, jururawat, pemandu Grab, doktor, pekebun dan pekerja sosial.
Setelah beberapa tahun berkecimpung dalam melayani umat dan masyarakat, mereka telah memberi impak yang kritis tentang diri saya sehingga membuatkan saya berkembang secara matang dalam pemikiran serta cara saya berinteraksi dengan sesama. Kesabaran, tidak cepat menghakimi tetapi melihat dari sudut yang berbeza dan berbelaskasih adalah aspek yang saya dapat pelajari dalam pelayanan umat dan masyarakat.
Umur, asal (daerah, kg.), tarikh dan tempat pelafazan kaul sementara.
Nama: Timothy Fong (OFM)
Umur: 33 tahun (15 Disember 1990)
Asal: Kg. Mottou, Keningau, Sabah.
Pelafazan kaul pertama (sementara): 09 April 2022 di Church of St Mary of the Angels, Singapura.
Status: Pelajar falsafah sepenuh masa tahun kedua dan dalam tahun keempat pembentukan sebagai student-friar
Status: Pelajar falsafah sepenuh masa tahun kedua dan dalam tahun keempat pembentukan sebagai student-friar