
SHALOM, saya Ellie Gloria May Eddie, 19, dari Paroki St Pius X, Bundu Tuhan mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana memberi saya peluang untuk menyertai Ziarah sempena Tahun Jubli Pengharapan 2025 iaitu ‘Pilgrim Walk’ yang telah dianjurkan oleh Katedral Hati Kudus KK pada 26 Jan lalu.
Ini adalah kali pertama saya menyertai ziarah ini. Saya berasa gembira dan tenang sepanjang perjalanan ziarah. Kakak saya menjadi inspirasi untuk saya menyertai ziarah ini.
Pengalaman yang menyentuh hati saya sepanjang ‘Pilgrim Walk’ adalah bagaimana Yesus membawa semua orang tidak melihat pada rupa paras kerana saya melihat para peziarah terdiri daripada bayi hingga warga tua yang sangat bersemangat meski cuaca kurang baik.
Selain itu, Paderi Paroki Fr Paul Lo berkata bahawa ramalan cuaca pada petang itu sebenarnya hujan, tetapi dengan kuasa Tuhan, Dia telah mengizinkan kita untuk melaksanakan ziarah bagi pembukaan Tahun Jubli 2025 dengan cuaca yang sangat baik.
Harapan saya dalam ziarah ini adalah untuk memperdalam hubungan rohani dengan Tuhan, menemukan kedamaian batin, dan memperkuat iman melalui doa dan refleksi. Saya juga berharap dapat merenungkan makna pelayanan dan menjadi saksi kasih bagi orang lain.
Untuk ziarah-ziarah berikutnya, saya berharap agar terus diberi kesempatan untuk bertumbuh dalam iman, menjalin komuniti yang mendukung secara rohani, dan membawa dampak positif bagi dunia melalui tindakan kasih dan harapan. Semoga setiap perjalanan menjadi pengingat akan panggilan hidup untuk melayani dengan tulus.