Fr Wilson Francis memberi homili pada Hari Minggu Paskah kedua sempena Minggu Kerahiman Ilahi (Gambar: Soccom Ranau)
Oleh Alicia Dora Paul
Apr 16 2024
RANAU – “Cinta kasih ini adalah berasal daripada Tuhan. Ia bukan daripada manusia, begitu juga dengan pengampunan,” kata Fr Wilson Francis dalam homilinya, pada Hari Minggu Paskah kedua, sempena minggu Kerahiman Ilahi di Gereja St Peter Claver, Ranau.
Kerahiman Ilahi adalah salah satu doktrin utama dan aspek penting dalam iman Katolik, yang mewakili kasih sayang dan belas kasihan Tuhan yang tidak terhingga untuk manusia. Konsepnya tertumpu kepada kepercayaan bahawa pendosa paling besar sekalipun akan diampuni jika mereka benar-benar bertaubat dan berpaling daripada dosa-dosa mereka.
Fr Wilson meneruskan homilinya dengan satu persoalan, “kenapa kita sangat sukar untuk mengampuni? Ini adalah kerana, apabila kita melihat diri kita sendiri, kita inginkan apa yang terbaik bagi kita dan untuk kepuasan diri kita. Demikianlah yang terjadi pada Adam dan Hawa, mereka terjatuh ke dalam dosa kerana apa yang mereka inginkan adalah untuk kepuasan diri mereka.”
Oleh itu, melalui perantaraan St Faustina, gereja Katolik menerima mesej pengharapan dan pengampunan ini, kita telah diberikan tiga mesej iaitu minta pengampunan, berdoa dan menjadi saksi. “Pengampunan itu bukan senang, tetapi tidak mustahil. Kedua, kita berdoa untuk orang lain agar mereka juga mengalami cinta kasih dan pengampunan Tuhan. Yang ketiga, menjadi saksi Kerahiman Ilahi iaitu apabila kita sudah menerima pengampunan, kita juga harus memberi pengampunan,” sambung Fr Wilson lagi.
Mengimbas kembali sewaktu beliau masih Seminarian, Fr Wilson yang kini bertugas sebagai paderi pembantu di paroki Ranau, menegaskan bahawa perkara yang menguatkan hatinya untuk menyahut panggilan menjadi paderi pada akhirnya semua berbalik kepada kepercayaan akan Tuhan.
Sebelum mengakhiri Misa Kudus pada pagi itu, paderi juga berpesan kepada umat agar melakukan devosi Kerahiman Ilahi dengan sepenuh hati supaya Tuhan sentiasa menguatkan kita dengan pengampunan dan cinta kasih. Fr Wilson turut menyeru agar umat datang berjumpa dengan mana-mana paderi paroki kerana pengampunan Tuhan yang sentiasa terbuka ialah melalui Sakramen Pengakuan.
Turut berlangsung pada hari itu juga adalah kempen derma darah dan kempen kesedaran pendermaan organ dan Talasemia anjuran bersama Unit Patologi dan Transfusi Darah Hospital Ranau dan Komiti Caritas. Aktiviti tersebut diadakan di lobi asrama SPCR.
Fr Wilson bergambar bersama petugas dari Unit Patologi dan Transfusi Darah Hospital Ranau (Gambar: Soccom Ranau)