Gambar kenangan pelancaran Sto Joseph bersama Pengerusi Zon sekitar KSFX
By Didiroy
Dec 29 2020
KENINGAU – Pada 27 Dis, Keuskupan Keningau melancarkan Tahun Istimewa iaitu Tahun Santo Joseph di peringkat paroki Katedral St Francis Xavier dan bagi Keuskupan Keningau.
Pelancaran Sto Joseph itu disempurnakan oleh YM Uskup Datuk Conelius Piong. Dalam Misa Kudus juga, turut dirayakan sambutan Pesta Keluarga Kudus dan Kemuncak Ziarah kepada Keluarga Kudus, Nulu Sosopon Keningau.
Tahun Sto Joseph yang bertemakan dengan hati seorang ayah, uskup mengharapkan melalui tema itu, kita semua umatNya sentiasa mendapat inspirasi, sumber teladan hidup keluarga, kerana bukan mudah membangun keluarga lagi-lagi zaman sekarang dengan pelbagai cabaran.
“Selama setahun, kita khususnya di Keuskupan Keningau akan menyambut Sto Joseph, dan kita mengharapkan agar membantu para ayah untuk memainkan pernanan seperti Sto Joseph iaitu bagaimana membangun keluarga yang dikehendaki oleh Tuhan,” kata uskup Cornelius.
Tambahnya, mungkin selama ini pihak gereja jarang menyentuh peranan para ayah, justeru melalui pengumuman daripada Bapa SuciFransiskus, gereja segajat termasuk Keuskupan Keningau turut mengambil peluang ini untuk menerapkan bagaimana Sto Joseph boleh membangun keluarga lebih-lebih menjadi keluarga kudus.
Katanya, keluarga kudus adalah mereka yang hidupnya berpusat kepada Yesus, dia adalah sumber kekudusan. “Jika kita lihat Joseph dan Maria sejak Yesus belum lahir, masa kelahiran Yesus dan sesudah kelahiran Yesus begitu banyak cabaran datang dan pergi, namun Joseph sentiasa menaruh harapan penyertaan Tuhan dalam hidupnya, demikian juga Maria, walaupun dia tidak memahami rencana Tuhan kepadanya tetapi dia tetap menyerahkan dirinya kepada kehendak Allah. Dan kerana iman dan penyerahan merekalah Yesus lahir dalam keluarga mereka.”
“Hidup kekudusan itu bukanlah hidup tanpa masalah dan nyaman, ianya merupakan satu perjuangan setiap hari daripada pihak bapa, ibu dan anak-anak sama-sama menaruh kepercayaan kepada Tuhan kerana dia adalah Immanuel, Tuhan yang menyertai dan melindungi, dan perlu sama-sama ibubapa dan anak menaruh kepercyaan kepada kuasa Tuhan dan hidup sesuai dengan kehendakNya”.
Justeru, uskup itu juga memberi nasihati kepada mereka yang merancang untuk mendirikan rumah tangga agar melihat dan memahami perkahwinan serta membangun keluarga itu dari segi ilahi. “Jika dilihat persiapan perkahwinan lebih bersikap duniawi dan kurang sekali bersifat ilahi, padahal perkahwinan adalah lahir dari cintakasih Allah sehingga Ia menciptakan manusia lelaki dan wanita dan melalui cintakasih itu membanggun sebuah keluarga.”
Uskup mengajak ibubapa dan belia terutamanya yang dalam proses memperispakan diri memasuki alam perkahwinan supaya memberi perhatian kepada aspek ilahi perkahwinan dan berkeluarga. “Jangan kita umat Kristian terlalu terpengaruhi dengan sifat duniawi, perlunya kita sebagai umat Kristian dalam mempersiapkan diri memasuki alam perkahwinan mengutamakan aspek ilahi,” katanya sambil menasihati supaya setiap pasangan masing-masing mengambil masa refleksii atau mengadakan retret bagi mempersiapakan diri.
Diakhir homilinya, uskup berharap melalui Pesta Keluarga Kudus dan pelancaran Sto Joseph dapat membantu kita memahami keluarga, janji perkahwinan, peranan ibubapa sesuai dengan kehendak Tuhan, bukan dari apa yang kita lihat, dengar dan bersikap duniawi kerana semua itu adalah sementara.
Dalam Misa Kudus pelancaran itu, menampilkan katekesis singkat tentang tahun Istimewa Sto Joseph daripada Pengerusi Team Pastoral Keuskupan Keningau, Patrick Marius.
Dalam katekesisnya, beliau menyentuh serba sedikit tentang surat Apostolik Patris Corde dari Bapa Suci Fransiskus tentang hati seorang ayah yakni bagaimana Joseph mengasihi Yesus, di mana empat injil disebut sebagai “Anak Joseph”.
Misa Kudus itu merupakan kemuncak Ziarah Kepada Keluarga Kudus, Nulu Sosospon yang bermula sejak pada 4 Dis lalu. Sepanjang ziarah telah menampilkan seramai 75 pasangan mengambil peluang untuk mengikuti pembaharuan Janji perkahwinan mereka.