ARAHKAN PANDANGAN KITA KEPADA SALIB YESUS
( PESTA SALIB SUCI, 14 SEPTEMBER 2020 )
Dalam Kalender Liturgi Gereja Pesta Salib Suci dirayakan pada 14hb September setiap tahun. Pada tahun ini kita rayakan Pesta Salib Suci ini dengan Misa Kudus di kaki Menara Salib Suci PZKKNS. Marilah kita mengambil kesempatan perayaan Pesta Salib Suci ini untuk memperdalamkan pengenalan dan kesyukuran kita terhadap Salib lambang yang digunakan Yesus untuk mengungkapkan cinta kasih-Nya kepada kita umat manusia. Lambang cinta kasih Tuhan yang mengalahkan maut.
Sebelum Yesus menggunakan salib sebagai ungkapan cinta kasih-Nya yang tidak terbatas, salib adalah dianggap lambang kehinaan dan malapetaka (Gal. 3:13). Yesus rela mati dengan disalibkan sebagai ungkapan dan bukti bahawa Dia sungguh mengasihi kita dan ingin membebaskan kita dari kekuasaan dosa. Oleh itu setiap kali kita memandang kepada salib Yesus dan apatah lagi apabila memikul salib-salib dalam hidup kita sehari-hari, kita boleh menimba kekuatan dan ketabahan dari cinta kasih, kesetiaan dan pengorbanan yang ditunjukkan Yesus melalui kematian-Nya di kayu salib (Luk. 9:23).
Menara Salib Suci di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon (PZKKNS) dibina bukan untuk hiasan atau untuk pameran semata-mata, tetapi dengan harapan agar ianya membawa kita mengingati dan mensyukuri bahawa salib-salib yang kita pikul setiap hari jika disemangati oleh cinta kasih, kesetiaan dan pengorbanan seperti yang telah dilakukan Yesus tidak akan sia-sia.
Untuk pengetahuan semua, makna disebalik Menara Salib Suci PZKKNS dibina lima tingkat atau aras adalah merupakan simbolik dan juga untuk mengingatkan kita kepada lima luka Yesus. Makna Kedudukan atau posisi menara Salib Suci tersebut dibina berhadapan dengan patung Bonda Maria dari Lourdes dan patung Keluarga Kudus dari Nazareth adalah, apabila kita berhadapan dengan salib-salib kehidupan setiap hari Bonda Maria berada dibelakang untuk menopang dan memberi penghiburan kepada kita. Empat Peristiwa Rosari, Mulia, Gembira, Sedih dan Cahaya yang kita doakan tiap hari mengandungi lima dekad. Setiap Peristiwa tersebut mengandungi lima peristiwa hidup yang dialami oleh Bonda Maria dan Keluarga Kudus dari Nazareth.
Semoga ikon-ikon yang terdapat di PZKKNS menjadi sumber kekuatan, kesatuan, kesetiaan dan kebahagiaan bagi kita secara peribadi, dalam keluarga dan dalam komuniti. Salib, Bonda Maria dan Keluarga Kudus tidak dapat dipisahkan dari kehidupan dan perjalanan iman kita setiap hari. Maka ambillah masa membuat ziarah bila-bila masa ke Menara Salib Suci Keluarga Kudus Nulu Sosopon, khususnya sempena Pesta Salib Suci yang jatuh pada 14 September ini. Selain itu PZKKNS dibuka untuk penziarah pada bila-bila masa sepanjang tahun. Bawa keluarga anda, komuniti, KKD mahupun secara individu dengan tetap mematuhi SOP dalam masa PKPP ini.
Selamat menyambut Pesta Salib Suci.