Sempena Pelancaran “Gereja Sinodal – Komuniti, Partisipasi dan Misi”
Peringkat Keuskupan Keningau, 17 Oktober 2021
Rev. Fathers, Religious Bro & Sisters, Seminarians, ISKB, para Katekis, anggota-anggota TPK, MPP, KWK, KBK, Komisi, Komiti, Kerasulan serta semua Umat.
Saudara saudari yang saya kasihi dalam Kristus, syukur dan puji Tuhan kerana kasih-Nya menyertai, melindungi dan mendampingi kita maka kita dapat menghidupkan semangat berjalan bersama kita sebagai umat-Nya.
Sebagai murid-murid Yesus dan anggota-anggota Gereja yang berkonsepkan “umat Allah berjalan bersama dalam Yesus Kristus”, kita bersyukur kerana kepimpinan Pastoral Sri Paus Francis mahu mengajak Gereja sejagat supaya mengusahakan suatu pembaharuan menggereja yang dipanggil “Gereja Sinodal – Komuniti, Partisipasi, Misi menuju ke Milenium ketiga”.
Proses pembaharuan Gereja ini melibatkan semua lapisan anggota Gereja – Sri Paus, para Uskup, Paderi, Religius dan Awam. Sri Paus Francis melancarkan “Gereja Sinodal” ini pada 10hb Oktober 2021 yang lalu dan hari ini 17hb Oktober 2021 ianya dilancarkan di semua Keuskupan di seluruh dunia. Kita di Keuskupan Keningau dengan bangganya turut melancarkan “Gereja Sinodal” pada hari ini 17hb Oktober 2021, didorong oleh semangat kesatuan dengan Gereja sejagat sepertimana diingini oleh Sri Paus Francis.
Dengan pelancaran “Gereja Sinodal” ini diperingkat Keuskupan maka besarlah harapan saya agar setiap kita Umat Allah – Paderi, Religius dan Awam – akan turut serta sedaya upaya menghidupkan semangat Komuniti, Partisipasi dan Misi didalam membangun Gereja di peringkat keluarga, KKD, KUK, Zon Mission dan Paroki. Apa sahaja perancangan Pastoral yang ingin kita laksanakan biarlah itu semuanya dijalankan berlandaskan kepada semangat Sinodal – Komuniti, Partisipasi dan Misi.
Memang kita akui bahawa cara menggereja yang kita amalkan dan usahakan selama ini di Keuskupan Keningau, sejak kita dibangun sebagai sebuah Keuskupan, adalah berlandaskan kepada Komuniti, Partisipasi dan Misi. Akan tetapi kita mengambil kesempatan turut serta sepanjang Sinodal ini, yang akan diakhiri pada Oktober 2023, untuk menyegarkan kembali pemahaman serta semangat bagaimana “membangun Komuniti Umat Allah yang Komited dan efektif melayani Kerajaan Allah”.
Dalam Perancangan Pastoral peringkat Keuskupan, kita akan mengadakan PUKAT ke-12 pada September 2022 sebagai ungkapan keturutsertaan kita “Berjalan Bersama” dengan Gereja sejagat.
+Bishop Datuk Cornelius Piong