SEMPENA PERAYAAN HARI BESAR TRITUNGGAL MAHAKUDUS
Jun 6 2020
Rev. Fathers, Religius Brothers dan Sisters, Seminarians, Komuniti ISKB, Katekis, Pengerusi dan ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komiti, Komuniti dan Saudara Saudari yang saya kasihi dalam Kristus.
Saudara saudari, sempena dengan perayaan Hari Besar Tritunggal Mahakudus, mari kita mengambil kesempatan ini untuk bersyukur kepada Allah kerana Dia adalah bersifat relasi dan Komuniti antara Allah Bapa, Putera dan Roh Kudus.
Sifat relasi dan komuniti sangat penting dan perlu menjadi sifat kita umat manusia. Sifat relasi dan komuniti ini sebenarnya sangat diinginkan oleh Allah bagi kita manusia, ciptaan-Nya, sehingga waktu menciptakan manusia “Allah menciptakan manusia dan menjadikan mereka seperti diri-Nya sendiri”, (Kej. 1:27).
Sebagai manusia, apa lagi sebagai umat Allah, kita memerlukan satu sama lain dan perlu hidup berkomuniti seperti yang dapat kita pelajari dan contohi dari gaya hidup umat awali (KPR. 2:41-47), mereka hidup “sehati dan sefikiran” (KPR. 4:32).
Gereja kita, sejak pembaharuan melalui Konsili Vatikan Kedua (1963-1965) sangat mendorong umat Kristian supaya mengamalkan hidup berkomuniti. Konferensi Uskup-Uskup Katolik seluruh Asia (Federation of Asian Bishop Conference – FABC) pada 27-7-1990 sewaktu mengadakan pertemuan di Bandung, Indonesia ada mengeluarkan pernyataan bahawa Umat Katolik di Asia perlu hidup dalam persekutuan antara komuniti-komuniti.
Kesempatan perayaan Hari Besar Tritunggal Mahakudus ini adalah kesempatan baik kita gunakan untuk menilai perjalanan KKD kita. Komuniti Kristian Dasar (Basic Ecclesial Community) adalah cara kita hidup sebagai pengikut-pengikut Yesus di manapun kita berada, di bandar atau di kampung. Beberapa buah keluarga lima hingga lapan buah keluarga boleh menubuhkan sebuah KKD. Anggota-anggota KKD secara konsisten mengadakan pertemuan untuk berdoa bersama, Bible sharing, bermesyuarat, makan bersama, dll.
Anggota-anggota KKD, Komited Datang Menyembah Tuhan, Komited Dengar Sabda Tuhan dan Komited Duduk Bersama mencari penyelasaian bagi apa-apa keperluan bersama. Budaya menyembah Tuhan, membentuk dan memantapkan iman serta bertanggungjawab sosial perlu menjadi gaya hidup KKD-KKD kita. Dengan gaya hidup seperti ini kita akan didorong menjadi anggota-anggota Gereja partisipatif dan sentiasa ada sikap peduli terhadap kebajikan sesama, keluarga, komuniti, Gereja, masyarakat dan alam ciptaan Tuhan.
Dunia masa kini sangat memerlukan semangat kebersamaan dan ambil peduli terhadap kebajikan sesama manusia dan alam ciptaan Tuhan. Melalui media massa kita sendiri dapat menyaksikan bagaimana sikap dan budaya hanya mementingkan diri sendiri, bangsa sendiri dan agama sendiri sehingga membawa ketidak-adilan dan penderitaan kepada ramai umat manusia sejagat. Kita umat manusia perlu kembali kepada Allah dan mengutamakan Dia dalam hidup kita bersama (Mat. 6:33).
Sebagai Umat Kristian, anggota-anggota KKD, kita sama-samalah mengambil kesempatan ini untuk bertanya kepada diri kita sendiri apakah usaha kita, keluarga dan komuniti kita supaya diresapi dan dikuasai oleh semangat Komuniti yang bermodelkan Komuniti Tritunggal Mahakudus dan Umat Kristian Awal (KPR. 2: 41-47).
Sebagai angota-anggota KKD sepatutnya kita menjadi saluran iman, harapan dan kasih Yesus. Untuk itu kita perlulah mengutamakan usaha kita membangun relasi yang akrab dengan Yesus, dengan taat mengambil masa berdoa, mendengar dan merenung Sabda Allah serta turut serta dalam Ekaristi dan Adorasi. Dengan cara ini kita akan dapat membagun kesatuan dan kesetiaan kita dengan Yesus (Yoh. 15:4-5), agar kita boleh berbangga dengan Identiti kita dan komited dengan misi kita melalui KKD kita.
+ Bishop Datuk Cornelius Piong