JANGAN TAKUT, ARAHKAN HATIMU KEPADA YESUS DAN PERCAYALAH KEPADA-NYA
Rev. Fathers, Religius – Brothers dan Sisters, Seminarians, Komuniti ISKB, Katekis, Pengerusi dan ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komuniti, Komiti dan Saudara Saudari yang saya kasihi dalam Kristus.
Sebagai pengikut dan murid Yesus saya percaya kita selalu mendengar nasihat dari para pemimpin Gereja supaya dalam mengikuti Yesus kita perlu sentiasa mengarahkan pandangan kita kepada Yesus agar kita selamat dalam perlindungan dan kasih-Nya.
Pengalaman Santo Petrus dan murid-murid Yesus dalam Injil hari ini (9/8/2020) memberi pengajaran kepada kita bagaimana sikap jangan takut, mengarahkan hati kepada Yesus dan percaya kepada-Nya menyelamatkan Petrus dan murid-murid dari bahaya maut di tengah lautan.
Seperti dialami Petrus kita juga tentu pernah mengalami bagaimana pengalaman-pengalaman dalam hidup yang menakutkan boleh membawa kita tenggalam dalam keadaan ketakutan terus dan lumpuh jika tumpuan pandangan dan perhatian kita lebih kepada masalah-masalah yang kita hadapi daripada kepada Yesus, Penyelamat.
Pada masa ini pandemik COVID-19 sangat merisaukan banyak orang. Keadaan ekonomi tidak menentu dan ramai orang kehilangan pekerjaan. Masa depan anak-anak merisaukan ibubapa.
Kita di Sabah pada masa ini sedang bersedia menghadapi Pilihan Raya. Banyak hal yang merisaukan para pemimpin dan rakyat. Apakah pilihan raya akan dijalankan secara adil dan demokrasi atau masih seperti biasa dimana kuasa wang digunakan untuk membeli undi serta lain-lain perbuatan dan strategi yang tidak adil dan tidak jujur.
Sebagai pengikut dan murid Yesus kita perlu yakin bahawa Dia menyertai dan mendampingi kita dalam apapun keadaan yang kita hadapi sepanjang perjalanan hidup dan iman kita.
Gereja sebagai saluran kehadiran Yesus sentiasa membantu menyedarkan dan mendorong kita umat-Nya supaya sentiasa mengarahkan pandangan hati kita kepada Yesus.
Dari segi Penyembahan kita digalakkan berdoa, ikut serta dalam perayaan Misa Kudus, Adorasi, Saat Teduh, Ibadat Sabda dan Komuni, Kelompok Doa, Devosi, dan lain-lain agar Roh Kudus dapat menolong, mengajar dan mengingatkan kita ajaran Yesus (Yoh. 14:26)
Dari Segi Pembentukan Iman, kita ada Sabda Tuhan untuk dibaca, didengar dan direnungi. Kita ada ajaran Gereja, Seminar, Rekoleksi, Retret, kursus, dan lain-lain agar kita mempunyai iman yang segar, bersaksi dan tahan uji.
Dari segi Tanggungjawab Sosial, kita sebagai anggota-anggota Gereja melalui Sakramen Pembaptisan turut serta dalam Kenabian, Rajawi dan Imamat Yesus. Kita dituntut turut serta dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan cinta kasih. Seperti garam dan cahaya kita membawa pengaruh-pengaruh yang baik dan nilai-nilai kerajaan Allah di mana kita berada, (Mat. 5:13-16; 25:40), agar hati, fikiran dan tindakan kita didorong oleh kasih Yesus.
Dengan sentiasa berbangga dengan identiti kita sebagai Umat “berjalan bersama dalam Yesus Kristus”, Komited dengan Misi kita hidup mengutamakan Tuhan, dan keperluan sesama serta alam ciptaan Tuhan; yakin bahawa hanya Yesuslah Jalan, Kebenaran dan Hidup, sudah tentu hidup kita sentiasa terarah kepada Yesus. Oleh itu marilah kita tetapkan arah pandangan hidup kita kepada-Nya (Yoh. 14:6). Semoga kita tidak terpedaya oleh tipu muslihat setan- jalan, kebohongan dan kematian (Yoh. 8:44).
Dalam apapun keadaan hidup yang kita hadapi sama ada ianya berkaitan politik, penyakit, bencana alam, dan sebagainya, marilah kita mengambil sikap dan budaya datang kepada Yesus, mendengar Sabda-Nya dan melakukan kehendak-Nya (Luk. 6:47-48). Sikap ini akan menyatukan kita dengan Yesus dan Roh Kudus-Nya agar kita dapat memahami dan melakukan yang baik dan benar dalam setiap keadaan yang kita hadapi (Yoh.15:4-5).
Saudara saudari, jangan lupa program berikut yang sudah diatur:
- 11/8/2020 – Perayaan Santa Clare, anjuran Sisters Poor Clare. Misa Kudus jam 6 petang di RRKKT disusuli dengan fellowship (secara Potluck).
- 14/8/2020 – Pesta Bonda Maria diangkat ke syurga. Doa Rosari jam 5.30 petang disusuli Misa Kudus jam 6.45 petang, bertempat di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon (PZKKNS). Program Mini Ziarah ke PZKKNS bermula pada 9/8/2020 hingga 14/8/2020, Sila rujuk jadual giliran kumpulan anda masing-masing yang diselitkan dalam Risalah Mingguan KSFX (LOM, KKD, Komiti). Intensi khusus program ziarah ini ialah:
- Supaya Covid-19 dapat dipatahkan dengan segera dan kesihatan seluruh dunia dapat dipulihkan.
- Perlindungan dan keadilan Pilihan Raya DUN Negeri Sabah yang akan diadakan dalam masa yang terdekat ini.
- 15/8/2020 – Perayaan Ulang Tahun ke13 Adorasi 15 Jam di RRKKT. Misa Kudus jam 8 pagi disusuli dengan Adorasi bertempat di RRKKT.
Semua program dan aktiviti yang akan dijalankan haruslah mematuhi SOP yang sudah ditetapkan. Terima kasih.
Kebahagiaan Adalah Kekitaan