Acara manganit pinang (mengupas pinang), Uskup Agung Wong (berdiri tengah memakai baju tradisi) menyaksikan acara ini
Oleh Linda Edward
May 3 2023
TOMBOVO, Putatan – Pelbagai acara sukan tradisi suku kaum Kadazandusun telah diadakan sempena perayaan Kaamatan peringkat Keuskupan Agung KK ke-19 pada hari ini, 3 Mei di padang Gereja St Peter Tombovo.
Perwakilan paroki di bawah keuskupan agung hadir menyertai Sukan Tradisi tersebut dan mempamer semangat solidariti di dalam kesukanan apabila umat datang untuk menjayakan keseluruhan program dan bukan semata-mata untuk memenangi acara.
Uskup Agung John Wong menyatakan kegembiraannya melihat ramai umat yang datang dari dekat dan jauh dan berkata ekspresi budaya harus diteruskan di paroki masing-masing dan bukan hanya semasa perayaan Kaamatan seperti ini.
Uskup Agung juga berkata umat Kadazandusun harus bertutur di dalam bahasa mereka sendiri pada setiap hari kerana bahasa asal mencerminkan identiti seseorang individu.
Prelatus merasmikan Sukan Tradisi tersebut pada jam 8.00 pagi dengan gimik mengangkat guni berisi padi yang telah dituai dan meletakkannya di atas sebuah tong. Signifikan gimik ini menandakan kejayaan musim menuai di mana hasil tuaian kini sedia untuk dibawa pulang dengan meletakkannya di belakang seekor kerbau.
Turut hadir pada hari ini adalah Msgr Nicholas Stephen, Pengerusi Komiti Penganjur Utama Perayaan Kaamatan, yang juga menggalakkan semangat solidariti sepanjang Sukan Tradisi dijalankan.
Paderi Paroki Terawi, Fr Michael Modoit dan paderi-paderi lain juga turut serta di dalam beberapa acara sukan.
Fr Thomas Madanan, paderi Paroki Blessed Sacrament Church Labuan, menyertai acara memarut kelapa
Antara sukan yang dipertandingkan adalah acara momolositik (melastik), manandus (merejam lembing), papasakai ginandal (menaikkan guni beras), tampanau (berjalan menggunakan tampanau), lari dalam karung, manganit pinang (mengupas pinang), mipulos (gusti lengan), mengupas dan memarut kelapa, dan acara tidak asing lagi pada setiap perayaan Kaamatan, migazat dukug (tarik tali).
Peserta dibahagikan kepada tujuh kluster dengan gabungan tiga sehingga empat paroki di dalam setiap kluster.
Cluster 1
- Kota Marudu
- Kudat
- Kota Belud
Cluster 2
- Ranau
- Bundu Tuhan
- Terawi
Cluster 3
- Kiulu
- Tuaran
- Kinarut
Cluster 4
- Inanam
- Menggatal
- Telipok
Cluster 5
- Penampang
- Inobong
- Dontozidon
- Bukit Padang
Cluster 6
- Kota Kinabalu
- Kepayan
- Tanjung Aru
- Likas
Cluster 7
- Papar
- Limbahau
- Labuan
Kluster ketiga telah berjaya memungut markah tertinggi sebanyak 17 dan muncul sebagai juara keseluruhan Sukan Tradisi Kaamatan Kali ke -19 pada tahun ini. Berikut adalah keputusan keseluruhan:
- Cluster 1 = 6
- Cluster 2 = 10 Ketiga
- Cluster 3 = 17 Juara
- Cluster 4 = 12 Naib Juara
- Cluster 5 = 5
- Cluster 6 = 3
- Cluster 7 = 7
Selain daripada Sukan Tradisi, Misa Kaamatan peringkat Keuskupan Agung KK juga diadakan pada hari berikutnya, 4 Mei, di Gereja Holy Nativity Terawi pada jam 9.00 pagi.
Berita untuk hari kedua akan menyusul.
Peserta wanita untuk acara Mipulos atau gusti lengan
Migazat Dukug atau Tarik Tali, pasukan dari paroki Tuaran