Pelancaran Caritas
Oleh June
August 29 2022
TENOM – Paroki Tenom mengadakan Study Day dan seterusnya melancarkan Caritas Paroki pada 13 Ogos lalu di Gereja St Anthony, Tenom (SAT). Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran 200 orang daripada AJKT Majlis Pastoral Paroki (MPP), Pengerusi Komiti dan Kerasulan, serta wakil-wakil KKD Pusat dan KUK.
Caritas diperkenalkan kepada semua di dalam study day tersebut iaitu satu badan amal yang menekankan tiga tonggak iaitu Harapan, Iman dan Kasih.
Fr Wilfred James, Pembimbing Rohani Caritas Keuskupan, berkata Caritas adalah satu badan tindakan sosial yang menekankan cinta kasih, “Serving Out of Love” yang berakar dari Kasih itu sendiri iaitu Kristus.
Katanya setiap komiti Caritas perlu menanam sikap mahu membantu dengan niat yang benar-benar mahu membantu, sikap ambil peduli, berfikiran positif dan peka kepada sekeliling. Menurutnya lagi, pelayanan Caritas lebih kepada mendekatkan diri kepada mereka yang memerlukan dan dipinggirkan.
Jangan ada sikap menunjuk-nunjuk tetapi lihatlah wajah Yesus di setiap wajah mereka yang kita layani. “Dalam diri kita ada Yesus, biarlah mereka yang melihat kita dapat melihat wajah Yesus di wajah kita,” kata Fr Wilfred.
Pelayanan Caritas harus berakar dan dikuatkan dengan Firman Tuhan, mencontohi Yesus dan meletakkan Yesus sebagai titik penyelesaian di dalam setiap tindakan yang dibuat.
Fr Wilfred turut menerangkan maksud penggunaan warna biru sebagai warna tema bagi Caritas. Warna yang sinonim dengan dengan penampilan Bonda Maria. Ia mahu seluruh komiti Caritas meneladani sikap Bonda Maria yang suka membantu, mendengar, melihat, berdoa dan bertindak. Dia turut memperkenalkan St Teresa dari Calcutta sebagai Parton Saint of Caritas.
Turut memberikan penerangan semasa Study Day adalah Pengarah Caritas Keuskupan, Puan Patricia Bai. Dalam penerangannya, Caritas adalah kasih, charity, sebuah pengharapan dan penghiburan kepada mereka yang memerlukan.
Caritas juga merupakan tangan Gereja yang berperanan membantu mereka yang terpinggir, kebingungan, kemiskinan, keputus-asaan dan sebagainya. Kita adalah Caritas kata Patricia.
Study Day ini diakhiri dengan ucapan perasmian oleh Rektor Paroki Fr Ronnie Luni. Klerus itu berharap seluruh ahli komiti Caritas bergerak bersama. Katanya, bersaing itu bagus, tetapi biarlah ianya berdiri bersama. Kita harus bekerja bersama. Kita saling memerlukan tangan di antara satu sama yang lain.
Teruslah untuk saling membantu tetapi jangan lupa untuk melibatkan Dia yang utama dari yang terutama. Tanpa Tuhan kita tidak dapat melakukan apa apa. Ada Tuhan tetapi tanpa kasih kita juga tidak akan berjaya. Jadilah seperti api yang membara yang sentiasa ingin menyala.
Sebelumnya turut memberikan ucapan pengulungan En Primus Koh selaku Pengerusi Caritas St. Anthony Tenom. Beliau berharap komiti Caritas SAT mengamalkan sikap saling membantu, saling mengambil bahagian dan menanamkan sikap kepedulian terhadap sesama.
Study Day dan Pelancaran pada hari tersebut ditutup dengan Misa Senja dan Gimik Pelancaran.
Mengenai Caritas
Caritas pada peringkat dunia telah ditubuhkan pada 9 Nov 1897 di Freiburg German. Pada tahun 1954 Caritas Internasionalis secara rasminya ditubuhkan di Asia dan diterima di Vatikan. Manakala para Uskup di Malaysia menubuhkan Caritas Malaysia pada awal tahun 2020 untuk menyatukan tindakan sosial gereja di setiap sembilan keuskupan/agung.
Caritas Keuskupan Keningau pula telah dilancarkan pada awal tahun ini di Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal oleh Uskup Cornelius Piong.
Caritas menekankan misi membina satu tamadun yang ada cinta kasih iaitu melayani mereka yang miskin, mempromosi amal dan memperjuang keamanan. Caritas membawa umat menjadi agen yang membawa cinta kasih Yesus kepada komuniti iaitu menjadi jantung gereja untuk melaksanakan misi.
Caritas turut menekankan pembangunan komuniti iaitu dengan turun padang untuk melihat apa yang perlu dilakukan dan apa yang diperlukan oleh mereka yang memerlukan pertolongan selain mendengar suara-suara mangsa. Di dalam Caritas, karya pelayanannya bukan untuk umat Katolik sahaja tetapi merangkumi semua tanpa “memandang bulu” dan tidak mempunyai unsur “pilih kasih”.
Di peringkat Asia, sistem pengurusan Caritas Internasionalis juga dikenali sebagai Caritas Baobab iaitu satu organisasi yang mempunyai banyak cabang dengan menekankan tiga prinsip melalui ajaran sosial gereja Katolik.
Antaranya, Subsidiari iaitu menyampaikan apa yang perlu disampaikan dan menjadi pengantara bagi mereka yang memerlukan. Di dalam Caritas tidak ada istilah pilih kasih kerana Caritas juga menekankan prinsip Kebaikan Bersama. Caritas juga adalah Tanggungjawab Bersama. Sikap prihatin dan “ we care” ditekankan oleh Caritas agar semua ahli memainkan peranan untuk sama sama bangun dan bergerak dalam apa saja misi bantuan yang dijalankan.
Pelayanan Caritas fokus kepada lima aspek terpenting di dalam masyarakat setempat iaitu kemiskinan diikuti oleh konflik dan bencana, makanan dan kesihatan, migran dan akhir sekali pembangunan komuniti.