Uskup Julius Dusin Gitom memberkati pentas baharu dewan St Mark di Sandakan
Oleh Lucy Jamini Francis, Gambar oleh John Lam
March 31 2022
SANDAKAN – Awal tahun ini, Uskup Julius Dusin Gitom telah menyempurnakan pemberkatan pentas baharu yang diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula bagi dewan serbaguna Gereja St Mark, Batu 12 di sini dengan disaksikan sekitar 60 umat Katolik.
Acara bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan doa pembukaan oleh Uskup Julius.
En Fabian Koret, Pengerusi Majlis Pastoral Umat Katolik (MPUK) Gereja St Mark dalam ucapannya, menyatakan penghargaan kepada semua yang hadir. Fabian menceritakan serba sedikit mengenai persiapan pentas dewan tersebut, di mana bahan-bahan yang digunakan bagi pembinaan pentas telah diperolehi daripada bahan-bahan kitar semula.
Kos pembinaan adalah hasil kutipan sumbangan kasih daripada beberapa individu dan kumpulan yang murah hati.
Pembinaan pentas dimulakan sejak Januari 2020, namun akibat pandemik Covid-19, pentas tersebut hanya mampu disiapkan sepenuhnya pada Mei 2021.
Fabian menambah bahawa para ahli MPUK St Mark adalah terdiri daripada perwakilan dari tiga buah Komuniti Kristian Dasar (KKD) iaitu KKD St Benedict, KKD St Ignatius dan KKD St Francis serta satu daripada KBKI, dan berharap agar mereka terus bekerjasama dan berusaha dalam pelayanan untuk mencapai Visi dan Misi Keuskupan Sandakan.
Selain meraikan pemberkatan pentas dewan, pihak penganjur juga mengambil kesempatan untuk sekaligus meraikan kesyukuran sempena pelantikan baharu AJK MPUK 2021-2024 yang dilakukan pada 28 Mac 2021 lalu dan juga pentahbisan Fr Stephen sebagai paderi pada 13 Mei 2021.
Fr David dan Fr Stephen dalam ucapan mereka masing-masing, mengucapkan tahniah kepada semua ahli MPUK yang lama dan baharu atas usaha bersama menyiapkan pembinaan pentas dewan serbaguna tersebut. Mereka berharap agar semua terus aktif melayani demi pembangunan Gereja St Mark.
Selepas acara pemberkatan pentas dewan dilaksanakan oleh Uskup Julius, para hadirin sempat menikmati makan tengahari yang telah disediakan secara potluck.
Mereka yang hadir pada majlis ini adalah Fr David Garaman, Rektor Paroki Katedral St Mary, Sandakan, Fr Stephen Esguerra, Pembantu Rektor, En Freddy Graman, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, En Leonnie Degullacion, Kordinator KKD Paroki serta wakil-wakil daripada setiap KKD, Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI), Komiti Pelayanan Pastoral Umat Cina dan Komiti Pelayanan Kapela St Petrus, Sungai Manila.
Akhir acara, Fabian Koret telah sekali lagi berterima kasih khususnya kepada para tetamu jemputan khas yang sudi meluangkan masa bersama. Doa penutup dipimpin oleh Fr David. – Diocese of Sandakan