Oleh Alicia Dora Paul
KOTA BELUD – “Inilah aku Tuhan, aku datang melakukan kehendakMu,” jawab Sr Evlyne Ginduk, fsic kepada panggilan Mother General Sr Francisca Wong, fsic dalam upacara Pelafazan Kaul Kekal di Gereja St Edmund, Kota Belud pada 4 Jan 2025.
Upacara pada pagi itu dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong, dibantu oleh Paderi Paroki Fr Jalius Sading, paderi pembantu Fr Maxmiliano Hontor dan beberapa orang paderi dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Turut bersama meraikan upacara itu adalah para sister dari Kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (fsic), sister dari Kongregasi Poor Clares, brother dari Kongregasi Order of Friars Minor Capuchin dan umat paroki St Edmund.
Selepas Misa Kudus, dalam ucapannya Sr Evlyne fsic merakamkan setinggi penghargaan kepada setiap individu yang telah terlibat dalam menjayakan upacara Pelafazan Kaul Kekalnya hari itu.
Dalam nada bergurau dia berkata, “Jangan kamu menangis,” ditujukan kepada keluarganya yang hadir memberikan sokongan. “Saya selalu melihat begini. Panggilan hidup saya bukanlah milik saya seorang tetapi juga milik keluarga saya. Supaya mereka tahu menjaga batas dan diri mereka,” sambungnya lagi.
Fr Jalius dalam ucapannya menyatakan rasa syukur kerana Paroki St Edmund telah dipilih untuk menjadi tempat melangsungkan upacara bersejarah khususnya untuk Sr Evlyne. Walaupun diberikan masa yang singkat, namun atas kerjasama Majlis Pastoral Paroki dan semua umat, majlis ini dapat dijayakan dengan baik.
Mengakhiri sesi ucapan pagi itu, Uskup Agung John menyeru para belia agar jangan takut untuk menyahut panggilan menjadi religius. Dia berharap agar suatu hari nanti akan ada paderi yang ditahbis berasal dari daerah Kota Belud.
Selepas itu, semua yang hadir dijemput ke dewan paroki untuk jamuan makan kesyukuran. Sambil menikmati makanan yang disediakan, hadirin dihiburkan dengan beberapa persembahan menarik.