By Christina David
June 16 2020
“Laudato Si, Mi’ Signore” bermaksud “Terpujilah Engkau Tuhanku”. Sebuah dokumen yang ditulis sendiri oleh Bapa Suci Fransiskus dalam menanggapi persoalan dunia mengenai isu perubahan iklim dan kemusnahan bumi yang semakin kritikal.
Melalui Laudato Si, Bapa suci mengajak kita semua untuk berubah dan melakukan pertobatan ekologi serta bertindak untuk melakukan perubahan demi menyelamatkan bumi ini.
Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Agung Kota Kinabalu (Archdiocesan Commission for Creation Justice, ACJC) bersama Eco-Outreach Team (EOT) telah menjalankan siri Katekesis Laudato Si dalam bentuk renungan, doa dan perkongsian sepanjang sambutan minggu Laudato Si’ pada tahun ini.
Komisi ini telah mengongsikan katekesis melalui banyak contoh, kaedah dan bimbingan sepanjang program tersebut berlangsung dan kita mendapati bahawa perjuangan merawat Ibu Bumi boleh dilakukan dalam pelbagai cara.
Perincian program yang membawa tema “Everything is Connected” ini boleh dilihat di laman Facebook rasmi komisi Commission for Creation Justice of Kota Kinabalu.
Melalui program ini, diharapkan dapat membantu membawa umat Katolik bersatu dan bertumbuh bersama melalui krisis alam sekitar bagi membina hari esok yang lebih baik.
Pengenalan oleh Dympna Richard
Menyayangi dan merawat Bumi kita, ciptaan Tuhan – Rumah Sejagat kita adalah merupakan intipati utama yang terkandung dalam Ensiklik ‘Laudato Si’. Dokumen yang ditulis sendiri oleh Bapa Suci Franciskus, ditujukan kepada seluruh gereja dan dunia untuk sama-sama melihat, merenung dan bertindak melakukan perubahan demi untuk menyelamatkan bumi kita yang tercinta.
Santo Francis dari Assisi, pelindung ekologi kita, telah memberikan dasar yang amat kuat mengenai kesedaran akan tali persaudaraan antara manusia dengan ciptaanNya. Melalui Ensiklik Laudato Si, kita diajak untuk mahu berubah, kita diingatkan untuk bersama-sama menangani masalah dan memperbaiki serta mengembalikan bumi kita kepada asal, sesungguhnya pada saat ini bumi ini sedang menangis.
Penubuhan Komisi Keadilan Ciptaan Keuskupan Kota Kinabalu dengan Komiti di setiap paroki, adalah salah satu usaha yang dapat membantu di dalam pelaksanaan program-program kesedaran terutama dikalangan umat dan masyarakat amnya untuk bersama-sama memperjuangkan ekologi.
Bahagian 1
Perubahan Iklim oleh Emily A. Gilbert
Isu mengenai perubahan iklim merupakan antara isu yang turut diketengahkan oleh Pope Francis di dalam buku Ensikikal Laudato Si’ kerana ianya adalah isu alam sekitar yang sangat membimbangkan pada masa kini. Isu perubahan iklim adalah disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia seperti penebangan hutan, pembakaran bahan api fosil, penternakan berskala besar dan pertanian komersial berskala besar yang menghasilkan kandungan gas rumah hijau yang tinggi.
Kesan daripada perubahan iklim ini sememangnya sedang kita alami pada ketika ini seperti kejadian kemarau yang berpanjangan, banjir teruk yang sering berlaku dan peningkatan paras air laut. Malah, terdapat sudah penduduk yang kini terpaksa berpindah dan meninggalkan tempat kediaman mereka kerana peningkatan paras air laut kesan daripada perubahan iklim.
Oleh yang demikian, setiap individu perlu memainkan peranan bermula daripada rumah kita sendiri dengan menerapkan amalan mudah seperti menjimatkan penggunaan elektrik, mengurangkan pembaziran dengan hanya membeli barang yang kita perlukan sahaja dan mengekalkan kawasan hijau di sekitar rumah sebagai usaha kita untuk membantu dalam menangani isu ini dan juga supaya kita dapat mewariskan sebuah bumi yang lestari kepada generasi yang akan datang.
Global Inequality oleh Evangelisa Anna
Global Inequality atau ketaksamaan global, adalah suatu topik yang kritikal dan mendalam. Ia bukanlah sesuatu yang dekat bagi saya utk saya ceritakan. Ketaksamaan global berlaku bukan sahaja di negara miskin tetapi juga berlaku di dalam negara kita sendiri.
Yang lebih membuka mata adalah apabila ketaksamaan global yang berlaku kini juga menyumbang kepada kerosakan alam sekitar. Hal ini kerana negara-negara miskin atau negara membangun sering diambil kesempatan oleh negara maju dengan cara mengeksploitasi hasil bumi serta menghantar sampah-sampah plastik ke negara lain untuk dibuang dan diproses. Perkara ini telah menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar di negara-negara tersebut.
Dapat dilihat bahawa golongan yang lemah dan miskin terpaksa menanggung akibat daripada aktiviti-aktiviti pembangunan yang dilakukan oleh negara maju. Hal ini tidak boleh lagi terus dibiarkan. Perbincangan di peringkat global harus dilakukan dan suatu keputusan bagi menangani perkara ini harus diambil. Bersama-sama kita menjaga bumi kita untuk generasi akan datang. The cry of the Earth, and the cry of the poor cannot continue (LS).
Kerosakan Biodiversiti oleh Auddrey Ambrose
Biodivesiti adalah kepelbagaian benda hidup di muka bumi sama ada flora atau fauna. Ia merangkumi semua hidupan dalam ekosistem termasuklah hidupan laut. Biodiversiti dibahagikan kepada tiga peringkat; diversiti genetik, diversiti sepsis, diversiti ekosistem.
Biodiversiti ini sangat penting dalam kehidupan kita kerana ianya sumber makanan, sumber air, ubat-ubatan dan sumber tenaga. Biodiversiti juga memberikan khidmat ekosistem seperti kestabilan iklim. Selain itu, ia juga penting dalam pendebungaan, kitaran nutrien, pembentukan tanah dan perlindungan tanah.
Kegiatan aktiviti manusia telah menyebabkan pengurangan dan kemusnahan biodiversiti seperti penebangan dan pembakaran hutan, pembalakan serta pemburuan hidupan liar yang tidak terkawal, pencemaran alam sekitar seperti pembakaran bahan api fosil, pembuangan sisa toksik ke dalam air serta pembuangan sisa plastik ke dalam laut memberi kesan buruk terhadap hidupan akuatik. Kemusnahan biodiversiti memberikan kesan buruk dalam banyak peringkat.
Setiap tahun, kita melihat banyak sepsis diversiti yang semakin pupus. Oleh itu, kita berharap perkara ini dapat dikawal dan diurus dengan baik demi generasi yang akan datang.
Sungai Kehidupan Kita oleh Winnie Jimis
Pesta Rakit tahunan di Sg Mahandoi, Penampang bagi mempromosi kepentingan penjagaan sungai kita
Sungai merupakan anugerah Tuhan dan menjadi arteri kepada bumi kita. Air dari sungai adalah sumber kehidupan manusia, oleh itu ia memerlukan penjagaan dan perlindungan. Aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab terutamanya daripada perindustrian, perumahan, pertanian dan bandar mengakibatkan pencemaran sungai sehingga sungai tidak lagi dapat digunakan dan ciptaan Tuhan iaitu hidupan aquatik terjejas.
Aktiviti kesedaran kepentingan sungai dapat dianjurkan di mana mana sungai atau sumber aliran air supaya manusia dapat berhubung kembali seterusnya menjaga dan melindungi ciptaanNya.
Pembuangan sampah sarap di sungai atau parit dapat dikurangkan dengan mengitar-semula sisa sisa organik supaya dapat menghasilkan baja untuk tanaman organik dan juga dapat mengeluarkan tenaga gas yang dapat digunakan bahan bakar untuk memasak.
Aktiviti mengitar-semula bahan organik ini dapat mengurangkan pengeluaran gas methane ke udara kerana gas methane ini menyumbang kepada perubahan iklim.
(Bersambung).