SEMASA berbual dengan seorang misionaris, saya bertanya, “Apakah masalah terbesar yang dialami orang di negara yang kamu layani?”
Dengan cepat dia menjawab, “Perhambaan”, saya sangat tidak menyangka jawapannya itu. Selama sudah 12 tahun, rakan saya itu bekerja di kalangan petani dan pekerja kilang membuat bata. Mereka tinggal di dalam pondok yang diperbuat daripada tanah liat, di mana tempat tidur juga dijadikan meja, kerusi, atau sofa dengan tinggalan sisa-sisa makanan di atasnya.
Di merata tempat, terlihat kambing yang kurus atau ayam sedang mencakar tanah mencari serpihan makanan, dan kadang kala akan terlihat kerbau. Musim kemarau dan hujan selalunya memusnahkan, membakar atau menghanyutkan pondok tempat tinggal, hasil tanaman dan membunuh beberapa binatang peliharaan kepunyaan mereka.
Pekerja-pekerja yang terikat dengan keadaan ini dianggap ‘bukan sesiapa yang penting’ di dalam masyarakat mereka. Tuan tanah dan pemilik kilang bata membuang mereka sesuka hati, menjadikan mereka mangsa pemerasan, penindasan, bayaran upah yang tidak adil, dan ancaman bahaya fizikal, yang selalunya menjurus kepada kejadian bunuh diri. Inilah dipanggil hamba moden, yang tiada harapan!
Apa yang boleh seseorang lakukan di dalam situasi ini? Bagaimana memberi mereka kelegaan dan harapan? Rakan saya memberitahu saya, terlalu senang untuk berkata, “Bawa Tuhan”. Dia melihat orang berdoa kepada Tuhan/tuhan di masjid, tokong dan gereja, namun tiada keprihatinan untuk mangsa-mangsa perhambaan moden ini. Oleh itu, kelihatan Tuhan/tuhan itu lebih seperti satu masalah berbanding penyelesaian. Adakah begitu? Atau mungkinkah konsep dan kefahaman kita tentang Tuhan perlu berubah?
Dengan soalan ini yang bermain di benak fikiran, saya diingatkan kepada orang-orang Israel di Mesir. Situasi mereka mungkin tidak terlalu berbeza daripada apa yang dideritai oleh mangsa-mangsa perhambaan moden. Mari kita baca:
Dan TUHAN berfirman: “Aku telah memperhatikan dengan sungguh kesengsaraan umatKu di tanah Mesir, dan Aku telah mendengar seruan mereka yang disebabkan oleh pengerah-pengerah mereka, ya, Aku mengetahui penderitaan mereka. Sebab itu Aku telah turun untuk melepaskan mereka dari tangan orang Mesir dan menuntun mereka keluar dari negeri itu ke suatu negeri yang baik dan luas, suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya… Sekarang seruan orang Israel telah sampai kepadaKu; juga telah Kulihat, betapa kerasnya orang Mesir menindas mereka. Jadi sekarang, pergilah, Aku mengutus engkau kepada Firaun untuk membawa umatKu, orang Israel, keluar dari Mesir.
Apa yang menyentuh saya adalah perkataan bercetak tebal: “Aku telah memperhatikan dengan sungguh kesengsaraan umatKu” maka dengan itu “sekarang, pergilah, Aku mengutus engkau”.
Apabila Tuhan menampakkan Diri kepada Musa, dia bukan bercakap tentang kekuasaan dan kekuatanNya, tetapi “mengosongkan diriNya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba” (Filipi 2:7), dan menderitai kesakitan dan kesedihan manusiawi, segala musibah, penderitaan, kegelisahan, dan ketakutan manusia.
Apabila Yesus menangis di kayu salib “Tuhanku, Tuhanku, mengapa Engkau meninggalkan Aku”, dia mahu kita tahu cintaNya yang tidak dapat difahami sesiapapun, yang meninggalkan sembilan puluh sembilan anak domba yang lain untuk mencari satu yang hilang, dan yang turun ke tempat penantian, yang seolah-olah bermaksud, “kalau kamu berada di neraka, Aku mahu berada di sana bersamamu!” Lagipun, Tuhan adalah “Immanuel” dan “akan bersama kita sehingga akhir zaman”.
Apabila Tuhan mengutus “Musa” , dia memberitahu kita: “barulah Aku memperhatikan kamu. Aku akan menepati janjiKu itu kepadamu… yaitu rancangan damai sejahtera dan bukan rancangan kecelakaan, untuk memberikan kepadamu hari depan yang penuh harapan.” (Yeremia 29:10-12)
Dalam hidup kita seharian, ramai orang yang perlu melihat wajah Tuhan yang membawa kedamaian. Apabila kita berdiri tidak berdaya, di sebelah katil hospital seorang rakan atau saudara yang hampir mati dan tidak tahu apa yang harus dikatakan, kita sedang hadir menurut perintah Tuhan: “Hiburkanlah umatKu!”
Apabila Yesus dilahirkan di dalam palungan, bayi ini masih melembutkan hati, mahupun hati yang paling keras. Ahli psikologi terkenal, Sigmund Freud, yang mengaku sebagai seorang ateis, menangis di hadapan pokok Krismas.
Oleh itu, Tuhan memanggil kita membuka hati, kerana Dia menginginkan relasi personal dengan kita, agar: “Apabila kamu berseru dan datang untuk berdoa kepadaKu, maka Aku akan mendengarkan kamu.”
Renungan:
Apakah yang kamu faham tentang Tuhan dan bagaimana kefahaman ini membimbing hidup harianmu?
Di manakah kamu terlihat ‘perhambaan moden’ dan adakah kamu sanggup menjadi “Musa”?
Apabila orang Ibrani berkata “nama itu”, ia bermaksud Tuhan. Penulisan cermin untuk “nama itu” adalah “Musa”.
____________________________________
Fr Guido Gockel MHM
Seorang ahli St Joseph’s Missionary Society of Mill Hill, berpusat di London, Father Guido ditahbis menjadi paderi pada tahun 1969. Sejurus selepas pentahbisannya, dia diutus ke Malaysia (Sarawak) di mana dia melayani sebagai misionaris selama 18 tahun.
Sewaktu bercuti di Sabah, dia diperkenalkan kepada sekumpulan anak muda yang terlibat dengan Pergerakan Karismatik (CCR). Pengalaman ini membantunya menjadi instrumental dalam memperkenalkan CCR di Miri, Sarawak, di mana dia diberi misi di stasi luar.
Setelah tujuh tahun tempoh misionarisnya yang pertama pada awal tahun 70-an, dia kembali ke Malaysia untuk tiga lagi misi dan banyak lawatan jangka pendek. Dia tahu berbahasa ‘Melayu pasar’ dan lain-lain Bahasa negeri Sarawak.
Catholic Sabah berpeluang mendekati Fr Guido, yang sangat bermurah hati memberi masanya untuk menulis selama satu tahun di bawah kolum bertajuk “I’m On My Way”, sejak pelancaran portal online Catholic Sabah pada tahun 2020.
Berbekal sedikit galakan, Fr Guido bersetuju untuk terus menulis, dan Catholic Sabah membuat keputusan untuk memuat naik penulisannya sekali sebulan, dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Fr Guido terbuka untuk sebarang soalan untuk perbincangan dan penjelasan lanjut. Dia boleh dihubungi melalui emel frguidomhm@gmail.com.