Gereja St Theresa Tambunan sekarang yang mengalami banyak kerosakan | Foto KOMSOS St Theresa
By Linda Edward
Sep 9 2020
TAMBUNAN – Sesiapa sahaja dialu-alukan untuk turut serta di dalam usaha pembinaan Gereja St Theresa yang baharu kata Fr Rudolf Joannes, paderi paroki gereja tersebut*.
Ketika dihubungi, Fr Rudolf berkata gereja St Theresa sudah menerima dana daripada beberapa pihak pada masa lalu dan kini mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja yang ingin membantu dari segi kewangan bagi meneruskan Rancangan Pembangunan Gereja St Theresa yang baharu.
“Saya berterima kasih banyak-banyak kepada semua yang telah terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan gereja baru ini.
“Pada mulanya gereja ini kecil hasil pembinaan Fr Martin Connolly. Kemudian pada awal tahun 1980*, St Theresa menerima sumbangan daripada wakil rakyat pada masa itu untuk penambahbaikan lanjut.
“Kami juga menerima sumbangan dana sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 dan yang terbaru RM1 juta daripada Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2019,” jelas Fr Rudolf, dan katanya lagi mereka akan terus cuba mendapatkan bantuan daripada pihak kerajaan.
Walaupun dengan adanya dana ini, Fr Rudolf berkata, “St Theresa masih memerlukan lebih daripada RM4 juta lagi untuk meneruskan usaha pembangunan yang sedang berjalan sekarang.
“Saya berharap siapa sahaja pemerintah pada masa (akan datang), harap boleh memberi bantuan,” katanya.
Nestor Joannes, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki, apabila dihubungi berkata dengan dana yang telah diterima, mereka sudah membersihkan dan meratakan kawasan dengan merobohkan empat buah bangunan lama yang sudah rosak untuk memberi laluan kepada pembinaan gereja baharu.
“Semua dokumen (pembinaan gereja) telah diserahkan kepada Majlis Daerah dan sekarang kami hanya menunggu kelulusan daripada kerajaan tempatan,” kata Nestor.
Nestor berkata anggaran sebanyak RM8.5 juta diperlukan untuk menyiapkan keseluruhan gereja termasuk keperluan teknikal.
Menjelaskan tentang gereja yang ada sekarang, Nestor berkata, “Gereja yang ada sekarang sudah berusia 60 tahun* dan mengalami banyak kerosakan dan Jabatan Kerja Raya sudah mengesahkan gereja ini tidak lagi selamat digunakan.
“Banyak rekahan (pada siling, dinding dan lantai) dan kami terpaksa tampal kerana serpihan simen sudah mulai jatuh dari atas siling. Kami juga mengehadkan jumlah umat yang boleh duduk di bahagian atas.”
Mengenai usaha pembaikan chapel di outstasi, Nestor berkata, “Ada tiga chapel yang sudah dibina (berkat derma individu) di Tikolod, Kaingaran dan Lotong. Sekarang kami berhasrat membina chapel baharu di Ulu Nandal, Sungoi dan Kuyungon. Semua ini memerlukan bantuan sekitar RM1 juta.”
Gereja St Theresa siap dibina pada tahun 1960* atas usaha Fr Martin Connolly MHM yang telah menghabiskan 38 tahun hidup bersama umat di Tambunan. Kapasiti awal gereja lama ini hanyalah 100 umat dan sesudah penambahbaikan, ia mempunyai kapasiti seramai 1,500 umat dalam satu-satu masa.
Kepada sesiapa yang berhasrat membantu dan untuk maklumat lanjut, sila hubungi Fr Rudolf Joannes (010-246 0414) atau Nestor Joannes (011-1267 4783).
Siling merekah (kiri) dan tiang kayu dipasang untuk menahan struktur simen agar tidak jatuh (kanan) | Foto KOMSOS St Theresa
Tapak pembinaan Gereja St Theresa yang baharu | Foto KOMSOS St Theresa
Ralat 10 Sep 2020*
- ‘gereja tertua di daerah Tambunan ini’ patut dibaca ‘gereja tersebut”
- ‘pada tahun 1989’ patut dibaca ‘pada awal tahun 1980’
- ‘berusia 100 tahun’ patut dibaca ‘berusia 60 tahun’
- ‘1919’ patut dibaca ‘1960’
Catholic Sabah memohon maaf di atas ralat artikel. Terima kasih.