Oleh Eva Lieoney
Sep 21 2023
Hai semua, Shalom !
Perkenalkan diri, saya Eva Lieoney Lockhrat, salah seorang peserta Pesta Belia Keuskupan ke 14 mewakili Kontinjen St Thomas More, Kepayan. Pesta Belia Keuskupan ke 14 dijalankan pada 27 – 30 Ogos 2023 lalu di Holy Rosary Limbahau, Papar dengan tema “Maria bangkit dan bergegas pergi” (Lukas 1:39). Seramai 30 peserta yang sepatutnya mewakili Kontinjen St Thomas More, Kepayan. Namun, dua peserta terpaksa menarik diri atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Disini, saya mewakili para peserta Kontinjen St Thomas More, Kepayan (STMK) ingin berkongsi tentang pengalaman saya sepanjang program PBK-14 yang hanya diadakan empat tahun sekali ini.
Sebelum saya berkongsi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak gereja yang menyokong para belia di gereja ini dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh belia STMK.
Kepada Fr Jeffri Gumu, yang sentiasa memberi dorongan dan kata-kata semangat supaya kami para belia tidak lupa untuk membawa kasih karunia dan terang cahaya Kristus walau dimanapun kami berada.
Tidak dilupakan juga kepada ibu bapa kami yang memberi restu dan doa untuk kami, para belia keluar dan melayani di Papar selama empat hari tiga malam. Di kesempatan ini juga, kami ingin berterima kasih kepada para penyumbang tidak kira dari segi wang, makanan dan sebagainya semasa persiapan pra-PBK14 yang lalu.
Harapan kami agar kami sentiasa disokong dalam aktiviti-aktiviti yang akan diadakan selepas ini dan terus mendoakan perjalanan kami sebagai orang muda Katolik khasnya sebagai belia yang melayani di Paroki St Thomas More, Kepayan.
Semasa berkampung di Papar, kami diberi Keluarga Angkat (KA), di mana dalam KA itu juga terdiri daripada beberapa orang daripada kontinjen lain. Seperti saya, Irene Hong adalah keluarga yang menjaga saya selama di Papar bersama-sama tujuh orang adik beradik angkat lain yang terdiri daripada kontinjen Inobong, Kiulu, Menggatal dan Kepayan. Kami berdoa, makan dan beraktiviti bersama-sama. Pertemuan kami amatlah singkat namun cinta kasih Tuhan sungguh hadir di tengah-tengah kami walaupun kami daripada latar belakang yang amat berbeza.
Relasi bersama Tuhan tidak hanya dirasakan dalam KA tetapi, sepanjang PBK-14 kami juga disediakan dengan pelbagai sesi dari Katekesis satu hingga Katekesis empat, iaitu “You are Loved”, “You are Treasured”, “God loves you, it’s okay to be you.” dan “Get Ready, Go Forth”. Semua sesi ini mendorong saya untuk lebih berpatisipasi dalam misi pelayanan saya selama masih sihat dan bertenaga. Adorasi, malam persahabatan, pujian penyembahan dan juga aktiviti dinamik membantu saya sebagai Orang Muda Katolik (OMK) merasakan “sense of belonging” atau semangat kekitaan dalam sesama. Sukacita yang dirasakan tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata apalagi dapat berkenalan dengan sahabat baru dari pelbagai paroki terutama sekali dari Brunei. Saya percaya Tuhan hadir dan Roh Kudus bekerja dengan menyentuh peribadi saya juga peribadi OMK yang hadir pada masa itu. Semua ini membolehkan iman saya semakin bertumbuh segar. Syukur~
Jutaan terima kasih kepada para penganjur PBK-14 atas masa, tenaga dan talenta kalian dalam menjayakan program PBK-14 ini untuk OMK khususnya di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Percayalah bahawa lelah kalian tidak sia-sia.
Seperti yang pernah diucapkan oleh Pope Francis, “The church needs young people, so it doesn’t grow old”, begitulah juga harapan Tuhan Yesus kepada diri saya dan semua OMK untuk menjadi terang dan berkat bagi sesama khususnya di Paroki St Thomas More, Kepayan.
Seperti Maria yang peduli dan bergegas pergi menemui saudaranya, Elisabeth untuk memberi semangat, AYUH, Orang Muda Katolik! Contohilah Bonda kita, Bonda Maria yang berani mengatakan YA! pada panggilan Tuhan. Marilah kita bersama-sama bangkit dan bergegas pergi membawa sukacita, berkat dan talenta yang ada pada kita untuk melayani sesama, memuliakan Tuhan dan menjadi terang cahaya Kristus kepada semua. Jangan takut dan gentar, sebab dia sentiasa menyertai kita.