Oleh Alicia Dora Paul
RANAU – Lebih dari 20 umat turut serta dalam devosi Jalan Salib yang dipimpin oleh Fr Wilson Francis di Bukit Golgotha, Kg Perancangan, Ranau pada 14 Sep lalu. Selepas devosi, Fr Wilson turut merayakan Misa Kudus bersempena Pesta Salib Suci pada jam 8.00 pagi di altar terbuka Bukit Golgotha.
Di dalam homilinya, Fr Wilson telah berkongsi satu cerita sewaktu dia berada di Filipina, dia mempunyai seorang rakan. Sewaktu rakannya masih kecil, dia dan keluarganya sangat daif dan ada ketika mereka tidak mempunyai sebarang makanan. Lalu mereka berdoa kepada Tuhan dan mereka dikurniakan dengan ikan.
“Setiap penderitaan yang kita alami dalam kehidupan, Tuhan mendengar. Dan setiap penderitaan yang ada dalam kehidupan ini tidak akan berakhir dengan penderitaan tetapi menjadi suatu berkat bagi umat yang percaya,” sambung Fr Wilson.
Fr Wilson juga menjelaskan bahawa Pesta Salib Suci mengingatkan kita bahawa setiap penderitaan pasti adanya kebangkitan dan apabila kita memberikan diri dan penderitaan kita kepada Tuhan, kita mempunyai kebahagiaan, kedamaian dan kehidupan kekal. Hal ini diumpamakan seperti Yesus yang memikul dosa-dosa kita dan memberikan diriNya bagi keselamatan kita semua.
Sebelum mengakhiri Misa Kudus, Fr Wilson meluahkan rasa terima kasih dan berpuas hati dengan kerjasama semua umat dalam membersihkan dan menyediakan tempat yang bersih dan selesa untuk menyempurnakan devosi Jalan Salib dan Misa Kudus pada hari itu.
Fr Wilson yang pertama kalinya menjejakkan kaki ke pusat ziarah Bukit Golgotha berpendapat bahawa tempat itu merupakan kawasan yang cantik dan sesuai untuk dijalankan aktiviti Gereja. Dia juga berharap agar kawasan tersebut dapat ditambahbaik supaya lebih ramai umat yang datang melawat pusat ziarah itu mendapat inspirasi iman, kedamaian dan dikuatkan apabila melihat salib Kristus.
Selesai Misa Kudus, acara diteruskan dengan sesi bergambar dan makan bersama paderi kemudian bersurai.