Para wanita sedang berpelukan
Oleh Melty Paulus
Mar 15 2024
TATAL, KENINGAU – Seramai 103 peserta dari tiga keuskupan iaitu Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keningau, dan Sandakan telah menyertai Kem WABERKAT (Wanita Berhikmat Katolik) Siri 2 Keuskupan Keningau, Sabah pada 1 – 4 Feb 2024 di Rumah Retret Keuskupan Keningau, (RRKK) Tatal, Keningau.
Kem yang berlangsung selama empat hari tiga malam ini telah dikendalikan oleh Tim pelaksana dan fasilitator seramai 91 orang yang juga merupakan alumni WABERKAT, dibantu oleh tim PRISKAT (Pria Sejati Katolik) serta tim CFM (Catholic Family Ministry).
Turut hadir dalam pelayanan kem ini juga ialah tim WABERKAT dan CFM seramai lima orang dari Keuskupan Surabaya dan Keuskupan Semarang, Indonesia.
Misa Kudus penutupan Kem WABERKAT Siri-2 telah dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong. Uskup dalam homilinya, menekankan tiga perkara penting dalam surat pastoral 1995 yang dibawa oleh Bapa Suci Yohanes Paulus ke-II yang juga berkait dengan hidup dalam keluarga.
Pertama yang ditekankan ialah doa yang merupakan aspek penting dalam membangun relasi kita dengan Tuhan. Harapan prelatus itu supaya melalui keluarga anak-anak sedari kecil sudah diajar dengan doa agar mereka dapat mengenal Tuhan.
Uskup Cornelius menekan kepada perkara kedua iaitu, supaya kita bersyukur dan ingat akan kehadiran Tuhan dalam hidup kita kerana hidup kita mempunyai destinasi iaitu Tuhan Yesus itu sendiri. Jelasnya lagi, pengaruh teknologi yang kian maju menyebabkan umat semakin lupa akan kehadiranNya dalam hati, keluarga mahupun dalam komuniti kita.
Uskup berpesan agar peranan kita terhadap komuniti bermula dalam keluarga. “Kita sama-sama menggalakkan anak-anak kita untuk sentiasa bersikap ambil peduli agar dapat membangun umat yang bersifat sinodal, komited dan efektif dalam melayani Tuhan,” katanya.
Pada akhir homilinya, uskup mengingatkan umat agar sentiasa percaya kepada Yesus yang hadir melalui sabda dan ekaristi serta senantiasa berdoa dan mohon kekuatan untuk terus mahu berjalan bersama melalui keluarga kita masing-masing.
Hilda George selaku PIC dan juga Ketua Panitia WABERKAT Keuskupan Keningau, mengucapkan syukur dan tahniah kepada 103 peserta terdiri daripada ibu dan isteri yang telah diutus, dipilih dan terpanggil untuk mengikuti kem siri-2 itu.
Tambahnya lagi, kemungkinan Kem Waberkat siri-3 akan diadakan sekali lagi pada bulan Okt atau Nov tahun ini dan memohon doa daripada semua agar kem siri-3 ini dapat dilaksanakan seturut kehendak Tuhan.
Kem Wanita Berhikmat Katolik siri-1 pertama kali diadakan pada 1-4 Jun 2023 yang juga bertempat di RRKK Tatal dan disertai seramai 120 peserta.