
Oleh Benedict Lim
BUNDU TUHAN – Seminar Panggilan tahunan diadakan pada 17-19 Jan 2025 bertempat di Pusat Retret Bundu Tuhan. Seramai 124 peserta dari tiga keuskupan di Sabah telah menghadiri seminar tersebut dan daripada jumlah tersebut, sembilan orang telah dipilih iaitu lapan daripada mereka memulakan pembentukan sebagai aspiran di Rumah Pembentukan Aspiran (CDC) dan seorang lagi akan memulakan perjalanan pembentukannya sebagai seorang seminarian di Rumah Pembentukan Tahun Inisiasi Kolej St Peter, Kota Kinabalu.
Seminar itu diselaraskan oleh pengarah Panggilan Keuskupan Agung, Fr Isidore Gilbert, dibantu oleh Fr Mattheus A Luta, pengarah Rumah Pembentukan Kolej St Peter Kota Kinabalu. Turut hadir ialah pengarah Panggilan Keuskupan, Fr Roney Mailap (Keningau), Fr Christopher Ireneus (Sandakan) dan Fr Abel Madisang, Paderi kerohanian Seminari Utama Kolej St Peter, Kuching. Selain itu, 29 para aspiran dan seminarian turut hadir menghulurkan bantuan.
Objektif seminar panggilan itu adalah untuk mempromosikan panggilan paderi dalam kalangan pemuda Katolik di Sabah melalui pendedahan melalui siri ceramah yang diberikan oleh paderi, perkongsian dan refleksi tentang kehidupan aspiran, seminarian dan paderi. Pada akhir sesi, para aspiran dan seminarian baharu akan dikenal pasti dan dipilih untuk pembentukan.
Fr Mattheus merayakan Misa Pembukaan untuk seminar yang bertepatan dengan peringatan Santo Antonius dari Mesir, pencetus kehidupan monastik. Dalam homilinya, Fr Mattheus mengucapkan terima kasih kepada semua peserta kerana meluangkan masa untuk menghadiri seminar tersebut terutama mereka yang datang dari jauh. Dia menasihati para peserta bahawa mereka harus membuka hati mereka untuk mendengar panggilan Tuhan agar setiap daripada mereka, sama seperti Santo Antonius yang menyahut panggilan Tuhan dengan menyerahkan semua yang dia miliki dan mengikut Yesus.
Seminar tiga hari itu diakhiri dengan Misa Penutup yang diselebrankan oleh Fr Roney, yang menekankan bahawa untuk menjadi seorang paderi, seseorang itu mesti menjadi jambatan yang menghubungkan antara Tuhan dan manusia. Dia seterusnya menyatakan bahawa sama ada seorang lelaki dipilih untuk menjadi paderi atau tidak, adalah menjadi kewajipan bersama kita untuk secara konsisten menjalankan kepaderian bersama yang telah kita perolehi melalui Sakramen Pembaptisan. Ramai peserta menyatakan rasa syukur dan kagum dengan apa yang mereka alami sepanjang seminar tersebut dan ada juga yang menyatakan keinginan untuk hadir semula pada masa akan datang bagi menentukan panggilan mereka.