
Oleh Barry A. Henry
KOTA KINABALU – Seminar Pembaharuan dan Pembebasan, anjuran Kelompok Doa Bahasa Malaysia SHC, Kota Kinabalu telah mengumpulkan kira-kira 900 umat dari tiga keuskupan di Sabah, Sarawak dan Brunei.
Seminar yang berlangsung di Dewan Sacred Heart Cathedral Kota Kinabalu pada 7-9 Mac 2025 itu dipimpin oleh penceramah terkenal, Jude Antoine dan dibantu oleh English Prayer Meeting Sacred Heart Cathedral, Tim dari Catholic Charismatic Renewal (CCR) St Theresa of Child Jesus, Kolopis, CCR Stella Maris Tg Aru, CCR St Joseph, Papar dan CCR St Thomas Kepayan.
Jude Antoine, seorang penceramah antarabangsa berasal dari paroki St Joseph Sentul, Kuala Lumpur, merupakan ahli International Catholic Programme of Evangelisation yang berpusat di Roma, juga adalah pengasas sebuah badan pelayanan awam Katolik yang dipanggil ‘Kerygma Ministry’. Beliau melayani sepenuh masa dalam badan tersebut bersama isterinya.
Sebelum seminar bermula, para peserta bersama umat paroki telah menyertai ibadat Jalan Salib dan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong.
Dalam homilinya, Uskup Agung menekankan bahawa “Tuhan ingin membebaskan kita melalui pengutusan anak-Nya Yesus Kristus dengan membawa cinta kasih kedamaian kepada semua umat di dunia ini.” Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Jude Antoine atas kesediaan beliau mengendalikan seminar tersebut.
Para peserta mengongsikan bahawa mereka mengalami pengalaman rohani yang mendalam dan merasakan kehadiran Tuhan dalam hidup mereka. “Saya merasakan beban yang berat terangkat dari bahu saya,” kata Gayle Euphrasia, salah seorang peserta. “Seminar ini telah mengubah hidup saya,” kata Dora, seorang peserta.
Seminar itu juga menjadi platform untuk mengukuhkan nilai persaudaraan antara umat Katolik dari pelbagai keuskupan. Dalam pada itu, para peserta berpeluang untuk berkenalan dan berkongsi pengalaman iman mereka. “Saya datang ke seminar ini dengan hati yang penuh keraguan, tetapi saya pulang dengan perasaan damai dan harapan yang baru,” kongsi seorang peserta yang enggan namanya disiarkan.
“Seminar Pembaharuan dan Pembebasan ini menjadi satu peristiwa yang bersejarah bagi semua peserta yang hadir. Diharapkan agar benih-benih iman yang telah ditanam dalam seminar akan terus bertumbuh dan berbuah,” kata Pengerusi Penganjur, Herman Jaini dari Kelompok Doa Sacred Heart Kota Kinabalu.