Para peserta Seminar Liturgi dan Bengkel Koir
Oleh Elya George
May 9 2023
CHERAS – Paroki St Francis of Assisi telah menganjurkan program Seminar Liturgi dan Bengkel Koir/Pemazmur yang telah disampaikan oleh Neil Mah dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Sabah yang juga merupakan ahli Komisi Liturgi Serantau.
Seramai 135 orang umat daripada 17 paroki di Keuskupan Agung Kuala Lumpur telah menyertai seminar yang merangkumi dua sesi tersebut.
Sesi pertama, adalah terbuka untuk badan pelayanan Liturgi dan umat umum, manakala sesi kedua dikhususkan untuk para pelayan koir dan pemazmur.
Bagi sesi untuk para pelayan koir dan pemazmur, mereka diberi pengenalan ringkas tentang buku lagu “Sing Your Praise To God (SYPG)” (versi baharu).
Kemudian, dalam topik “Kriteria Pemilihan Lagu-lagu Misa menurut prinsip- prinsip liturgi” diikuti topik kedua, “Peranan Mazmur dalam Pelayanan Liturgi”.
Dalam topik pertama dijelaskan bahawa pemilihan lagu-lagu suci harus dikaji dengan teliti untuk membantu, menyokong, mengangkat dan memperdalam tindakan liturgi. Muzik suci memenuhi fungsinya menurut tiga butir iaitu pertama, keindahan ungkapan doa, kedua, keikutsertaan jemaat yang serasi pada waktu yang sudah ditentukan, dan ketiga, sifat perayaan yang semarak. Dalam memilih jenis muzik suci yang digunakan, sama ada untuk koir atau umat, keupayaan mereka yang akan ber-nyanyi harus dipertimbangkan.
Menurut Neil, tiada satu jenis muzik suci dilarang oleh Gereja asalkan ianya bersesuaian dengan perayaan liturgi tersebut dan menurut sifat bahagian- bahagiannya, serta tidak menghindar keikutsertaan aktif umat.
Neil turut menerangkan tentang nyanyian-nyanyian dalam liturgi misalnya nyanyian pembukaan Misa, persembahan komuni dan pengutusan.
Lagu yang menggunakan perkataan “Aku” seolah-olah Tuhan yang berbicara kepada kita mungkin sesuai untuk dilagukan pada masa-masa tertentu bukan semasa Misa.
Sebarang lagu yang menggunakan kata-kata Yesus atau Tuhan yang tidak terkandung dalam Kitab Suci, tidak harus digunakan. Misa adalah masa untuk menyembah Dia dan bukan untuk melagukan kata-kata Tuhan yang menyenangkan dan menghiburkan.
Seterusnya, dalam topik peranan mazmur dalam perayaan liturgi, dijelaskan bahawa mazmur bukanlah bacaan atau doa, tetapi sajak puji-pujian.
Mazmur tanggapan bertujuan untuk membantu mendalami renungan bacaan pertama dan hendaklah sesuai dengan bacaan yang bersangkutan, dan diambil dari Buku Bacaan Misa.
Pada akhir seminar, beberapa maklum balas peserta yang diterima mengatakan bahawa pemahaman mereka dalam perjalanan liturgi dan Misa Kudus, kini lebih jelas dan mendalam.