Oleh AWL KOMSOS HCT (Disunting oleh Alicia Dora Paul)
TAMBUNAN – Impian umat di Kampung Sukung Lotud akhirnya menjadi kenyataan apabila bangunan baru Gereja Bonda Maria Penolong Abadi telah diberkati dan dirasmikan oleh Uskup Cornelius Piong dalam perayaan Misa Kudus pada 2 Okt.
Misa Kudus pemberkatan itu turut diraikan bersama oleh paderi paroki Holy Cross Toboh, Fr Wilfred James dan paderi pembantu, Fr David Mamat dan Fr Giovanni Chrysostom CSE, serta paderi dari paroki luar Fr Appolonius Yakis, Fr Ronnie Luni dan Fr Clement Abel.
Walaupun cuaca pada hari tersebut hujan lebat dan tarikh yang dipilih untuk pemberkatan juga jatuh pada hari Rabu, namun kehadiran umat ke Misa Kudus adalah sangat menggalakkan. Bukan sahaja umat dari kawasan sekitar, malahan umat dari luar paroki juga turut serta meraikan hari bersejarah itu. Sinar kegembiraan jelas terpancar di wajah setiap umat yang hadir khususnya umat di Kampung Sukung Lotud yang kini sudah mempunyai bangunan Gereja sendiri dan dekat untuk hadir beribadat pada setiap hujung minggu.
Sinonim dengan “Bonda Maria Gunung Kinabalu,” Gereja Bonda Maria Penolong Abadi yang terletak di atas bukit itu dikelilingi dengan keindahan flora dan fauna semulajadi. Desiran angin serta bunyi kicauan burung memberikan suasana tenang di desa ditambah lagi dengan pemandangan sawah padi yang luas terbentang. Dengan itu, Uskup Cornelius telah mengumumkan perancangannya untuk menjadikan Gereja itu sebagai pusat ziarah rohani di masa akan datang.
Selesai Misa Kudus, program diteruskan dengan acara makan bersama di balairaya kampung.
Bercakap dengan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) Holy Cross Toboh, Gilbert Philip dengan penuh rasa syukur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Fr Wilfred James atas nasihat dan bimbingan rohaninya sepanjang proses pembinaan Gereja.
Gilbert turut mengucapkan tahniah kepada Mary@Murini Kuai selaku pengerusi, serta seluruh umat Komuniti Kristian Dasar (KKD) Gabungan PILOSUNOBOTI di atas kejayaan pembinaan serta perasmian Gereja baharu ini. KKD Gabungan PILOSUNOBOTI terdiri daripada 16 KKD dalam enam buah kampung iaitu Kampung Piasau, Sukung Lotud, Nouduh, Botung dan juga Timbou. Semasa Misa Kudus pemberkatan itu, Uskup Cornelius telah menyatukan kesemua KKD kepada satu Komuniti Umat Katolik (KUK).
Gilbert berkata, “Gereja ini bukan sahaja simbol iman kita kepada Tuhan, akan tetapi juga sebagai lambang perpaduan dan komitmen semua pihak.” Tanpa kerjasama dan kesatuan seluruh umat, pasti pembinaan dan perasmian Gereja tidak akan berjalan dengan lancar.
Tidak lupa juga penghargaan kepada Datuk Seri Victor Paul yang telah memberi sumbangan kewangan maka projek pembinaan telah bermula pada Jun 2022 dan siap sepenuhnya pada Dis 2023. Selepas bangunan siap, ahli jawatankuasa tertinggi pencarian dana atas kerjasama MPP dan sokongan daripada Fr Wilfred James giat menjalankan usaha mencari dana termasuklah mengadakan Makan Malam Amal untuk membiayai kos penyediaan fasiliti dan kelengkapan asas gereja sebelum majlis pemberkatan berlangsung.
Semoga dengan adanya bangunan Gereja itu, umat dapat memanfaatkan sepenuhnya dengan ibadat atau misa pada hujung minggu serta program kerohanian daripada pelbagai komiti, kerasulan, KKD dan KUK. Pihak Gereja juga sangat mengalu-alukan kehadiran semua umat daripada seluruh Sabah untuk datang berziarah ke gereja Bonda Maria Penolong Abadi.