Fr Simon Kontou memotong kek Ulang Tahun Pentahbisan yang ke-25
By Dospo
Nov 25 2022
LAHAD DATU – Fr Simon Kontou ditahbis menjadi seorang paderi keuskupan pada 25 tahun yang lalu, iaitu pada 1 Sep 1997. Ketika ini, Fr Simon adalah Paderi Paroki bagi St Dominic, Lahad Datu.
Baru-baru ini, umat di paroki tersebut meraikan kesyukuran itu dengan menganjurkan Sambutan Ulang Tahun Pentahbisan paderi paroki mereka yang ke-25 (Jubili Perak) pada 31 Ogos 2022.
Perayaan kesyukuran itu dimulakan dengan Misa Kudus dan ramai dari luar paroki termasuk Uskup Julius Dusin hadir untuk memberi sokongan dan sebagai tanda penghargaan kepada pelayanan Fr Simon.
Uskup Julius dalam homilinya mengimbas kembali saat-saat apabila seseorang paderi ditahbis. Dalam ucapara itu, katanya uskup memberikan Piala (Anggur) dan Roti kepada paderi yang ditahbis dan berkata: “Terimalah persembahan dari umat Tuhan. Ketahuilah apa yang engkau rayakan, sesuaikanlah hidupmu dengan misteri Salib Kristus,” maka hidup paderi itu bergantung kepada misteri Kristus sendiri yang dilambangkan dalam upacara khusus bagi paderi semasa pentahbisan itu dan saya percaya Fr Simon sudah menghitung segala rahmat yang dia telah terima selama 25 tahun. Segala kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan, juga kegagalan, kelemahan dan kekecewaan sebagai seorang paderi, segalanya tercantum dalam perayaan di mana Roti dan Anggur yang dia terima, dipersembahkan dalam hidupnya setiap hari apabila dia merayakan misteri Kristus dalam Ekaristi. Maka dengan ini, kita bersyukur atas segala kemurahan Tuhan, cinta kasih Tuhan dan belas kasihanNya, khususnya kepada Fr Simon dan semua umat yang telah dilayaninya selama 25 tahun. Segalanya kita syukuri pada hari ini,” ulas Uskup Julius.
Dalam Misa itu, Fr Simon memberi perkongsian mengenai pelayanannya sepanjang 25 tahun itu.
“Saya tidak berasa bahawa 25 tahun itu adalah satu tempoh yang lama. Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya melayani di tiga paroki, iaitu Paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu, Paroki Katedral St Mary Sandakan dan kini Paroki St Dominic, Lahad Datu,” katanya. “Sebenarnya, saya ditahbis menjadi diakon di Gereja St Dominic, Lahad Datu dan kemudiannya, sebagai paderi di Gereja St Aloysius, Limbanak.
Fr Simon bergambar bersama Sr Jadine Guiterez (Kiri) dan Sr Younne Runsab (Kanan)
Selepas saya selesai pembentukan sebagai seminarian di kolej seminari, Uskup John Lee menempatkan saya untuk melayani di Gereja St Dominic selama dua tahun.
Kemudian, selepas dua tahun berada di Paroki Lahad Datu, saya telah dihantar untuk menyambung pelajaran di luar negara selama tiga tahun. Selepas selesai belajar, saya bertugas pula di Paroki Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu. Tidak terlintas di fikiran saya untuk melayani di kawasan pantai timur Sabah lagi seperti Lahad Datu dan Sandakan kerana Uskup John Lee pernah memberitahu saya secara peribadi, bahawa saya akan dihantar bertugas di Paroki Papar selepas dua tahun di Kota Kinabalu. Uskup meminta saya agar tidak memberitahu sesiapa akan hal ini, maka saya pun menyimpan hal itu untuk diri sendiri dan amat yakin bahawa akan ditugaskan di kawasan pantai barat Sabah.
Selepas beberapa minggu, Uskup John Lee memanggil saya lagi dan memberitahu bahawa saya akan ditempatkan di Sandakan sebagai Paderi Paroki dan bukan lagi di Papar. Saya memberitahu uskup bahawa saya akan pergi ke Sandakan walaupun sebenarnya sudah membuat persiapan pergi ke Papar.
Saya kongsikan kepada anda semua ini kerana perjalanan hidup pelayanan saya merupakan satu rencana Tuhan yang indah. Saya telah menjadi seorang paderi kerana berkat Tuhan yang sungguh indah sekali.
Tidak lama selepas menjadi Paderi Paroki di Sandakan, saya telah mendengar khabar mengenai pembentukan Keuskupan Sandakan. Walau siapa juga yang menjadi uskup, saya pasti bahawa saya akan melayani di Keuskupan Sandakan. Saya tidak berasa ragu-ragu dan yakin bahawa saya memang akan melayani di Keuskupan Sandakan kerana selepas melayani di Lahad Datu dan Sandakan, saya telah memahami situasi di kawasan Keuskupan Sandakan. Rencana Tuhan buat saya adalah untuk melayani di keuskupan ini.
Selepas terbentuknya Keuskupan Sandakan, Uskup Julius telah menempatkan saya untuk bertugas semula di Paroki Lahad Datu. Inilah paroki paling lama di mana saya melayani, iaitu selama 14 tahun. Bagi saya, ini merupakan rencana Tuhan yang sungguh indah kerana bukan sahaja diutus untuk melayani di sini tetapi Tuhan mahu meneguhkan iman saya, mahu menyelamatkan saya agar saya terus menjadi paderi. Itulah sebabnya Tuhan mengutus saya di Paroki Santo Dominic.
Fr Simon bergambar bersama Uskup Julius Gitom dan para paderi
Pelayanan paderi itu adalah untuk semua umat. Saya berusaha untuk melayani umat dengan adil tanpa pilih kasih. Setiap kumpulan pelayanan yang ada di paroki, haruslah disokong oleh paderi. Saya tidak mengabaikan mana-mana kumpulan pelayanan di paroki,”
Pada akhir perkongsiannya, Fr Simon memohon agar umat terus mendoakannya dan sempat mengingatkan para umat untuk datang membuat pengakuan dosa sekerap mungkin kerana beliau sendiri secara peribadi telah menerima penyembuhan rohani daripada Sakramen Pertobatan sehingga masih dapat melayani sebagai paderi. Beliau juga berterima kasih kepada semua kerana menyokong pelayanannya sebagai paderi selama 25 tahun di ketiga-tiga paroki tersebut.
Seterusnya, sambutan ulang tahun tersebut diraikan dengan lebih bermakna lagi apabila majlis kesyukurannya diadakan dalam bentuk Majlis Makan Malam Amal. Acara itu telah dijalankan pada hari yang sama. Para tetamu dan umat datang dan memenuhi ruangan Dewan Terbuka Gereja St Dominic, Lahad Datu seawal jam 5.00 petang.
Selepas doa pembukaan, hadirin mendengar beberapa ucapan daripada Fredolin Karim selaku Pengerusi Penganjur, diikuti ucapan Fr Simon dan Uskup Julius.
Mereka semua meluahkan rasa kesyukuran dan penghargaan kepada semua umat yang telah bekerjasama dan ikhlas menderma demi mengumpul dana yang mencukupi bagi pembinaan bangunan Dewan Penyembahan dan Kelas Katekatikal Paroki St Dominic.
Dalam majlis itu, diadakan juga Pertandingan Mr dan Ms Dominican Musim ke-3 bagi tahun 2022, cabutan tiket bertuah, tajaan lagu serta jualan makanan dan minuman juga antara acara dan aktiviti yang dijalankan bagi tujuan mengutip dan mengumpul dana tersebut. Di samping itu, hadirin juga dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas seperti tarian dan nyanyian.
Secara keseluruhannya, kedua-dua program tersebut telah dapat dijalankan dengan jayanya dan meriah. Paroki St Dominic, Lahad Datu berjaya mengumpul sebanyak RM152,147.22 daripada Acara Makan Malam Amal tersebut. Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama dari pelbagai pihak dan semestinya yang terpenting adalah kesatuan daripada umat mereka. Kesatuan sebegini dapat membentuk gereja yang teguh dan penuh dengan cinta kasih Yesus.