Adorasi Sakramen Mahakudus di Rumah Retret Tatal Keningau pada 15 Ogos
Oleh Didiroy Joneh
Aug 26 2022
TATAL, Keningau – Adorasi Sakramen Mahakudus di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal (RRKKT) menyambut ulang tahun yang ke-15 pada 15 Ogos lalu dengan Misa Kudus yang disempurnakan oleh Uskup Datuk Cornelius Piong.
Bilik adorasi 15 jam ini mula dibuka sejak tahun 2007. Ia merupakan sebuah ungkapan kehadiran Tuhan yang sentiasa mahu menyertai dan mendengarkan kita. Amat perlunya kita sentiasa menanggapi kehadiran Tuhan melalui sakramen Ekaristi dan sakramen Mahakudus.
Misa Kudus dihadiri lebih daripada 300 umat yang melahirkan rasa sukacita kerana dapat bersama-sama merayakan ulang tahun kali ini selepas dua tahun tidak dapat merayakan akibat wabak Covid-19.
Sebelum Uskup Cornelius Piong memulakan homilinya, dia menjemput dua orang umat untuk memberikan perkongsian serta pengalaman selama menjadi salah seorang pendoa di bilik adorasi ini.
Perkongsian pertama disampaikan oleh saudari Reni Alex berumur 45 tahun, katanya secara jujur selama dua minggu saya menyertai adorasi, saya tidak merasakan apa-apa emosi namun pada minggu ketiga, segalanya berubah ketika saya berada selama sejam di hadapan Sakramen Mahakudus.
Reni Alex
Katanya lagi sejak mengikuti adorasi sikap keegoan saya mulai hilang secara perlahan-lahan. Saya menyedarinya ketika melihat dan mendengar pelbagai emosi setiap umat yang hadir ke adorasi ini, dan mulai saat itulah saya menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini
“Kita tidak tahu masalah setiap orang, mungkin dia tersenyum namun sebenarnya mempunyai banyak bebanan dalam hidup,” ujar Reni.
Katanya lagi, sebelum ini saya hanya berdoa secara peribadi di rumah sahaja, dan bagi saya itu sudah cukup namun suami saya selalu mengajak untuk turut serta bersama dia ke adorasi dan akhirnya ajakan suami membawa hasil dan kami menghadiri adorasi bukan saja suami isteri namun bersama anak-anak.
Pengalaman yang berharga selama menghadiri adorasi adalah membuka hati kepada Tuhan, kerana sebelum ini saya merupakan seorang yang sukar melupakan perbuatan orang dalam hidup saya “it’s easy to forgive but not forget”.
Namun sejak menghadiri adorasilah saya disembuhkan, sikap ego sebelum ini mula runtuh, dan saya mula belajar untuk melupakan kejadian lalu dan hanya fokus terhadap apa yang ada di hadapan.
Perkongsian kedua disampaikan oleh saudara Jimbai anak Mogei, katanya dia sudah menyertai adorasi selama 15 tahun sejak awal penubuhan, bersama anak-anak dan isteri dan merasakan panggilan adorasi dalam keluarganya sangat kuat.
Jimbai anak Mogei
Pengalaman yang paling berharga adalah ketika kami selalu dekat dengan Tuhan, melalui adorasi kami membawa permohonan doa untuk segala permasalahan dalam keluarga dan lingkungan kami, katanya.
Ada ketika dahulu masalah yang terjadi dalam keluarga kami, saya rasakan tidak ada jalan penyelesaian, namun saya angkat masalah ini melalui doa adorasi. Di sini saya benar-benar dapat merasakan kehadiran Tuhan menyentuh saya. Sejak saat itu saya belajar bahawa masalah yang kita tidak mampu selesaikan sebagai manusia akan mampu diselesaikan oleh Tuhan, kata Jimbai.
“Ketika saya merenungi apa yang terjadi dalam hidup, segalanya seperti dijawab oleh Tuhan, salah satunya ketika saya membawa permohonan agar suatu hari nanti Dewan Grotto Bonda Maria Tatal ini dijadikan tempat perayaan Misa Kudus, dan syukur puji Tuhan hari ini doa saya suda terjawab,” ujarnya lagi.
Dalam homily, Uskup Cornelius berkata kita tidak akan mampu menjalani hidup ini tanpa kehadiran Tuhan “Sebab di luar Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa.” Yoh 15:5-6.
Perlunya Tuhan menyertai dan membimbing supaya iman kita mampu bertumbuh dan menjadi umat yang bersikap ‘komuniti’.
Katanya lagi, “kita selalu berhadapan dengan pelbagai cabaran, justeru kita datanglah kepada Tuhan untuk mengaduh masalah kita, jangan datang kepada perkara-perkara yang merosakkan diri sendiri kerana itu semua hanya bersifat sementara saja.”
Memang bilik adorasi ini diwujudkan kerana rencana Tuhan itu sendiri yang mahu kita sentiasa membina relasi denganNya, kata uskup. Dia berharap agar lebih ramai umat menyedari dan mahu hadir memberi sokongan kepada adorasi 15 jam ini.
Uskup turut berterima kasih kepada Komuniti Betania yang selama ini telah menjaga tempat adorasi, dan juga Sister Poor Clare yang memang baru di Tatal namun inilah panggilan khusus mereka.
Selesai Misa Kudus terdapat majlis kesyukuran dengan simbolik pemotongan kek dan aktiviti bergambar.