Oleh Clarence Dol
RANAU – Penganut Kristian di sini digalakkan untuk terus bersyukur kerana hidup dalam persekitaran yang harmoni di mana kebebasan beribadat terpelihara untuk semua diamalkan sepanjang masa.
Ke arah itu, Rektor Gereja Katolik St Peter Claver Ranau (SPCR), Fr Ambrose Michael Atang mendoakan “moga kita semua diberikan keselamatan dan kesihatan yang baik agar bebas memuji dan bersyukur serta menyalakan semangat iman, harapan dan cinta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perayaan Misa Kudus, Sambutan Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 yang diadakan di SPCR pada 5 Jan 2025.
Majlis itu turut dihadiri orang kenamaan seperti Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, Pembantu Menteri kepada Menteri Besar Datuk Abidin Madingkir, serta pemimpin tempatan yang lain.
“Salam sejahtera kepada semua saudara dan saudari yang dikasihi Tuhan. Selamat Tahun Baru 2025 dan Selamat Hari Krismas kepada Paroki. Hari ini kita merayakan Misa Kudus Perayaan Epifani dan kita telah menyambut perayaan Krismas dan tahun baru.
“Dalam kesempatan ini, Fr Wilson Francis, Fr Abel Madisang, Sr Tina, Sr Hillary dan saya Fr Ambrose ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru kepada semua warga Paroki Ranau dengan penuh bermakna, dan semoga dirahmati Tuhan setiap daripada kita dan keluarga kita.
“Selain itu, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua barisan Majlis Pastoral Kariah Ranau, seluruh pelayan liturgi, dan saudara-saudari yang secara langsung dan tidak langsung membantu dan berkhidmat dari awal persiapan sehingga tamat.
“Semoga pelayanan iman kita berterusan dan diberkati Tuhan. Akhir kata, saya mendoakan agar kita semua diberikan keselamatan dan kesihatan yang baik agar bebas memuji dan bersyukur serta menyemarakkan semangat iman, harapan dan kasih,” katanya.
Sementara itu, Abidin berkata sambutan Krismas yang diadakan di seluruh negeri menunjukkan rakyat Sabah masih mementingkan perpaduan yang akan memelihara kestabilan politik di sini.
Ini, katanya, adalah benar kerana rumah terbuka Krismas bukan dihadiri oleh penganut Kristian sahaja tetapi semua peringkat masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
“Sungguh menggembirakan melihat orang ramai daripada masyarakat berbilang budaya dan agama beraya bersama dan menikmati makanan dan minuman yang boleh dimakan oleh semua orang.
“Ini menunjukkan perpaduan kita masih utuh dan boleh menjadi contoh kepada masyarakat di tempat lain.
“Ke arah itu, kita mesti meneruskan tradisi ini dan menjaganya rapat-rapat di hati kerana ia adalah khazanah yang akan terbukti tidak ternilai pada masa akan datang,” katanya.