Oleh Juanis Markus
BINGKOR, Keningau – KUK Gereja St Mary, Bingkor mengambil peluang hari terakhir Sambutan Krismas dan Pesta Pembaptisan Yesus dengan mengadakan Majlis Krismas dan Tahun Baru peringkat kuk pada 12 Jan 2025.
Perayaan bermula dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Fr Appolonius Yakis. Dalam homilinya, paderi itu mengesa agar umat menjadi martabat sebagai anak-anak Tuhan. “Semasa Yesus dibaptis, Tuhan lantas mengatakan “Inilah Anak-Ku yang Ku kasihi”, sekaligus memberi kita gambaran bahawa Sakramen Pembaptisan yang kita terima turut mengangkat martabat kita sebagai anak-anak Tuhan.”
Paderi itu menambah bahawa menjaga martabat sebagai anak-anak Tuhan adalah tanggungjawab mereka. “Martabat kita ini harus kita kembangkan, pelihara dan hayati, dan bagaimana untuk melakukannya adalah dengan doa,” jelas klerus itu.
Fr Appolonius turut mengulas bahawa Yesus juga berkomunikasi dengan Tuhan melalui doa, maka melalui doa manusia mampu berkomunikasi dengan Yesus Kristus. “Oleh itu berdoalah sekerap mungkin kerana ia pasti membantu kita mengadakan hubungan yang erat dengan Yesus Kristus,” ulas paderi itu lagi.
Fr Appolonius yang menyambut ulang tahun pentahbisannya yang ke-2 pada tahun ini turut menambah agar umat memperbaiki komunikasi di antara sesama terutama dalam keluarga. “Telefon pintar sepatutnya membantu memperbaiki komunikasi kita kini, menjadi halangan terbesar dalam komunikasi keluarga. Lihat sahaja semasa makan bersama, perbualan di antara ahli keluarga bukan menjadi keutamaan sebaliknya kita lebih cenderung melayan telefon masing-masing. Kebiasaan ini harus dihentikan,” tegas paderi itu.
Majlis diteruskan di Dewan Terbuka St Mary, Bingkor, dengan sesi ucapan. Hendry Jakaria, Pengerusi KUK St Mary, Bingkor mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penganjur kali ini, KKD St Bridget, Tuntumulud kerana berjaya melaksanakan program dengan jayanya. “Tahniah juga saya ucapkan kepada semua umat yang sentiasa memberi sokongan padu dalam majlis yang kita adakan setiap tahun. Semoga kesatuan ini kita amalkan dalam membangun pelbagai projek pembangunan khususnya di Gereja St Mary, Bingkor,” kata Hendry.
Selepas sesi ucapan, turut diadakan acara pemotongan kek, cabutan tiket bertuah dan pelbagai persembahan. Turut diumumkan penganjur bagi program yang sama pada tahun hadapan adalah Gabungan KKD St Catherine & KKD Maria Ratu Rosari.