Oleh Eveline Wilfred
LAHAD DATU – Perayaan Kaamatan dan Gawai telah disambut dengan meriah di dalam Ibadat Sabda oleh umat di Gereja St Edwin pada 23 Jun yang dipimpin oleh Sr Jane F Piong. Perayaan ini adalah untuk mensyukuri hasil tanaman yang baik pada tahun ini dan semoga mendapat hasil yang lebih baik dan banyak pada tahun hadapan.
Di dalam perkongsian renungan oleh Sr Jane, dia berkata bahawa dalam kehidupan seharian kita, pasti akan menghadapi pelbagai cabaran dan masalah yang boleh menjatuhkan hidup terutama iman kita. “Oleh itu, Injil pada hari ini mengajak kita untuk senantiasa bergantung kepada Yesus Kristus. Yesus tidak mungkin akan dapat membuang segala kesusahan yang kita hadapi, tetapi Dia mampu menguatkan kita dengan berkatNya yang melimpah,” sambungnya lagi.
Di akhir upacara Ibadat Sabda, Sr Jane telah melaksanakan pemberkatan hasil tanaman yang dibawa oleh umat dan dikumpul di hadapan altar. Selain hasil tanaman, umat juga turut membawa benih padi dan sayur serta beras untuk diberkati.
Selepas sembahyang, Edwin Micheal Kouju selaku Katekis yang bertugas di Gereja itu memberikan ucapan. Katekis Edwin di dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan Sr Jane F Piong dan Sr Younne Runsab ke majlis itu. Dia juga berterima kasih kepada semua umat yang hadir dengan memakai baju tradisi masing-masing. Dia berharap kerjasama dan keharmonian di kalangan umat dapat dikekalkan tanpa mengira bangsa dan suku kaum.
Gereja St Edwin yang dibina di lereng bukit itu terletak di kawasan perladangan kelapa sawit di bahagian Segama, Lahad Datu. Bukan sahaja umat tempatan, St Edwin juga mempunyai sejumlah besar umat dari komuniti migran berbangsa Timor. Oleh itu, Katekis sering mengingatkan umat bahawa kunci terbesar kepada perpaduan adalah sikap saling hormat menghormati, bertolak ansur dan toleransi antara sesama.
Majlis diteruskan lagi dengan acara makan bersama di beranda. Selepas majlis selesai, semua umat bergotong-royong membersihkan kawasan dalam dan luar Gereja.