Para wanita melakukan senamrobik
Dilaporkan oleh Helena Salati, Gambar oleh Lena dan Melda
Apr 17 2023
TELUPID – Sempena dengan Sambutan Hari Wanita Sedunia Peringkat Paroki Santo Martin, Telupid pada 11 Mac 2023, seramai 210 kaum wanita yang mewakili lima zon di bawah naungan Paroki Santo Martin Telupid iaitu Zon Santo Padre Pio, Zon Santa Suzanna, Zon Santo Roderick, Zon Santo Nicholas dan Zon Santo Thomas, telah berkumpul bersama di paroki untuk menyertai program yang julung kalinya diadakan di Paroki tersebut.
Peranan wanita dalam semua aspek kehidupan merupakan tema yang telah dipilih oleh Kerasulan Wanita Keuskupan Sandakan pada kali ini dan sambutan tersebut berjalan serentak di semua paroki di bawah Keuskupan Sandakan.
Pelbagai pengisian program telah dilaksanakan semasa sambutan ini dijalankan antaranya aktiviti senamrobik sebagai pembuka acara, persembahan pentas dari lima zon yang terlibat, anugerah ibu contoh dan cabutan tiket bertuah.
Ceramah tentang peranan Wanita dalam semua aspek kehidupan yang disampaikan oleh Paderi Paroki Fr Christopher Ireneus juga sangat menarik dan menyentuh hati para wanita yang hadir. Ceramah yang disampaikan adalah berasaskan pada petikan injil.
Antara intipati perkongsian yang disampaikan oleh Fr Christopher adalah tentang panggilan dan janji keselamatan Yesus, di mana peranan wanita pastinya berjalan bersama Yesus dan hidup seperti Yesus. Paderi Paroki mengingatkan semua wanita yang hadir dalam program tersebut untuk menumpukan pelayanan seutuhnya kepada Tuhan dan tidak tenggelam dalam pemikiran untuk mendapatkan ganjaran atau imbuhan ketika melakukan apapun jenis pelayanan.
Paderi itu juga mengingatkan semua kaum wanita untuk terus berjalan bersama dalam pembangunan iman bersama dengan komiti-komiti yang lain. Selain itu, memainkan peranan tanpa menunggu sehingga `berlakunya mujizat‘ luar biasa dalam peribadi masing-masing. Menurut Paderi nafas kehidupan, anugerah kesihatan yang baik, keluarga dan rezeki yang diberikan oleh Tuhan juga adalah mukjizat yang berlaku tanpa disedari.
Dalam perkongsian tersebut juga, Paderi menyatakan semua wanita yang hadir pada hari tersebut adalah rasul kerana kerasulan wanita adalah juga bermaksud murid Kristus yang sudah di utus, oleh itu gunakan peranan tersebut untuk memanggil murid-murid baru bagi berjalan bersama dalam apa pun bentuk pelayanan di gereja.
Penyelaras Kerasulan Wanita Paroki Kharen@Shima Matusip dalam ucapannya, merayu kepada semua wanita yang hadir pada hari tersebut agar terus mengambil peranan menjangkau wanita-wanita di luar sana untuk turut serta dalam pelayanan sebagai Kerasulan Wanita Katolik. Sifat semulajadi yang dimiliki secara berhemah iaitu sikap lemah lembut dan nilai kasih sayang sebagai anugerah yang terindah dari Tuhan harus digunakan dalam penginjilan.
Paderi Paroki dalam ucapan perasmiannya pula berharap agar kerasulan wanita akan terus berjalan bersama dan meneruskan usaha dalam menjangkau kaum wanita yang masih belum terpanggil untuk menyertai Komiti Kerasulan Wanita Katolik disamping meneruskan aktiviti tersebut pada masa-masa akan datang.
Akhir sekali, Fr Christopher mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa Kerasulan Wanita Katolik Paroki dan semua AJK pelaksana Zon Santo Padre Pio di bawah pimpinan Arina Anggatis kerana berjaya melaksanakan program tersebut dengan jayanya.